Ruangan Iklan

Saturday, October 30, 2010

Sehening pagi

Subuh jam 6 pagi, jam loceng yang sedia menjalankan tugasnya berdering dengan bingit. Intan bingkas bangun. Dia tidak sabar-sabar lagi untuk ke PUSRAWI. Fareez pula bergerak-gerak culas.

'Abang ni... bangun la... harini kita kan ada apointment doktor.'

'Iya lah.. Iya lah sayang... ' Fareez perlahan-lahan menolak selimut yang menyelubungi tubuhnya. Dia tersenyum sambil memeluk Intan yang sudah pun bersiap-siap dengan kain telekung.

'Eh, wangi abang ni awalnya bangun...' Intan tersipu-sipu malu.

'Tunggu abang kejap ye, abang mandi lama sikit' Fareez mengusik Intan. Wajah Intan yang putih bersih, bertukar kemerah-merahan. Dia membalas senyuman Fareez.


 

Tepat jam 8.00 pagi, dia sudah terpacak di hadapan bangunan PUSRAWI Jalan Tun Razak. Mujur juga Intan menggesanya bertolak seawal 6:30 pagi. Keadaan jalan raya masih belum sesak. Lega. Dia sendiri tidak tahu mengapa kali ini Intan memilih PUSRAWI untuk apointment doktor. Biasanya dia akan ke Hospital Serdang. Tapi Fareez menurut sahaja buah hatinya tanpa sebarang soal. Hatinya seolah-olah terasa simpati dan kasihan, setiap kali memandang wajah Intan.


 

Sengaja Fareez merahsiakan hadiah percutian 5hari 4 malam ke Taiwan. Dia sudah lama merancang perjalanan ke Taiwan. Dia memang sedar Intan sudah 2 bulan tidak berhenti-henti solat. Dahulu, bersama ibu Aleeya, setiap bulan ada juga cuti dari solat, dan bila hampir-hampir mendapat Aleeya, dia perasan keadaan yang sama berlaku pada Intan. 'Adakah Aleeya akan mendapat adik?' Hati Fareez berbisik gembira. Masuk sahaja bulan kedua perkahwinan mereka, Intan masih belum datang bulan, Fareez terus menghubungi agensi pelancongan Reliance Travel. Dia tersenyum sambil memegang tangan Intan dengan erat. Berjalan menuju ke kaunter pendaftaran yang baru sahaja dibuka.


 

Suasana sekitar PUSRAWI kelihatan lengang. Mungkin masih awal pagi, atau hanya yang mempunyai apointment doktor sahaja yang hadir pada pagi tersebut. Bau haruman mop lantai menusuk ke hidung Fareez. 'Lepas jumpa doktor, kita tak payah masuk ofis ye?' Fareez menoleh ke wajah Intan yang kelihatan resah sejak dari tadi. Selepas mendaftar tadi, Intan sekejap duduk, sekejap bangun, resah gelisah.

'Hmm ok' pendek Intan menjawab.

'Releks la sayang.. kejap lagi doktor masuk la tu, pagi sangat macam ni, doktor biasanya pergi round kat wad..'

Intan perlahan-lahan melabuhkan punggungnya di kerusi panjang. Menunggu memang menyiksakan.

'Puan Intan Syuhada...' kedengaran jururawat memanggil.

Intan bingkas bangun dan menuju ke kaunter jururawat tadi.

'Puan pergi buang air dulu, nanti datang sini balik untuk timbang ye?' jururawat manis itu mengunjukkan tub kecil.

Tanpa sebarang bicara, Intan mengambilnya dari tangan jururawat tadi, dan berpaling menuju ke bilik air yang terletak betul-betul bersebelahan dengan kaunter jururawat tadi.

Fareez menyusul dibelakang Intan. Dia sengaja menghulurkan tangannya untuk mengambil beg tangan Intan.


 

'Assalamualaikum' Fareez menghulurkan tangannya pada Doktor yang duduk di belakang meja. Tertulis nama DR. SALLEH di baju putih doktor tersebut.

'Waalaikumussalam, sila duduk..' Doktor yang berusia hampir 50an itu menjemputnya duduk dihadapan.

'Alhamdulillah Encik Fareez. Keputusan ujian urine isteri puan didapati positif' Dr. Salleh tersenyum-simpul.

Jantung Intan yang sedari tadi berdegup perlahan, bertukar kencang. Terasa ingin meletup jantungnya mendengar khabar dari mulut Dr Salleh.

Fareez menggenggam tangan Intan seerat-eratnya.

'Puan Intan, saya periksa tekanan darah dulu ye. Tadi, kandungan gula dalam darah Puan ada sedikit naik dari biasa. Puan Intan memang ada diabetes ke?'

Intan menganggukkan kepalanya. 'Saya ada ambil ubat dari Hospital Serdang'

'Kalau macam tu, puan Intan kena mengawal kandungan gula yang puan ambil setiap hari ya. Tekanan darah normal' Dr Salleh membuka pam dari lengannya. Dia menulis sesuatu ke dalam kad kuning PUSRAWI.

'Bulan depan datang lagi untuk monitor progress ye. Tahniah!'

'Terimakasih doktor' hampir serentak mereka berdua mengucapkannya. Dr Salleh tersenyum-simpul.


 

Sebaik memasukki BMW X5, dia berpaling pada Intan sambil tersengih-sengih.

'Patutla gabra sangat tadi....' Fareez mengusik. Intan membawa tangan Fareez ke perutnya. Fareez mengusap-usap perut Intan yang masih belum menunjukkan apa-apa tanda. Dia meraih bahu Intan, lalu memeluknya dengan erat.

'Intan jangan bimbang... InsyaAllah kita akan laluinya bersama-sama.. abang tau Intan mesti risau dengan keadaan Intan yang pernah ada masalah kesihatan sebelum kita nikah dulu... Sekarang kita dah berdua dan akan bertiga, InsyaAllah semuanya akan selamat, abang sayang Intan dulu, kini dan akan datang...' Fareez melepaskan Intan perlahan-lahan.

'Kalau Intan ada surprise untuk abang, abang pun ada surprise untuk Intan tau!' Fareez mengeluarkan sampul surat nipis dari dashboard keretanya lalu menghulurkan pada Intan.

'Apa ni?' Intan mengambilnya dari tangan Fareez.

'Buka lah' sambil Fareez memulas kunci enjin kereta.

Lagu 'I d do Anything for Love ' berkumandang dari CD playernya.

Perlahan-lahan Intan mengoyakkan sampul surat nipis berwarna merah jambu tersebut.

