Ruangan Iklan

Wednesday, September 29, 2010

Ku di sini, kau di sana, entah bila kan bersua...

Sebaik penerbangan MH149 mencecah lapangan terbang antarabangsa Melbourne, tanpa lengah lagi, Fareez menitip sms pada Intan. Jam tangan masih dalam waktu Malaysia, menunjukkan 8 pagi. Sudah tentu Intan sudah bangun dan berehat di rumah ummi. Fareez tersenyum sendirian. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 8 jam tidak terasa hanya bimbang yang menyelubungi diri Fareez. Bimbang dengan kesihatan Intan. Tambahan pula hari yang di tunggu semakin dekat.

'Salam, harap Intan dah sihat dan balik rumah abang. Kirim salam rindu pada ummi dan papa. Abang dah selamat tiba di Melbourne. Nantikan kepulangan abang selang 6 hari lagi. Abang mungkin akan sibuk dalam dua hari ni. Rindu Intan dan menghitung hari, jaga diri baik-baik ye sayang. Bye'.

Suara pramugari MAS menyatakan dalam dua bahasa, tentang pendaratan yang berjaya berkumandang di corong sebelah kiri dan kanan tempat duduk. Fareez meluruskan kakinya. Walaupun duduk di bahagian kelas pertama, namun perjalan yang berterusan selama 8 jam memang memenatkan. Sahur tadi dikejutkan oleh pramugari, dengan sajian nasi berlauk. Seperti biasa, Fareez hanya menjamah sedikit sahaja. Makanan di dalam penerbangan selalunya tidak dapat memenuhi seleranya. Tambahan pula waktu tidur. Subuh tadi dia sempat membuat solat perjalanan dengan hanya duduk di atas kerusinya. Dia sempat belajar solat di dalam pesawat semasa di Beijing dahulu sewaktu bergaul dengan pelajar-pelajar di sana.

Di pintu ketibaan, beberapa lelaki berpakaian kot hitam mundar-mandir sambil membawa papan kecil tertulis nama penumpang dan hotel. Fareez mencari-cari dicelah-celah orang ramai yang sedang berpusu-pusu keluar dari arah yang sama. Seingat dia memang ada seorang yang akan menjemputnya ke hotel. Sessi pertama akan bermula jam 9 pagi esok waktu Melbourne. Dia mengerling pada jam di papan kenyataan ketibaan dan pelepasan. Baru jam 10 pagi. Perbezaan masa di antara Kuala Lumpur dan Melbourne hanya 2 jam kehadapan. Dia membetulkan jam Rolex di pergelangan tangannya. Terasa badannya mula tidak selesa. Fareez memerhati sekeliling. Kali terakhir dia menjejakkan kaki di bumi kangaroo ini adalah sewaktu berumur 9 tahun. Ketika mengikuti Datin melancong ke Sydney. Hampir-hampir 25 tahun yang lalu. Segala-galanya sudah berubah. Sekarang semuanya dalam bentuk digital.

Selang beberapa minit selepas dia membetulkan jam tangannya, telefon bimbitnya berbunyi.

'Hello'

'Hello Assalamualaikum' kedengaran suara ummi di sebelah sana.

'Waalaikumussalam. Ummi. Tengah buat apa tu? Iz baru tiba ni. Macam mana orang di sana? Dah sihat ke ummi?'

'Orang di sini tu siapa? Nak tanya ummi ke si dia? Hmmmm? dia yang bagitau ummi tadi, Iz hantar sms. Ada dia tengah berehat. Doktor kata tak boleh puasa untuk dua tiga hari ni, ada bibik dah jerang bubur tadi sahur.'

'Terimakasih ummi, tolong tengokkan Intan.. Mama dan ayah dia kan jauh.'

'InsyaAllah.. Iz balik minggu depan kan? Tinggal seminggu je lagi nak raya. Baju raya tahun ni ummi dah sediakan satin rona biru cair. Butik Myra call tadi, katanya dah siap. Baju pengantin pun dah siap sekali. Barang-barang hantaran pun ummi dah simpan kat dalam almari baju Iz. Ummi suruh Intan tidur di bilik Iz semalam, dia angguk je, masih letih semalam. Pagi ni dah nampak segar sikit' panjang Datin Masriah memberi laporan pada Fareez.

'Thanks Ummi. Kirim salam peluk cium saya untuk Intan ye Ummi. Have to go now. Iz dah jumpa budak pemegang nama Iz. Dari tadi dah cari tak nampak' Tangan Fareez melambai-lambai pada lelaki yang memegang tanda namanya. Dia melangkah tergesa-gesa ke arahnya.

