Ruangan Iklan

Thursday, July 1, 2010

Episod 11: Bayu laut sepoi-sepoi bahasa, hati ini mengapa tidak merasa?

Myvi hitam ku baru dikilatkan sebentar tadi. Setelah seharian bersalut habuk dari perjalanan jauh putrajaya-kuala terengganu. Warna hitam memang nampak lebih cepat berhabuk berbanding dengan warna-warna biasa. Aku sengaja menghantarkan kereta kesayanganku itu ke kedai yang berhampiran dengan Hotel Grand Continental. Betul-betul terletak dipesisir pantai. Hajatku petang nanti hendak bersantai-santai di Pantai Batu Buruk. Sudah lama juga aku tidak ke sana. Biasa nya petang-petang memang ramai kanak-kanak bermain layang-layang.
Malam tadi, selepas makan malam, aku sengaja memberanikan diri menyoal tentang isu bilik aku yang terhias indah, bagaikan mahu menyambut sesuatu. Biasanya bilik sebegitu untuk bakal pengantin sahaja. Aku pernah juga menjadi pengapit rakan baikku dua tahun yang lalu, Sofea. Aleesya Sofea, sudah lama juga tidak menghubungiku. Aku juga tidak berkesempatan menghubunginya. Dua tahun, mungkin Aleesya pun sudah punya baby, atau mungkin sudah mengandung untuk anak kedua. Aku pula, masih seperti dahulu.
'Ma, kenapa bilik Sue? Ada orang nak datang ke?' Sambil mengunyah nasi putih panas, bergaul ayam masak kerutub kegemaranku. Mama memang mahir memasak, terutama sekali kalau masak ayam kerutub dengan rempah ros, keistimewaan negeri Terengganu.

'Tak ada apa-apa Su, makan lah lagi' Mama sengaja berselindung. Nampak seperti serba salah lagaknya.
Lega rasanya, satu bebanan terangkat. Tetapi wajah serba-salahnya itu membuat aku tidak percaya seratus-peratus akan perkataan yang diluahkan oleh mama tadi.
Aku terhenyak di sofa empuk dihadapan tv, setelah kekenyangan menikmati masakan kegemaranku tadi. Ruang tamu yang terhias indah itu memang sengaja aku pilih rona hijau lembut. Kalau diikutkan mama, warna merah terang yang diminatinya. Tetapi dia mengalah demi anaknya yang seorang ini. Langsir Hijau Lumut menyebabkan ruang tamu nampak redup jika di waktu siang, dengan hanya dua tingkap sliding, pencahayaannya terlalu terhad. Tetapi jika waktu malam memang indah dan nyaman bersantai di ruang tamu.
'Pa nak bagi tahu ni' Sambil berjalan menuju ke sofa di hadapanku. Mama menyusul dari belakang dengan tangannya membawa dulang berisi teko kopi. Aroma kopi yang sangat menusuk hidungku.
'Mu tak usah gi mana-mana la dua tiga hari ni, ada kawan Pa nak mari' tersusun ayat dari mulut Papa.
'Siapa Pa?, ada apa kena mengena dengan Sue pulak?'
‘Tak de apa-apa, kawan papa semasa kerja dulu nak mari'
‘Kawan semasa polis dulu ka Pa? Yang mana satu? Su kan kadang-kadang tahu juga, pak cik Nasir ka, Pak cik Mat drebar ke atau Pakcik Hassan?’ Habis semua nama aku senaraikan. Nama-nama yang masih segar di ingatan. Nama ayah teman sepermainan ku dulu. Tidak diketahui di mana mereka sekarang. Entahkan masih ada lagi atau sudah menerima jemputan illahi. Setahu aku hanya seorang sahaja teman papa yang sudah pergi, Pakcik Ramli. Sakit jantung dengar kata Makcik Pah.
‘Bukan, bukan, hak lain, kawan masa gi latihan untuk pencen dulu, kawan pernah sebilik dengan papa semasa umrah tahun lepas.’ Papa tersenyum meleret.
‘Oooh... kawan umrah rupanya. Papa ni buat suspen je. Habis tu kenapa pula bilik Sue jadi mangsa? Macam bilik pengantin je, mama, papa?’
‘Mereka datang ada hajat tu. Bulan lepas dia ada telefon ke rumah ni, tanya bila boleh datang, nak merisik; Akhirnya keluar juga kata-kata dari mulut papa.
‘Merisik? Sue? Mama tak cakap pun dalam telefon hari tu?’ aku menjeling pada mama.
‘Mama tak cakap la, nanti kamu tak mahu balik pula, malu biar bertempat Sue, umur dah makan naik tiap tahun, bukan makin kurang.. apa salahnya kalau kawan papa nak tengok anak papa kan?’ Papa cuba memujuk.
‘Ataupun Sue dah ada calon sendiri ke?, kalau ada, bawa la kemari boleh papa berkenalan, atau pun minta keluarga dia mari sini, buat cara elok, berkenal-kenalan dulu?’
‘Mmmm tak ada la papa, tak sesiapa pun..’ Dalam hatiku sudah terdetik nama Luqman. Tetapi Luqman tidak pernah menyebut ingin berjumpa keluargaku, sungguhpun perkenalan kami sudah agak lama. Hampir 3 tahun berkenalan. Tetapi yang ada Cuma hadiah-hadiah dari Luqman, dan gambar-gambar posing istimewanya di Tasmania. Adakah aku yang berangan-angan dan perasan, dan harus setia menunggu buah yang tak mungkin gugur atau masak?.
‘Bila hari dia nak mari tu mama?’
‘Hari Rabu, dia nak tidur semalaman di sini katanya, nak berjalan-jalan tengok negeri kita. Jadi Rabu, Khamis dia ada di sini lah’
‘Tak payah risau lah, kawan papa tu dah confirmkan dan booking bilik dah kat Grand Continental seberang rumah kita ni’ Bagai tau-tau kebimbangan aku, mungkin melihat wajah ku yang berkerut-kerut tadi.

No comments:

Post a Comment