'Abang nak tau tak? dulu kan Intan ada juga sampul surat warna merah jambu juga, tapi dari orang lain untuk orang lain... Intan tolong sampaikan aje... Mesti dalam tu tulis madah-madah cinta.. Abang nak bagi Intan madah-madah cinta ke?'

'Eh ye ke? Abang nak bagi lebih dari tu tau...' kereta bergerak perlahan.

Sebaik mengeluarkan surat dari sampul merah jambu tersebut, Intan membaca kertas putih yang dikeluarkan.

'Pengesahan dari agensi pelancongan Reliance Travel. Penginapan 5hari 4malam di Taiwan?'

'Iyya.. Hadiah dari abang untuk Intan, sempena berita baik tadi...'

'Eh, macam mana abang boleh tau awal dari Intan? kan Intan baru malam tadi buat pregnancy test kat dalam bilik air?'

'Abang kan pernah alami nya dulu dengan Aleeya.. Sekilas ikan di laut, abang dah tau jantan betina. Sekarang ni dah jam 10, kita berdua dan yang ketiga tu dah lapar, belum isi apa-apa pun lagi kan? Jom kita celebrate kat Restoran Insaf nak? dah lama abang tak pergi menjelajah jalan Tuanku Abdul Rahman tu... abang mengidam lah' Fareez meleretkan senyumannya.

'Aduhai senyumanmu .... memang menikam jantungku sampai bila-bila...' bisik hati kecil Intan.

'Alhamdulillah.. Terimakasih abang, tapi abang tak perlu la susah payah sebab Intan...'

'Tak pa, demi Intan dan baby, InsyaAllah abang akan buat orang yang abang paling sayang bahagia.. termasuk Aleeya..'

Tuesday, October 26, 2010

Hidupku Milikmu

'Mmmm sedapnya kopi ni..' Fareez tersenyum simpul sambil menghirup kopi panas di dalam kole besi. Petua yang aku ambil selepas membaca novel 5 Tahun 5 Bulan. Kopi campur madu 2 sudu teh, dan air panas setengah kole, campur ngan air masak sampai penuh.

Fareez masih memandang televisyen yang entah apa-apa rancangannya. Aku sendirian sibuk di dapur mengemaskan pinggan mangkuk selepas selesai makan malam. Usai solat Isya' tadi, kami makan malam yang ringkas, aku sempat masak kari ayam, kangkung goreng dan telur dadar. Semua serba sedikit. Aku lihat Fareez tersandar kekenyangan.

Sambil mengesat tangan yang basah di tuala, aku mengerling pada Fareez.

'Abang, esok appointment doktor'

'Pukul berapa?' Fareez masih tidak mengalihkan matanya dari tv.

'Kalau boleh pagi lah, PUSRAWI tu ramai orang kalau lewat sangat.'

'Ok'

Aku duduk bersimpuh di atas karpet empuk yang dihadiahkan ummi 2 bulan lalu, pada hari perkahwinan kami. Dato' Shukor pula menghadiahkan kunci apartment Cyberia. Bermakna kami berdua akan tinggal berasingan dari banglo Dato' Shukor dan sentiasa dekat dengan pejabat. Aleeya pula akan bergilir-gilir tinggal dengan papanya buat sementara waktu sehingga habis persekolahan.

Sambil bersandar manja di paha Fareez, aku mengusap-usap perutku. Sudah dua bulan aku tidak mendapat cuti. Cuti dari bersolat. Petang tadi, aku singgah di Watson Alamanda dan dengan menyorok-nyorok aku membeli alat pengesan kehamilan. Ketika di bilik mandi, aku hampir melonjak kegembiraan sewaktu melihat dua tanda di atas alat pengesan. Sengaja aku diamkan berita gembira ini dari Fareez. Biar esok menjadi kejutan buat Fareez.

Fareez mengusap-usap lembut rambutku.

'Petang tadi abang dapat call dari Luqman'

'Luqman lagi? Nak apa lagi dia?'

'Intan ni... dia call nak bagi tau, Krismas ni InsyaAllah walimah dia.'

'Alhamdulillah... Good news lah kalau macam tu. Abang ni tak habis-habis nak kawan dengan dia lagi. Abang tak ingat ke pasal Melbourne haritu?. Nyaris-nyaris Intan batalkan aje perkahwinan kita...'

Terbayang peristiwa yang hampir-hampir meragut jiwa dan ragaku.

Pagi yang hening, Pak Mat mengetuk pintu bilik Fareez. Aku keluar setelah bersiap-siap dengan baju yang ku pakai dua tiga hari lepas. Bibik Nunung dan Bibik Sunarti telah siap menggosok dan menghantarkan ke bilikku semalam. Pagi ini aku akan mula bekerja setelah lama berkampung di banglo Dato' Shukor. Setelah mendengar perbualan Dato' Shukor, aku sukar melelapkan mata. Akhirnya aku bangun dan bersolat tahajjud. Setelah selesai berdoa, dengan keberanian yang ada, aku mendail no telefon Fareez di Melbourne.

'Assalamualaikum. Ni Intan'

'Waalaikumussalam. Abang tengah tidur'

'Maaf mengganggu abang tidur. Tapi Intan tak boleh tidur. Intan dah dengar perbualan abang dengan daddy malam tadi. Luqman memang betul kawan baik Intan sejak kecil. Memang Luqman pernah hantar rombongan merisik ke rumah Intan. Tetapi dalam hati ini hanya ada abang sahaja. Maafkan lah Intan kalau merahsiakannya dari abang. Intan menunggu masa yang sesuai untuk beritahu abang. Maaf sekali lagi....'

'Terimakasih Intan. Terimakasih sayang.'

'Esok Intan kerja. Dah lama sangat Intan tidur di bilik ni'

'Mmmmm... nanti pesan dengan bibik, jangan tukar cadar dan selimut tau.. Abang nak bau Intan tinggal di situ... hmmmm?' suara Fareez serak-serak basah.

'Mimpi ke mengigau ni?' bisik hati kecil ku.

'Ok. Assalamualaikum'

'Waalaikumussalam' klik.... talian diputuskan. Lega. Amat Lega. Aku fikirkan Fareez akan naik angin, tetapi sebaliknya pula berlaku. Aku bersyukur pada Allah swt. Kerana mempermudahkan segala urusanku.

'Dia baik lah Intan.' Suara Fareez menyedarkan aku dari lamunan.

'Kan Intan lagi tau dari abang. Intan kawan dengan dia lebih lama dari abang. Dia kata, dia akan nikah dengan kawan Intan juga tau'.

'Hmmm' aku terpinga-pinga.

'Ting ting ting' iphone Fareez berbunyi tanda ada email masuk.