'Bye now.'

'Okay, jaga diri baik-baik Iz. Assalamualaikum'

'Waalaikumussalam' talian diputuskan.

Perjalanan dari lapangan terbang ke Crowne Plaza Hotel, Melbourne Cuma mengambil masa 20 minit. Pemandangan indah di kiri dan kanan teksi memang tidak dapat menarik perhatian Fareez. Dia terlalu mengantuk untuk menikmati keindahan sungai di sebelah hotel. Walaupun hanya 20 minit perjalanan, dia merasakan tidurnya terlalu lama.

Tiba di lobi, Fareez disambut mesra oleh pihak hotel. Fareez mengunjukkan sampul dari dalam sampul besar yang dikemaskan oleh Intan. Konvensyen yang akan berlangsung esok akan diadakan di hotel yang sama tempat dia menginap. Di sinilah dia akan berada untuk 6 hari yang berikutnya.

Fareez terus melabuhkan punggungnya di atas katil, sebaik memasuki bilik hotelnya. Dia berbaring, dan terus terlelap. Pemandangan dari jendela tingkap sangat memukau perasaan. Kelihatan air sungai Yarra mengalir lembut menuju ke arah laut.


 


 


 


 

Thursday, September 23, 2010

Biar hanya di dalam angan...

Aku tersedar bila merasakan sesuatu pada tangan ku. Terasa perit di pergelangan tangan. Deria pendengaran ku terasa berdengung. Perlahan-lahan aku membuka kelopak mata. Terasa silau seketika. Terpandang siling berwarna putih, dan tiub air disalur ke lengan ku yang perit tadi. Aku cuba sedaya upaya untuk bangun dari tempat pembaringan. Terasa seluruh badan ku sakit-sakit walaupun hanya untuk pergerakan yang minimum.

'Intan.. Intan.. slowly ya..' Miss Mary meraih bahu ku.

'Kat mana ni?' aku memicit kepala yang mula terasa berpinar-pinar.

'Ni dekat Hospital Serdang. Tadi you pengsan. I bawa you ke wad kecemasan Hospital ni. Doktor kata you tak apa-apa, Cuma kurang gula dalam darah.'

'Oh..' terasa letih yang amat sangat. Mungkin aku terlupa mengambil ubat sebelum sahur pagi tadi.

'Thanks Miss Mary, I terhutang budi dengan you hari ni, tak tau macam mana nak balas' aku cuba tersenyum.

'Ish.. no hal lah kawan..' Miss Mary menjawab, sambil tangannya mengambil handphone yang berbunyi bertalu-talu di dalam beg tangan nya.

'Hello... yes... yes.. Hospital Serdang, Emergency Room 1, you nak cakap?.. okay..' Miss Mary menyuakan telefon bimbit samsungnya ke telinga ku. Aku mengerutkan kening yang memang pening.

'Hello..' terdengar suara Fareez di sebelah sana.

'Hello..' aku menjawab perlahan.

'Tunggu abang kat situ, kejap lagi abang sampai ye..' Fareez dengan suara tergesa-gesa.

'Ye, okay.' Talian terputus. Mungkin Fareez dalam perjalanan.

Tidak sampai 10 minit, wajah Fareez muncul di sebalik pintu. Tiub air sudah 2 botol memasukki tubuhku. Kali ini tiub yang ketiga dan hampir habis. Terasa lenguh-lenguh ditubuhku hilang perlahan-lahan.

'Assalamualaikum' Fareez menerpa ke arahku. Miss Mary pula tersenyum-senyum melihatkan gelagat Fareez.

'Encik Fareez, takkan lari gunung dikejar..' Miss Mary sengaja mengusik Fareez sambil tersenyum-simpul.

Fareez cuba meraih tanganku yang berselirat dengan wayar dari tiub air. Aku cepat-cepat melarikan tanganku.

'Tak ada apa-apa.. Intan dah okay dah.' Aku tersenyum pada Fareez. Geli hatiku melihat gelagatnya yang seperti kucing kehilangan anak. Dia memandang wajahku lama.

'Flight abang malam ni, dan Intan pula macam ni.. Intan cuti lah, dan duduk dengan ummi je la... macam ni kan bahaya kalau duduk rumah sorang-sorang?' Nada risau keluar dari kerongkong Fareez. Dia memang tampak tampan walaupun dalam keadaan risau. Dahinya berkerut. Wajahnya penuh dengan kerisauan. Dan aku pula, terasa ingin ketawa melihatkan dirinya yang sebegitu.

