Ruangan Iklan

Thursday, July 8, 2010

Terserahlah pada hati ini

Mama dan Papa menyerahkan padaku untuk membuat keputusan. Pada mereka, aku perlu buat solat istikharah untuk menentukan pilihan. Antara dua. Pada papa dan mama sudah tentulah Fareez menjadi pilihan. Tapi pada aku yang mana satukah yang menjadi pilihan. Jika dari awal sudah aku ceritakan kedudukan Luqman, sudah tentu papa dan mama akan menentukan Luqman sebagai pilihan utama. Fareez kan baru sahaja berkenalan belum tahu lagi isi hatinya bagaimana. Malahan keluarga Fareez juga aku tidak tahu asal usulnya.
Aku terus menunaikan solat istikharah malam itu juga. Bangun pagi, sms dari Luqman terpapar di skrin iphoneku. Mungkin aku tidak mendengar deringan sms tadi. ‘Rindu...’ sepatah sahaja sms darinya. Nampak gaya nya aku perlu menurut hatiku yang berat sebelah Luqman. Aku membalas smsnya. ‘Terimakasih kerana menghargai. Betulkah begini?’
Cepat sahaja sms aku dibalas. ‘Percayalah. Allah Maha Mengetahui. Abang yakin, sayang akan setuju dengan abang’ tiba-tiba sahaja dia menggelarkan dirinya abang dan memanggil aku sayang. Aku tersenyum. Aku mengerling pada cincin belah rotan di jari manis ku. Sungguh aku tidak menyangka Luqman rupa-rupanya dalam diam mempunyai hati padaku. Semenjak dia menghadiakan aku iphone memang ternyata dia lebih pendiam berbanding dulu. Tampak berbeza walaupun dia jauh di mata, namun dekat dihati. Cuma aku sahaja yang menyangkakan dia sibuk dengan kertas kerjanya. Rupa-rupanya dia mempunyai rancangan. Menamatkan hubungan kami yang terumbang-ambing dengan penamatan yang diredhai Allah swt.
Esok aku sudah mula kembali bekerja. Hari ini aku mengemas-ngemas barang-barang untuk dibawa pulang. Dari budu sebotol hinggakan ke rempah ros sepeket, hampir semuanya mama paksa aku bawa pulang. Aku menempah keropok lekor Losong sepuluh ringgit untuk dibawa sebagai ole-ole buat rakan serumah dan sepejabat. Perjalanan yang jauh ini perlu aku tempohi seorang diri.
‘Kalau lah ada Fareez. Ahhh tidak mungkin. Aku kan sudah dipetik orang? Apa khabar Fareez, sejak pulang ke KL tempohari senyap sunyi tanpa sebarang berita. Sihatkah dia. Tapi aku perlu mejaga batas-batasku ini. Aku tidak boleh lagi melayan perasaanku terhadap Fareez. Aku perlu menumpukan perhatian pada Luqman’
Baru sahaja aku menyeru namanya, iphone ku berbunyi, dan hatiku berdebar-debar bilamana suara Fareez yang kedengaran di sebelah sana. Aku sengaja memendekkan perbualan, bimbang dia akan merasai suaraku yang bergetar akibat getaran dari dadaku ini. ‘Ah... kenapa mesti begini?’
Aku sengaja menyibukkan diri dengan mengemas barang dan menghidupkan kereta. Selepas bersalam-salaman dan berpeluk-cium bagaikan orang hendak ke Mekah lagaknya, aku melepaskan mama dan papa.
Sengaja aku memasang CD Eibet G Ade. Tajuk yang paling aku gemari ‘Hidupku Milikmu’ berkumandang diudara, memenuhi ruangan myVi hitamku. Apakah hidupku ini milik orang lain?. Aku bersoal jawab dengan diri sendiri. Aku perlu berterus terang, tapi kepada siapa, aku perlukan masa.

No comments:

Post a Comment