Fareez bangkit dari sofa dan mengambil telefon yang diletakkan bersebelahan dengan tv. Email dari Luqman muncul di telefon Fareez. Fareez membukanya.

'Ha.. panjang umur. Baru je sebut-sebut. Ni tengok attachment, surat undangan perkhawinan Luqman-Zai' Fareez mengunjukkan telefonnya padaku.

Aku tersenyum. Zainab rupa-rupanya. Semoga berbahgia hingga ke akhir hayat.

'Eh dah jam 11. Jom lah, esok kata ada apointment?' Fareez merangkul bahuku, membawaku ke bilik kami. Bahagia akhirnya hidupku menjadi milikmu.


 

TAMAT.


 

Saturday, October 16, 2010

Aku tahu kau pun tahu

'Aku harus consult dengan daddy. Daddy yang lebih mengenali Intan berbanding aku. Sebelum ni daddy yang banyak bercerita tentang Intan.' Fareez mengerling pada jam tangannya. Masa untuk consult dengan Dato' Shukor.

Suasana hening di persekitaran banglo Dato' Shukor. Sebentar tadi, Dato' Shukor berbaring sambil membaca buku. Datin Masriah pula baru sahaja mengeluarkan dengkuran kecil. Dato' Shukor tahu, ini lah masa yang paling sesuai untuk menghubungi anaknya Fareez. Entah apalah masalah Fareez dengan Intan. Sebelum ini semuanya sudah pun berjalan lancar. Segala persiapan sudah pun Datin Masriah aturkan. Termasuk khemah, catering, hantaran dan kad-kad jemputan pun sudah diedar pada rakan-rakan baiknya. Maklumlah kali pertama Fareez bernikah di England dahulu, tanpa sebarang kenduri kendara. Boleh dikatakan inilah kenduri untuk kali yang terakhir buat anak-anaknya. Datin Masriah mahu yang terbaik untuk kali terakhir. Entah bila pula dapat membuat kenduri sebegini. Tunggu 20 tahun lagi, untuk cucu pertamanya, itu pun jika jodoh nya cepat. Cucu pertama, lelaki, mungkin akan lambat seperti anak-anaknya.

Dato' Shukor keluar dari bilik, berjalan melalui bilik Fareez dan melekapkan telinganya di bilik Fareez. Sunyi sepi. Mungkin Intan juga sudah nyenyak tidur. Dia memegang telefon bimbitnya lalu mendail nombor Fareez sambil berjalan dan membuka pintu yang menghala ke kolam renang. Dato' Shukor keluar dan menutup kembali pintu sliding perlahan. Dia duduk sambil menunggu Fareez mengangkat telefon.

'Daddy.... Intan...' suara Fareez lemah menjawab lewat telefon.

'Kenapa dengan Intan?'

'Sebenarnya Iz jumpa x-boyfriend Intan kat sini.'

'bekas teman lelaki? Intan? Daddy tak pernah pun dengar dia ada teman lelaki selama dia kerja dengan daddy.?'

'Iya, Luqman namanya'

'Luqman?' Dato' Shukor mengulangi. Tanpa disedari Dato' Shukor, Intan berada di beranda, betul-betul di atas Dato' Shukor. Sejak dari tadi Intan memang sengaja menghirup udara malam di situ. Dia sengaja menikmati malam akhir di bilik Fareez. Hatinya membuak-buak rindu pada Fareez, tetapi tidak berani menghubungi Fareez di Australia, malu pula nanti dianggap hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong. Dia memasang telinga.

'Intan yang sama ke? Fareez dah selidik?'

'Sudah Daddy, alamat rumah Luqman pun berhampiran dengan kampung Intan'

'Tapi, setahu Daddy, Intan tidak pernah keluar malam, atau pun selalunya dia akan balik lewat hampir setiap hari, tiada sesiapa pun lelaki yang menjemput dia. Daddy pun dah mintak Pak Mat selidik tentang Intan. Memang tak ada langsung lelaki dalam hidup Intan'

'Iz bukannya apa, sebenarnya Iz tahu, mungkin bukan salah Intan. Tapi hati Iz ni sedikit tercalar daddy....'

'Sabarlah Iz, banyakkan istighfar, dan mohon pertolongan Allah subhanahuwata'ala'. Malam ni Iz bangun buat solat Istikharah. Daddy tak mau pisang berbuah dua kali. Daddy nak yang terbaik buat Iz. Daddy sentiasa mendoakan Iz. Bertenanglah. Berserahlah diri pada Allah subhanahuwata'ala..' Panjang nasihat dari Dato' Shukor. Intan pula mendengar dengan hati yang berbelah bagi.

'Luqman? Melbourne? Adakah Fareez bertemu Luqman di Melbourne? Bukankah Tasmania jauh dari Melbourne?.. Ya Allah ya tuhanku...' perkara yang paling tidak diingini Intan benar-benar berlaku. Dia bimbang cerita yang bukan-bukan pula keluar dari mulut Luqman. Padahal dia tahu, tak mungkin Luqman akan menceritakan yang buruk-buruk tentang dirinya kerana dia memang sentiasa menjaga batas-batasan seorang muslimah sepanjang persahabatannya dengan Luqman. Tidak pernah lagi dia dan Luqman bermesra sepertimana dia dan Fareez. Malah, berjogging dengan Luqman pun tidak pernah. Padahal dia bersahabat dengan Luqman jauh lebih lama dari Fareez.

Hatiku bagai dihiris sembilu...

Ruang di bilik hotel terasa sempit. Terasa nafasnya mencungap-cungap saat memutuskan talian. Suara Intan membuatkan dirinya terasa sakit, pilu, tetapi bercampur pula dengan kerinduan yang sarat di dalam dada. Fareez menarik nafas menghirup oksigen perlahan-lahan masuk ke rongga paru-parunya. Dia berjalan longlai menuju ke katilnya yang bersaiz queen. Katil yang setiap hari dikemas pekerja hotel. Tualanya sentiasa bertukar setiap hari. Bersih dan berbau harum. Sama juga dengan cadar dan bantal. Fareez berbaring, dia mengimbau kembali saat pertemuan dengan Luqman.

Hari pertama bertemu Luqman, kisah hidup dia dan Luqman hampir sama. Kali kedua dia berbual ketika moreh, sunggu dia tidak menyangka, Intan yang disebut-sebut Luqman adalah Intan yang sama. Hatinya bagaikan luluh seketika. Hancur. Tetapi masih ada sekelumit rasa yang tertinggal di dalam dadanya. Tidak tahu mengapa.