'Tak de apa-apa, kejap lagi Doktor bagi balik dah ni, mungkin pagi tadi Intan lupa makan ubat sebelum sahur kot... biasanya tak ada apa-apa.. Tak tau pulak kali ni sampai macam ni...' Aku cuba berdalih.

'No, No... kalau Intan tak nak duduk dengan ummi, nanti abang call mama suruh datang sini jaga Intan. Ok?' tegas suara Fareez. Miss Mary pula terpinga-pinga. Aku tertunduk tidak terkata.

'Tak payah la call mama. Nanti susah kan mama pula bulan puasa macam ni kena datang KL.'

'Macam tu, kejap lagi abang suruh Pak Mat datang jemput Intan.'

Hendak tak hendak, aku terpaksa menganggukkan kepala. Serentak itu, Fareez terus bangun dari sisi katil dan keluar dari bilik sambil memegang telefon bimbitnya. Sebentar kemudian, dia masuk semula dengan wajah yang cerah.

'Sekejap lagi Pak Mat sampai, nanti lepas Doktor bagi Intan keluar, Intan kena terus ke rumah ummi. Sekarang ni dah jam 7 petang, sekejap lagi dah waktu berbuka puasa, abang pula kena ada kat KLIA 3 jam sebelum berlepas.

Mmmm Miss Mary, thanks sebab tolong tengokkan Intan tadi. Errr.. I nak minta favour, boleh tak you tunggu sampai Pak Mat datang?. I tak boleh tunggu Intan, kena rush balik rumah kemas-kemas barang...' suara Fareez dalam nada kesal.

'Well, boleh... lagi pun I tak kemana-mana pun' Miss Mary menganggukkan kepalanya.

'Ok camtu, thanks a lot!.. Intan, abang kena pergi dulu. I'll miss you sayang..' Fareez menghadiahkan senyuman mesra pada ku. Ah.. tersentuh hatiku saat mata bertemu.

'Tak apa lah, abang pergi lah dulu. Intan ok je kat sini. Intan akan ingat pesan abang tadi InsyaAllah' sebaik habis ayat tersebut dari bibirku, aku terasa hangat di hujung dahi ku di sebalik tudung. Fareez mengusap kepala ku yang masih bertudung, mujur juga Miss Mary tidak benarkan doktor membuka tudung ku tadi.

'Take care okay...'

Aku membalas senyumannya. Fareez bergegas keluar dari wad. Aku tahu tentu terlalu banyak yang perlu dilakukan Fareez sebaik tiba dirumahnya nanti.


 

Sunday, September 12, 2010

Hilang Pandangan...

Dalam kesibukan berpuasa, sekejap sahaja sudah berakhir separuh Ramadhan. Jadual penerbangan Fareez sudah aku emailkan padanya. Dalam pada itu, dia juga sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk menghadiri jemputan berbuka puasa. Setiap kali itulah dia mengajak aku bersama, tapi aku menolaknya dengan lembut.

'Semua dokumen sudah Intan prepare atas meja boss. Intan doakan abang selamat pergi dan kembali.' Aku menghantar sms pada Fareez. Aku mengerling jam di dinding pejabat, sudah tepat 5 petang, tetapi Fareez masih belum muncul lagi. Penerbangannya dijadualkan 12 tengah malam. Sebentar kemudian aku mendapat balasan dari Fareez.

'Thanks sayang. Will be missing you...' Hatiku bergetar bila membaca sms dari Fareez. Aku meraih beg tangan dan bingkas bangun berpaling ke pintu Datuk Shukor dan memastikan pintu dikunci dengan kemas. Baru sahaja aku hendak berpaling semula, tiba-tiba pandanganku gelap. Terasa darah sejuk mengalir di telapak tanganku. Kepala terasa pening dan berpinar-pinar. Hanya warna merah hitam dan kuning dalam kelopak mataku. Aku dapat merasakan tubuhku terkulai layu dihadapan pintu Datuk Shukor. Seketika kemudian semuanya hilang.

Fareez memarkir kerta BMW X5 nya di hadapan pejabat. Dia mengerling ke arah kereta MyVi hitam milik Intan. Sudah jam 6 petang, dan Intan masih belum pulang? Hatinya tertanya-tanya sendirian. Biasanya bulan puasa Intan memang tepat jam 5 sudah hilang dari pejabat. Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Dia mula merasa was-was. Baru setengah jam yang lalu dia membalas sms dari Intan. Kakinya melangkah laju menuju ke bangunan pejabat Dato' Shukor. Sesampai di lif semuanya kelihatan sunyi sepi bagai di langgar garuda. Dia menekan-nekan butang lif, dan mundar-mandir tidak sabar-sabar lagi menunggu lif terbuka. Sebaik lif sampai, dia tidak sabar-sabar pula menekan butang tingkat 4. Fareez dapat merasakan sesuatu mungkin terjadi pada Intan. Tujuan dia ke pejabat hanya untuk mengambil dokumen perjalan ke Melbourne, setelah Dato' Shukor berkali-kali menitipkan pesanan tentang persidangan itu yang mesti dihadirinya.

Sesampai di aras 4, dia bergegas berjalan ke pintu masuk, menolaknya dan berlari anak ke meja Intan. Tiada sesiapa di situ dan pejabat sunyi-sepi. Hanya kedengaran suara radio sayup-sayup di hujung pejabat. Fareez berjalan pantas menuju ke suara radio tersebut. Kedengaran lagu raya berkumandang. Sanisah Huri dengan lagu Selamat Hari Raya.

Semakin dekat semakin kuat. Kelihatan dua orang pekerja Dato' Shukor yang masih asyik dengan komputer, mungkin sedang menyiapkan kerja-kerja akhir sebelum bercuti.

'Errr..... Assalamualaikum..' Fareez menegur lelaki yang sedang menaip dengan khusyuk. Dia terkejut mendengar suara Fareez. Hampir sahaja dia terbangun dari duduk.

'Waalaikumussalam.. Ohhh Encik Fareez.. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?' jawab Johan sambil berdiri mengadap Fareez.

'Cik Intan? Cik Intan pergi ke mana?' Fareez terus melontarkan soalan tanpa bermukadimah lagi.

'Ohhh.. Cik Intan tadi dia pengsan depan bilik Dato' Shukor. Mujur juga Miss Mary lalu depan bilik Dato' tu. Dia yang panggil kami untuk tolong papah Cik Intan. Tapi dia tetap tak sedarkan diri.. Mmm dalam sejam yang lepas Miss Mary dah bawa dia ke hospital. Belum dengar khabar berita lagi mengenai Intan. Sebelum pergi tu pun dia masih belum sedarkan diri' panjang Johan bercerita.

'Tau tak Miss Mary bawa ke klinik atau hospital mana?' Fareez tidak sabar-sabar ingin tahu.

'Tak pasti lah tu, mungkin Encik Fareez boleh buat panggilan terus pada Miss Mary,

'Ok lah, Thanks ya' Fareez menepuk belakang Johan. Tetapi air mukannya tetap keruh

Wednesday, September 1, 2010

Bulan suci.

Diam tak diam, dah sampai ke penghujung sya'ban. Aku berjaya melunaskan hutang puasa tertunggak tahun lepas lebih awal lagi, jadi aku berpeluang untuk mengerjakan sunat puasa sya'ban isnin dan khamis. Fareez agak menjarakkan diri dariku. Entah aku pun tidak tahu mengapa. Mungkin teringat dengan pesanan dari mama dan papaku. Dato' Shukor pula makin sering tidak masuk ke pejabat. Alasannya, hendak berehat. Jadi semua kerja-kerja pejabat, mula dilepaskan perlahan-lahan kepada Fareez. Walaupun begitu, sepatutnya aku menjadi semakin rapat, tetapi sebaliknya pula. Cuma email sahaja yang sering menyapaku saban pagi. Hanya itu pun sudah cukup membuatkan hatiku berbunga-bunga kembali.

'Esok 1 Ramadhan, selamat berpuasa sayang dan semoga hubungan kita diberkati Allah ta'ala. Jangan lupa doakan perhubungan kita waktu nak buka puasa ya? Waktu paling mustajab doa, waktu depan makanan semasa menunggu azan maghrib untuk berbuka. Salam sayang penuh kerinduan. Yang benar, dekat tapi jauh.. abang' Pagi yang tenang itu, dicerahi pula dengan email dari Fareez. Betapa hatiku berbunga saat membacanya. Aku tersenyum sendirian.

'Senyum itu sedekah!' suara yang ku dambakan itu tiba-tiba mengejutkan aku dari lamunan.

'Assalamualaikum... Kalau ye pun, jangan la senyum sorang-sorang dan berangan, Banyak mata kat ofis ni tau...' usik Fareez, belum sempat aku menjawab salam, dia memotong lagi.