'Esok aku dah nak berlepas. Flight petang. Nanti di Malaysia, harap kita dapat bertemu lagi. Ni ada nombor telefon aku dekat kampung. Aku nanti duduk rumah mak saudara, sementara cuti. Selepas raya, aku dah mula kerja di Kuala Lumpur. Tak tau lagi nak tinggal kat mana. Aku ingat boleh lah tumpang kau nanti?' Luqman menulis sesuatu pada secebis kertas lalu menghulurkan pada Fareez.

'Ada alamat kampung aku sekali kat situ. Anak aku nanti mak sedara aku jaga.'

Fareez mengambil nota kecil dari tangan Luqman. Dia membaca nya sekilas. Kuala Terengganu. 'Hmmm dekat dengan rumah Intan ni' bisik hati kecilnya.

'Thanks. Aku pun ada juga bawa sesuatu untuk kau. Sebelum aku datang tadi aku sempat print, kad kahwin aku. Kad yang betul aku tak bawa la kat sini. Harap kau sudi datang tau...?' Fareez menghulurkan sekeping sampul surat. Di dalamnya kertas kad jemputan perkahwinan Intan-Fareez.

'Tahniah Fareez' ucap Luqman sambil membuka sampul surat dan tersenyum-senyum.

Tiba-tiba sahaja wajahnya yang ceria, bertukar muram. Luqman tidak dapat menyembunyikan perasaannya dan raut wajahnya.

'Kenapa Luqman?'

'Intan? Intan Syuhada? Betulkah ini Intan Syuhada yang sama?'

'Apa maksud kau?' Fareez terpinga-pinga.

'Ini bakal isteri kau Fareez?, jari telunjuk Luqman mengarah pada gambar Intan yang sengaja di buat super-impose bersebelahan dengan Fareez pada kad jemputan tersebut.

'iya, Intan Syuhada, kenapa?' Fareez masih tidak mendapat penjelasan.

'Tahniah.. kau bertuah dapat memilikkinya' Luqman mengesat air mata yang tiba-tiba jatuh dari hujung matanya.

'Kau kenal Intan Syuhada aku? Atau kau tersilap? Mungkin ramai lagi gadis lain yang mempunyai nama dan susuk tubuh yang hampir sama.' Fareez mendesak meminta kepastian.

'Oh, betul juga kata kau Fareez. Intan Syuhada aku tu kerja di Cyberjaya. Dulu aku satu sekolah dengannya di Kuala Terengganu. Memang salah aku, mengabaikan cinta kami. Aku hanyut di sini, dan sudah bukan jodoh aku dengannya. Aku bernikah dengan Siti Mariam tanpa pengetahuannya. Aku yang bersalah. Sebenarnya dia tidak tahu apa-apa. Intan Syuhada terlalu mempercayai aku. Pada aku dia manusia yang paling jujur, setia dan tulus. Hanya aku yang terlupa. Akhirnya beginilah jadinya' panjang Luqman meluahkan isi hatinya.

'Err... yang sudah tu sudahlah. Hidup kita ini harus pandang ke hadapan.' Fareez cuba menenangkan Luqman. Sedangkan di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang lebih mengetahui.

'Eh, aku balik dulu' Fareez menghulurkan tangannya pada Luqman dan berpeluk-pelukan bagai sudah lama bersahabat karib lagaknya.

'Semoga selamat sampai di Kuala Lumpur'

'Thanks.' Fareez bingkas berjalan keluar dari Malaysian Hall. Di luar, teksi yang telah di tempah awal-awal sudah lama menunggu.

Rindu padamu...

'Ha, Fareez, panjang umur, baru je disebut-sebut ummi kamu tadi' Dato' Shukor cepat sahaja mengecam suara dari sebelah sana. Datin Masriah bingkas bangun dari sofa empuk lalu menghampiri Dato' Shukor. Wajah nya yang muram, bertukar menjadi ceria.

'Ape khabar kamu nak?, ummi kamu dah risau sangat dah' Dato' Shukor menyambung.

'Baik ajer Daddy, sebenarnya, Iz ada sesuatu nak cakap ngan daddy'

'Cakaplah, ummi kamu pun nak dengar' Datin Masriah mendekatkan telinga ke telefon antik.

'Iz nak consult dengan daddy dulu. Nanti lewat sikit Iz telefon balik daddy, tentang Intan.'

'Oklah kalau macam tu. Ni ummi kamu dah tak sabar-sabar nak cakap dengan kamu ni' Dato' Shukor menyuakan telefon pada Datin Masriah.

'Assalamualaikum Iz, apa khabar kamu nak? Intan ada kat sini, esok dia nak mula kerja balik, katanya dah lama sangat dia berehat. Kamu lain kali jangan sampai ummi naik risau kat sini. 3 hari tanpa berita, ummi risau tau!' panjang lebar Datin Masriah memberi nasihat.

'Walaikumussalam. Iz ok je kat sini, tak sempat nak call sana, banyak sangat aktiviti sampai malam. Ini pun baru aje lepas terawih tadi, more kat konsulat, balik terus hotel, mata masih segar. Kalau tidak, sampai hotel terus sahaja terlelap, besok pagi dah bangun sahur dan aktiviti balik. Minggu depan Iz dah balik, tak payahlah ummi risau. Nanti pesan dengan Pak Mat tunggu hari Rabu petang ye? Flight dah confirmed.'

'Baguslah macam tu, orang kat sini dah tak sabar-sabar menunggu Iz balik tau..' usik Datin Masriah sambil menjeling pada Intan. Intan yang dari tadi tidak senang duduk, sekejap mengiring ke kiri dan sekejap ke kanan. Bagaikan cacing kepanasan, saat mendengar nama Fareez di sebut-sebut.

'Ni cakap dengan Intan pulak, takkan tak rindu?'

'Ish ummi ni...' Fareez berdalih. Datin Masirah tersenyum simpul sambil menggamit Intan. Tanpa berlengah-lengah lagi Intan bangun mencapai gagang telefon. Hatinya bergetar saat melekapkan telinga ke gagang.

'Abang sihat?' suara Intan bergetar di corong telefon. Perasaan Fareez yang tadinya libang libu, kembali segar saat mendengar suara buah hatinya yang sangat dirindui. Hatinya bagai dihiris-hiris.

'Sihat, alhamdulillah, Intan bagaimana?. Doa kan abang di sini ya?'

'Alhamdulillah, Intan sentiasa mendoakan abang.' Intan tergugup-gugup menjawab. Datin Masriah masih belum beredar dari hadapannya. Jadi dia tidak mungkin akan meluahkan rasa hati nya di hadapan Datin Masriah. Terasa darah meruap naik ke mukanya. Malu. Sepi seketika. Satu saat, dua saat, tiga saat. Berlalu tanpa sebarang perbualan antara mereka.