'Sekejap lagi masuk kedalam' pendek tetapi tegas, lalu dia berlalu memasuki bilik Dato' Shukor. Aku bingkas bangun dan mencapai pen dan kertas nota. Tentu ada sesuatu yang urgent.

Fareez duduk bagai Dato' Shukor lagaknya di kerusi empuk ayahnya.

'Ada apa encik Fareez?'

'Booking tiket ke Melbourne 2 minggu lagi untuk saya seorang. Dato' Shukor minta saya hadiri persidangan peniaga Asean 3 hari 2 malam. Dan booking hotel sekali. Itu saja.'

'Baik encik Fareez' aku mencatit ringkas di buku nota. Aku berpusing menuju ke pintu keluar.

'Malam nanti ummi ajak berbuka puasa. Petang abang hantar ke rumah, Tidur sana sekali ye?. Terawih kat rumah?' Aku berpaling dan melihat Fareez tersenyum-senyum. Aduhai hatiku berdegup kencang saat dua mata bertemu. Aku menganggukkan kepala lalu membuka pintu keluar. Debaran hatiku makin kuat. Apatah lagi di bulan-bulan Ramadhan yang berkat ini. Aku juga perlu menjauhi Fareez untuk seketika. Aku rasa aku sudah tidak mampu lagi menahat godaan ini. Sesungguhnya aku berpuasa. Aku cuba mengingati diri sendiri.

Seperti yang dijanjikan, malam itu, buat pertama kalinya aku memberanikan diri tidur di rumah Dato' Shukor. Bimbang juga, tetapi mujur juga bilik bibik luas, dan boleh masuk satu lagi tilam. Datin memang meletakkan aku di bilik tetamunya sendirian, tetapi diam-diam aku berpakat dengan bibik untuk tidur di bilik mereka. Mujur ada tilam Alia yang ringan, zaman Alia masih kecil masih elok disimpan di bawah katil bibik. Selesai solat terawih 20 rakaat, lebih kurang 10:30 malam, kami beransur pulang dari surau yang terletak tidak jauh dari banglo Dato'. Datin mengajak aku minum dahulu sebelum beransur masuk ke bilik tidur. Selesai segelas susu, aku meminta diri dengan alasan terlalu mengantuk. Tidak nampak kelibat Fareez sejak balik dari surau tadi. Cuma aku terdengar dia bercakap-cakap dengan Alia, mungkin membacakan buku untuk Alia sebelum tidur.

Tepat jam 11:30 malam, aku menyelinap keluar dari bilik, dan mengetuk pintu bilik bibik. Bibik nunung masih berada di dapur, sedang membasuh gelas susu tadi. Bibik sunarti membuka pintu, dan memang seperti yang dijanjikan tilam Alia sudah sedia menantiku. Cecah sahaja kepala ku di bantal, aku terus tertidur lena. Sedar-sedar bibik nunung mengoyang-goyangkan bahuku, masa untuk bangun sahur. Aku mesti bangun dahulu dari Datin seperti yang dirancangkan bersama bibik, untuk aku menyelinap kembali ke bilik tamu. Lebih kurang 10 minit kemudian terdengar ketukan lembut di pintu. Aku terus membukanya, dan Fareez yang muncul di depan pintu. Dengan bersongkok, air mukanya nampak tenang, dan kelihatan basah. Mungkin baru selesai solat tahajjud dan hajat.

'Mmmm dah basuh muka ke belum sayang wangi abang?... cepat je buka pintu ni?' pagi-pagi buta begini pun dia boleh berjenaka lagi.

'Sudah.......'

'Jom... makan, indahnya jika tahun depan kita bertiga berpuasa bersama-sama.... Sekarang ni pun abang dah rasa sebahagian dari nikmatnya..'

'Mmmm errr.... jom, bibik dah siapkan makanan tadi...' aku mengalihkan perbualan.

Itu lah pertama dan mungkin tidak akan aku penuhi lagi undangan ummi untuk berbuka puasa dirumah itu lagi. Aku tidak mahu diperkatakan orang. Andainya mama tahu perbuatanku ini, mungkin dia tidak akan maafkan aku. Pendekata, aku yang tidak tahan dengan godaan, bukannya Fareez. Dia lebih matang, dia lebih mengetahui dari aku yang tidak berpengalaman ini.

Hampir setiap hari, ada sahaja jemputan berbuka puasa dari syarikat=syarikat penaja syarikat Dato' Shukor. Tetapi aku langsung tiada keinginan untuk memenuhi jemputan mereka.