'Abang kena masuk tidur dulu ya Intan. Esok abang kena bangun awal. Abang nak tidur dan bermimpi yang indah-indah bersama Intan.' Suara Fareez bagai tersenyum-senyum di sebelah sana.

'Samalah dengan Intan. Assalamualaikum'

'Waalaikumussalam' talian dimatikan.

Sejenak selepas meletakkan telefon, Datin Masriah memeluk erat bahu Intan.

'Alhamdulillah, Iz sihat kat sana, marilah naik tidur. Pagi nanti nak sahur, Intan kan nak kerja esok?'

'Iya, ummi' suara Intan masih tergugup-gugup. Perasaannya bercampur baur. Antara rindu, pilu dan gembira.

Thursday, October 14, 2010

Hari-hari berlalu...

Tiga hari sudah pun berlalu tanpa sebarang berita dari Fareez. Ummi pula sudah mulai bimbang. Beberapa kali aku terdengar Ummi bercakap di dalam telefon, bertanyakan rakan-rakan ummi yang berada di Melbourne, namun hampa. Dato' Shukor pula sibuk menghubungi kedutaan Malaysia di Melbourne, dan jawapannya sama. Kali terakhir mereka melihat Fareez adalah dua hari yang lalu. Itu pun selepas terawih, Fareez terus ke hotel.

'Kenapalah Fareez langsung tak call sini bang? Hari langsung dah makin dekat. Intan pun ada kat rumah ni dah tiga hari, dia langsung tak ada hubungi Intan. Kali terakhir dia hubungi itu pun hari pertama dia sampai di Melbourne.. Macam mana ni bang?' gesa Datin Masriah pada Dato' Shukor.

'Sabar Yah.. awak ni panik tak tentu pasal. Baru tiga hari dia tak call. Kan kursus tu penuh dengan aktiviti, mana sempat dia nak call kita. Dulu pun dia kursus di Beijing, seminggu dia tak boleh call kita. Jangan bimbang.. tentu esok atau malam nanti dia call.' Dato' Shukor cuba menenangkan Datin Masriah.

'Intan janganlah bimbang ya, mungkin sim kad dia dah tukar ke sim kad sana. Itu yang dia tak dapat nak baca sms mahu pun terima call dari kita' Dato' Shukor cuba memberikan alasan yang munasabah.

'Mmmm... saya tak apa-apa Dato'. Tapi dah tiga hari saya tinggal di sini. Saya ingat nak kerja esok. Lagi pun dah hampir seminggu saya tak naik pejabat. Tentu banyak kerja tertangguh.' Intan yang sedang duduk di sofa bersebelahan Datin Masriah bersuara. Kedengaran bibik Nunung menatang cawan berisi air kopi. Selesai bersolat terawih sekeluarga di surau tadi, kesemua ahli banglo Dato' Shukor berehat di ruang tamu. Seperti biasa, bibik Nunung akan membawa secawan kopi untuk mereka bagi menyegarkan badan. Aleeya pula sudah nyenyak tidur di biliknya.

'Betul juga tu, kalau macam tu, esok daddy suruh Pak Mat hantarkan awak ke Cyberjaya. Lagipun esok daddy ada meeting dengan manager HP Cyberjaya jam 10 pagi.'

'Okay' Intan menyahut. Dia tahu kereta MyVi hitamnya masih terparkir di kompaun pejabat. Hampir seminggu juga dia menitipkan pada Miss Mary untuk memanaskan enjin kereta.

'Kringg... Kringg...' bunyi telefon lama, memecah ruang tamu yang sunyi sejenak tadi.

'Ha, kan daddy dah cakap, itu tentu Fareez'

Bibik Nunung yang kebetulan menuju ke dapur, mengangkat telefon yang terletak berhampiran ruang tengah antara dapur dan ruang tamu.

'Hello... Waalaikumussalam... Sihat aja.. Iyya... Ada....' bibik Nunung berpaling pada Dato' Shukor.

'Dato' ada panggilan...' bibik Nunung menyuakan telefon pada Dato' yang bingkas bangun dari sofa empuk berwarna coklat tua, berbunga rose merah.

'Assalamualaikum daddy...'

'Waalaikumussalam'

Thursday, October 7, 2010

Satu demi satu

Intan mengerling jam di dinding. 12 tengahari. Selesai khatam satu novel dari HES. Puas hatinya. Dia memang peminat fanatik HES. Cuma baru-baru ni sahaja dia tidak sempat menyinggah MPH Alamanda. Tapi untung juga dapat membaca tanpa gangguan di bilik Fareez. Kedengaran bunyi kereta memasuki kawasan banglo. Dia berjalan menuju ke jendela, kelihatan Pak Mat membawa beg Aleeya, seketika kemudian kelihatan Aleeya berlari keluar dari kereta, menuju ke dalam rumah.

'Auntie!.. Auntie!... Aleeya dah balik ni...' suara Aleeya menjerit dari bawah.

Intan bergegas keluar dari bilik Fareez.

'Ya.. ya... auntie turun ni...'

Aleeya bergegas mendaki tangga, menerpa tubuh Intan. Hampir sahaja Intan terjatuh kebelakang.

'Aleeya.... tukar baju dulu, auntie tu kan tak sihat lagi... nanti jatuh..' sahut Datin Masriah dari bawah. Baru nampak kelibat Datin Masriah keluar dari ruang tamu. Mungkin berehat sambil membaca di situ. Tidak perasan pula bila masa Datin pulang dari pasar.

'Okay... jom auntie masuk bilik Aleeya...' Aleeya menarik tangan Intan. Intan sengaja membiarkan si kecil menariknya ke dalam bilik. Bilik yang dihias serba merah jambu, menarik seperti dalam majalah Anjung Seri pula.

'Aleeya... selalunya kena mandi dulu tak baru tukar baju?' tegur Intan sebaik melihat Aleeya mula menyalin baju nya ke baju baru di dalam almari kecilnya.

'Kena... tapi hari ni Aleeya tak nak la mandi, Aleeya nak main dengan auntie. Kalau Aleeya mandi nanti auntie tak nak tunggu...'

'Tak pe, auntie tunggu kat bilik. Lagi pun auntie kan tak de nak kemana-mana hari ni. Esok baru auntie balik'

'Yeay yeay.... auntie tunggu tau, kejap je ...' Aleeya menarik muka masam, sambil tangan nya mencapai tuala yang sudah sedia di hujung pintu bilik.

'Hmmmm... macam tu la perangai dia kalau ada orang datang tidur kat sini.. mesti nak ajak main sampai malam.' Datin Masriah muncul dari pintu bilik.

Intan mengangguk-anggukkan kepalanya, dia bangun dari birai katil Aleeya lalu menuju ke pintu.

'Macam mana rasa?, dah makan ubat pagi tadi?'

'Sudah ummi. Rasa segar sedikit.' Pendek Intan menjawab.

'Jangan di layan sangat dengan karenah Aleeya tu. Kalau dah rasa penat, masuk ke bilik dan berehat. Tidur. Doktor kan dah pesan, kena banyakkan berehat. Lagipun hari langsung pun dah dekat.' Nasihat Datin Masriah panjang lebar.

Makanan tengahari disediakan bibik Nunung, hanya bubur nasi dan ikan bilis goreng. Aleeya pula menyuap dengan penuh berselera. Puasa sekerat jalan sahaja, dah berbuka, mana kan tidak, mulut tak berhenti-henti bercakap. Jadi cepat sahaja dia penat.

'Aleeya, makan perlahan-lahan.. Nanti tersedak.' Tegur Intan pada Aleeya.

'Sedap la bubur ni auntie.. mmmm' dia menyuapkan lagi bubur nasi kedalam mulutnya.

'Auntie kena makan tau. Biar sihat betul-betul. Lepas raya nanti auntie ganti la puasa. Macam Aleeya. Kita puasa sama-sama nanti yeh?' bercakap sambil makanan penuh di dalam mulut.

'Makan, tak payah cakap, nanti tersembur pula' perlahan-lahan Intan menyuapkan bubur. Dia perlu mengisi perutnya yang mula berkeroncong. Perlu makan sebelum makan ubat.

'Datin kata, lepas makan cik puan kena masuk bilik dan berehat. Tinggal sahaja Aleeya di sini. Sekejap lagi ada guru tuisyen datang. Jam 2 petang.' Bibik Nunung yang sedang menyusun pinggan kering ke dalam almari bersuara.

'Ala bibik niiiiii....' Aleeya menjerit kecil.

'Dengar tu Aleeya. Kejap lagi tuisyen tau.. nanti petang baru kita main lagi' Intan cuba memberi alasan. Memang seronok bermain dengan Aleeya. Sesekali terasa kasihan pula padanya. Lima tahun tanpa belaian seorang ibu, membuatkan dia menjadi tersangat manja kepada sesiapa sahaja teman wanita Fareez. Itu yang diberitahu Datin Masriah saat dia berbual di bilik Aleeya sebentar tadi. Lepas seorang, seorang, semuanya tidak berkenan di hati Aleeya. Ada juga yang tidak berkenan dengan Aleeya. Tidak tahu melayan kerenah anak kecil. Tidak sabar dengan Aleeya. Ada juga beberapa anak-anak kawan Datin Masriah yang cuba di perkenalkan pada Fareez, tapi semuanya tidak berjaya menarik perhatian Fareez, mahu pun Aleeya.
Sesudah selesai makan dan menelan ubat, dia kembali ke bilik Fareez. Mengambil wudhu’ dan bersolat Zohor. Memohon Allah menyihatkan tubuh badannya. Selesai berdoa, bunyi telefon kedengaran sayup-sayup dari beg tangannya yang terletak diatas meja solek.
Intan bangun, meraih beg tangan dan mengeluarkan telefon. Panggilan dari mama. Alamak.. macam mana ni..
‘Assalamualaikum Intan, mama call rumah malam tadi tak de orang angkat. Pergi ke mana?’ terus sahaja Puan Salbiah menegurnya.
‘Waalaikumussalam.. err... tak de kemana-mana. Tertidur kot, tak dengar.’
‘Owh... Ni, nak bagi tau, persiapan semua dah selesai, auntie kamu yang bersusah payah sediakan 7 dulang hantaran, macam yang mama setuju dengan Datin Masriah hari tu, warna merah rose, dan warna putih berselang seli. Kad pun dah diedarkan. Cuma untuk kawan-kawan Intan, mama dah poskan pos laju ke ofis Intan semalam. Hari ni sampai lah kot. Ada dalam 50 keping untuk kawan-kawan Intan.’
‘Terimakasih mama... mmm sayang mama... kesian kat mak ngah dan mak su, terpaksa bersusah payah untuk Intan... Intan tak tau nak cakap macam mana. Cuti Intan start 2 hari sebelum raya, Intan ambil 2 minggu. Dah lulus dah.’ Terasa jantungnya berdebar-debar bila menyebut tentang hal perkahwinan dirinya.
‘Arghh.... aku nak bernikah? Dengan Fareez...? Serasa seakan-akan bermimpi di siang hari..’ bisik hati kecilnya.
‘Ha, kalau macam tu, nanti nak balik drive elok-elok ya, tak payah suruh Fareez hantarkan, susahkan keluarga dia pula ulang-alik ke sini. Lagipun bertunang ni darah panas. Merbahaya selalu berdekatan berdua-duaan.’ Nasihat Puan Salbiah.
‘Ye lah mama’
‘Ok lah macam tu, Nanti telefon balik mama bila dah terima bungkusan pos laju tu ya?’
‘Ya mama. Kirim salam pada papa ya ma. Assalamualaikum.’
‘Waalaikumussalam’ Lega. Mama tidak mengetahui keadaan sebenar aku di sini. Bimbang juga mama mungkin runsing yang bukan-bukan.


Wednesday, October 6, 2010

Aku, Kau dan Dia.

12 tengahari waktu Melbourne. Keadaan diluar jendela hotel Crowne Plaza kelihatan tenang. Cuacanya sekejap sejuk dan sekejap panas. Fareez terjaga dari tidur, setelah 3 jam terlelap. Dia berpuasa hari ini. Jadi dia tidak bercadang untuk berjalan-jalan. Hanya nanti bila sudah agak petang dan waktu berbuka baru lah dia akan meninjau sekitar kawasan hotel.

Melihat dari jendela, pemandangan indah bumi ciptaan Allah swt cukup mengagumkannya. Dari tingkat 21, dia dapat melihat bumi Melbourne dengan sungai Yarra yang indah. Kelihatan cruise pelancong perlahan-lahan membelah Sungai Yarra.

'Alangkah indahnya kalau dapat bersama Intan, berdua menaiki cruise sambil menikmati keindahaan ini...' bisik hati Fareez.

Air sungai kelihatan tenang dan jalan raya juga tidak kelihatan sesak seperti di Kuala Lumpur. Mungkin dia patut singgah di Malaysian Hall untuk berbuka puasa di sana malam ini. Program akan bermula esok, 5 hari yang agak ketat. Tetapi program akan bermula jam 9 dan habis jam 5 petang. Boleh lah dia berbuka setiap hari di Malaysian Hall. Kalau berseorangan seperti ini, setiap kali dia berada di luar negara, dia pasti akan menuju ke Malaysian Hall, mencari orang Malaysia atau pelajar Malaysia untuk diajak berbual. Sekurang-kurangnya lepas lah rindu dengan keluarga yang jauh di mata.

Jarak dari Malaysian Hall dengan tempat dia menginap, lebih kurang dalam 5 kilometer. Dia perlu mengambil teksi untuk ke sana. Suasana di sana mungkin lebih meriah saat ini, terutama tinggal sepertiga bulan ramadhan. Tentu padat dengan aktiviti iftar, terawih dan qiamullail. Belum lagi dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Dia mengambil wudhu, dan bersolat zohor. Tidak jamak kerana dia tahu, dia akan menetap di situ melebihi dari waktu yang dibenarkan. Sebelum berangkat semalam, dia sempat memuat turun waktu solat fardhu di Melbourne. Dan kompass mekah yang dihadiahkan ayahnya tidak pernah dikeluarkan dari bagasi perjalanannya. Dengan mengikut panduan di kertas bersama kompas tersebut, mudah sahaja dia mencari arah kiblat. Boleh dikatakan setiap kali perjalanan jauh, kompas tersebut pasti menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi. Besar pahala Dato' Shukor.

Selesai solat Asar, Fareez bersiap-siap. Mati kutu dibuatnya berdiam diri hampir 12 jam di bilik. Dia turun ke lobi lalu meraih teksi untuk ke Malaysian Hall. Angin sejuk menderu menerpa ke wajahnya sebaik Fareez menolak pintu lobi. Mujur juga dia bersedia dengan jaket disebalik baju melayu yang dipakai di dalam.

'Malaysian Hall please' Fareez mengarah pemandu teksi.

'Okay' sambut pemandu teksi tersebut.

Leka Fareez melihat pemandangan di kiri kanan jalan, tiba-tiba teksi terhenti. Rasa-rasanya baru 20 minit dia duduk di dalam kereta. Mungkin kusyen pun masih belum panas lagi.

'Here is Malaysian Hall, AUD25 Sir'

Fareez mengeluarkan wang AUD30. 'Keep the change. Thank you'

Fareez menghulurkan sambil tersenyum pada pemandu teksi tersebut. Dia mengangguk-anggukan kepalanya.

Tanpa berlengah lagi dia berlari anak menuju ke pintu masuk utama Malaysian Hall yang berwarna biru lembut itu. Fareez berjalan menuju ke papan kenyataan yang terpampang di dinding dewan. Pelbagai jenis nota tersusun rapi. Dia membaca dari atas ke bawah. Terpandang satu kertas hetam bercorak-corak.

Jemputan Iftar

Tempat: Dewan Malaysia.

Masa: 5 petang ke atas.

Agenda: 5:30 Persiapan berbuka puasa.

7:00 Berbuka puasa dan Solat Maghrib.

8:00 Solat Isya. Solat Sunat Terawih.

10:00 Taddarus.

11:00 Moreh.

'Wah.. menarik ni..' bisik hati Fareez. Suasana yang lengang tadi beransur-ansur ramai. Kelihatan beberapa lelaki, barangkali pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di Dewan Malaysia mula sibuk ke hulu dan ke hilir, membawa beberapa peralatan memasak.

'Assalamualaikum saudara' terasa bahu Fareez disentuh.

'Waalaikumussalam' Fareez berpaling ke arah si pemberi salam tadi. Berusia dalam lingkungan sebaya dengan Fareez. Tetapi dia berkaca-mata. Wajah nya jernih dan bersongkok hitam.

'Saudara baru tiba?, saya Luqman Hakim, saudara?' lelaki tadi menghulurkan tangannya pada Fareez.

'Er... Ya, saya baru sampai pagi tadi, dari Kuala Lumpur. Saya Fareez.' Dia tersenyum.

'Alhamdulillah.. saya pun baru tiba. Maksud saya baru tiba di Malaysia Hall ni. Sebenarnya dah nak balik Malaysia lusa. Fareez?' Luqman menraih bahu Fareez mengajaknya duduk di sofa yang berdekatan.

'Saya ada urusuan perniagaan, ada conference di Crowne Plaza, tak jauh dari sini. Jadi dari saya duduk berseorangan di hotel, teringin pula nak berbuka puasa bersama-sama dengan muslim kat sini'

'O... hmmm... Sempatlah untuk beraya di KL ye?'

'Ha a.. Raya 2 minggu lagi, saya kat sini seminggu je. Eh, nanti jemput lah datang ke rumah saya beraya. Err.... dan InsyaAllah raya ke empat, walimah saya.'

'Wah... pengantin baru rupanya..' Luqman tersengih-sengih.

'Tahniah!' sekali lagi Luqman menghulurkan tangan kepada Fareez. Fareez Cuma tersenyum membalas.

'Siapalah yang bertuah, dapat bisnesman yang handsome ni. Saat-saat akhir pun masih bekerja keras datang ke Melbourne ni.' Luqman cuba berlawak.

'Eh... mana ada kerja keras.. macam melancong je ni.. Tak ada la majlis besar-besaran, Cuma akad nikah aje, raya ke empat. Sebenarnya saya sudah pernah berkahwin. Ada anak perempuan sorang, dah besar dah umur 5 tahun'. Panjang Fareez menerangkan. Kalau di ajak berbual, memang panjang lah cerita masing-masing.

'Mmmm... tak sangka, ada orang yang sama nasib dengan saya.' Luqman menjawab.

'Apa maksud Luqman?' Fareez pula mula mencungkil.

'Saya pun senasib dengan Encik Fareez, saya ke sini pun bersama anak perempuan saya, baru berusia 6 bulan. Saya tinggalkan sekejap pada pelajar perempuan yang tinggal di sini, sementara saya turun ke dewan'.

'Iyya?. Wow... tak sangka.. habis tu lusa nanti baby tu nak di bawa balik Malaysia?. Mana ibunya?'

'Ibunya dah meninggal sewaktu melahirkannya.' Luqman tertunduk sedih.

'Mmm tak apa lah, Luqman, redhalah dengan takdir Allah subhanahuwata'ala. Tentu ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian itu.' Fareez menepuk-nepuk bahu Luqman.


 

    


 


 

Friday, October 1, 2010

Aku kah itu?

Aku tersedar, bila tangan hangat ummi mengusap-usap dahiku. Mengejutkan aku untuk solat subuh. Kain solat dan sejadah juga sudah siap dibentangkan untukku.

Aku ingat-ingat lupa peristiwa malam tadi, bagaimana Miss Mary menghantarku masuk ke dalam kereta yang dipandu Pak Mat. Penangan dos ubat yang diberikan pada ku menyebabkan aku antara sedar dan tidak sedar. Aku terlalu letih untuk berfikir, hanya menurut sahaja kehendak ummi memintaku untuk tidur di bilik Fareez. Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di dalam bilik tidur seorang yang bernama lelaki. Berkali-kali aku memujuk diriku bahawa lelaki pemilik katil ini tiada di sini. Tiada. Noktah. Dan aku pun terlelap sekali lagi sebaik mencecahkan kepala ku di atas bantal Fareez!.

Bunyi telefon bimbit di dalam beg tanganku yang terletak di meja sisi katil mengejutkan aku dari tidur. Sms dari Fareez. Jam 8 pagi. Aku bangun, menggosok gigi dengan jari dan mencuci muka lalu keluar dari bilik turun menuju ke dapur. Suasana sekeliling sunyi sepi. Kedengaran suara bibik Nunung sedang bercakap-cakap dengan bibik Sunarti. Di selang seli dengan suara anak kecil. Sudah tentu Aleeya yang sedang bersarapan sebelum ke tadika.

'Intan, bibik ada masakkan bubur untuk Intan. Intan makanlah ya. Doktor kata Intan tak boleh puasa untuk dua hari ni.' Suara Ummi muncul dari belakangku. Aku yang mengenakan tudung semalam dan baju semalam tertunduk malu. Oh... betapa aku terhutang budi pada keluarga Fareez.

'Terimakasih Ummi..'

'Nanti lepas makan, mandi, salin baju yang dah ummi letakkan atas katil tadi. Baju-baju lama yang ada dalam almari. Harap Intan tak kisah pakai baju lama kakak Fareez.' Ummi meraih bahuku menuju ke meja makan ke arah Aleeya. Aku tersenyum sambil menganggukkan kepala.

'Auntie... auntie.. Aleeya kejap lagi nak gi sekolah. Nanti Aleeya balik, kita main sama-sama ye? Malam tadi Aleeya tunggu auntie kat bilik papa, tapi auntie tak bangun-bangun. Ummi kata auntie tak sihat. Auntie demam ye?'

'Aleeya.... makan elok-elok.. tak baik mulut penuh roti nak bercakap' Ummi menegur Aleeya.

'Ye. Nanti balik kita main okay?' aku menyambut untuk memuaskan hati Aleeya. Selagi tidak di jawab, Aleeya nanti takkan berhenti bersoal jawab.

Aleeya bangun lalu memelukku.

'Aleeya pergi dulu ya auntie' Dia meraih tanganku dan menciumnya. Aku memeluknya erat. Terharu. Kemudian dia meraih tangan ummi dan berbuat yang sama. Sungguh aku terharu melihat anak kecil ini.

'Ummi, ada sms dari abang Iz tadi. Dia kata dah tiba di Melbourne dengan selamat' aku bersuara sebaik melihat ummi bangun untuk menghantar Aleeya ke kereta yang sudah sedia menunggu.

'Oh, ye? Nanti ummi call dia. Intan makan lah ye? Ummi nak hantar Aleeya sekejap. Pak Mat dah tunggu tu, Papa pun katanya nak singgap ofis.'

'Oh.. okay.' Bibik Nunung mencedok sesenduk bubur lalu menyuakan padaku.

'Cik Puan kena makan ya. Ummi kata tadi, cik puan kena makan ubat selepas makan bubur ini. Saya buat bubur ni khas untuk cik puan' ramah bibik Nunung berbicara sebaik ummi keluar dari dapur. Seberkas ubat-ubatan juga disuakan bersama mangkuk bubur tadi.

Selesai makan ubat, aku kembali ke bilik. Baru kali ini aku berpeluang melihat keadaan sebenar bilik Fareez dan menatap gambar-gambar yang tergantung di bilik. Fareez dengan segulung ijazah. Fareez dengan Aleeya. Aleeya semasa bayi. Fareez memakai jersi bola. Gambar Fareez berlatarbelakang Masjidilharam. Tentu waktu dia mengerjakan umrah. Gambar-gambar kecil pula tersusun di atas meja solek. Aku duduk dan memerhati satu persatu gambar-gambar Aleeya yang comel dari bayi hingga sekarang. Rambut perangnya memang menarik sesiapa sahaja yang melihatnya. Akhir sekali aku terpandang satu foto yang diletakkan di dalam frame berbentuk love berwarna merah jambu. Gambar diriku berpakaian kurung kapas berona merah jambu, berdiri disebelah kereta MyVi hitamku, memegang payung kecil sambil menekan remote. Ini tentu kerja Fareez mengambil gambar curi. Sama ada ketika aku hendak pulang atau baru sampai. Aku tersenyum bercampur geram. Geram pada Fareez kerana mengambil gambar tanpa kebenaran aku, tapi tersenyum bila hatiku tiba-tiba tersentuh.

Bilik air yang terletak didalam bilik tidur memudahkan aku untuk bersalin pakaian. Baju dan seluar yang baggy menyebabkan aku selesa sahaja untuk tidur semula. Aku menjenguk ke luar. Sunyi sepi. Mungkin Ummi pun masih belum pulang, dan bibik pula sedang berehat. Aku pun bergerak ke arah jendela tidak jauh dari birai katil. Di luar juga suasana tenang. Mataku sudah keras, tidak boleh dipaksa untuk tidur lagi. Ada meja kerja yang terletak di bahagian sudut bersebelahan bilik air. Buku-buku tersusun kemas di atas rak. Semuanya buku berkaitan dengan kejuruteraan. Di hujung meja tertindih dengan kertas kerja, aku lihat ada sebuah buku kecil. Aku menyelak kertas tersebut, terpandang novel bertajuk Bumi Cinta karangan Habiburrahman El-Shirazy.

'Wah.. tak sangka ada masa pula Fareez baca buku HES yang terbaru ni.' Aku berbisik seorang diri sambil menyelak-nyelak helaian novel. Tanda buku sudah sampai di bahagian tengah buku. Agak lama juga aku tidak membaca novel. Hampir 3 bulan aku tidak menyinggah kedai buku. Entah kenapa, aku pun tidak pasti.

'Tentu best ni..' bisik hatiku. Aku berjalan ke katil lalu berbaring sambil membaca. Sehelai demi sehelai.