Ruangan Iklan

Friday, July 2, 2010

Keropok leko yang lembut, hatiku terpaut.

Aku sengaja tidak kembali ke rumah setelah MyVi ku siap dikilatkan. Aku berpuas hati dengan hasil kerja anak muda yang menjadi usahawan kecil di kampung ini. Kampung Tanjung Batu 1, ini terletak tidak jauh dari bandar Kuala Terengganu, malah ia terletak di dalam bandar itu sendiri, Bezanya Cuma ia tidak lah sehebat bandar-bandar lain, Rumah-rumah kampung masih berdiri dicelah-celah bangunan empat tingkat. Termasuk lah Hotel Grand Continental, betul-betul terletak bersebelahan dengan tanah milik saudara sebelah papa. Tok saudara yang sudah tua, tetapi masih lagi tinggal di rumah lama bersama anak bongsu yang menjaganya. Aku rasa usia nya mungkin sudah lebih 100 tahun. Setiap kali aku berhari-raya di rumah nya, dia masih mengingati siapa aku, anak kepada cucu yang mana satu. Ingatannya masih kuat. Sejak akhir-akhir ini sahaja dia kerap sakit-sakit. Demam dan kadang kala tidak dapat bangun menunaikan solat. Terpaksa dipapah oleh anak bongsunya yang ku panggil Mak Su.

Berkumandang azan Asar dari surau tembaga yang terletak tidak jauh dari Hotel Grand Continental. Aku bergegas memandu menuju ke Masjid Sultan Zainal Abidin yang teletak tidak jauh dari situ. Anggaran jika berlari atau jogging sudah tentu tidak sempat penat, sudah tiba di masjid. Sengaja aku tidak menyinggah ke rumah, aku ingin bersendiri sambil menikmati santai di tepi Pantai Batu Buruk.

Usai solat jemaah di Masjid, aku memandu ke pesisir pantai. Kelihatan beberapa peniaga layang-layang sedang memasang layang-layangnya.
Beberapa layang-layang lain masih dalam bungkusan. MyVi meluncur perlahan menuju ke gerai makanan yang terletak di sebelah hujung taman permainan.

‘Mmmm dah lama tak makan keropok leko’ bisik hati kecilku.
Aku berhenti berhampiran salah satu gerai yang aku lihat sedang rancak menggoreng keropok leko. Kelihatan beberapa bebola ikan dan sotong, sedia dipamerkan.
‘Kak, bagi kerpok leko seriya’ aku menunjukkan pada keropok leko yang masih panas.
‘Sorang saja?’ tegur kakak peniaga tadi sambil tangannya mengisi keropok leko ke dalam plastik lalu mencurahkan sos cili manis spesial negeri terengganu.
‘Ha a, saja nak ambil angin pantai’ jawab ku sambil mengunjurkan duit padanya.
‘Hati-hati ya, jangan duduk jauh hujung-hujung, ni tak ramai orang, bahaya’. Kakak tersebut sempat menitipkan nasihat buatku.

‘Baiklah kak’ Memang ada kes pembunuhan pernah berlaku di Pantai Batu Buruk ini tidak berapa tahun yang lalu. Kes nya masih belum dapat di selesaikan. Ramai yang membawa mulut mengatakan kes jenayah penagih dadah, namum aku masih tidak dapat mempercayai berita tersebut. Kawasan pesisir pantai ini ramai pengunjung, dan kes pembunuhan memang tidak pernah berlaku di sini.
‘Ikut saja lah nasihat akak tu.. Bahaya sensorang ni’ bisik hatiku.
Aku memarkir berhampiran dengan penjual layang-layang. Lagu Ebiet G Ade berkumandang di radioku. CD yang sengaja ku beli dari Indonesia sewaktu lawatan tempohari. Lawatan yang di anjurkan oleh Dato’ Shukor.

Sambil mengunyah keropok lekor yang enak dan menikmati bayu laut yang sepoi-sepoi bahasa, fikiran ku melayang pada peristiwa malam tadi. Aku perlu menghubungi Luqman sebelum mereka sampai ke rumahku.
‘Bagaimana harus aku beritahu Luqman?’ Tandatanya yang sukar untuk aku jawab. Luqman yang aku kenali sejak kecil, namun sukar untuk meluahkan rasa hatinya pada ku, atau akukah yang ditimpa perasaan?.

Aku memejam mata seketika. Perut pun sudah kenyang, aku perlu mencari air kelapa muda pula. Seronok sungguh kalau dapat bekerja di tempat sendiri. Makanan yang sedap, dan persekitaran yang sangat mendamaikan.
‘Kalau ye pun, jangan la tidur di tempat public macam ni..’ sapa suara lembut itu. Alamak, ada suara yang sangat-sangat aku elakkan. Eh adakah aku bermimpi. Aku harap aku sedang bermimpi di siang hari.

Perlahan-lahan aku membuka mata. Aduhai betullah, Fareez yang muncul di depan mataku. Aku harapkan ianya mimpi, tetapi tidak, dia betul-betul berada di sisi keretaku. Macam mana aku boleh tidak perasan dengan EX5 gagah perkasanya yang sudah sedia terparkir di sebelahku?.
‘Err..mmmm... errr....’ aku gugup seketika, tidak tahu hendak berkata apa lagi.
‘Bahaya seorang-seorang dalam kereta, dan terlelap pula tu. Mujur la I ni tak suka nak ambil kesempatan tau. Kalau orang lain macam mana?’ Fareez menyahut lagi.
‘Eh.. mmmm macam mana boleh En Fareez ada kat sini?’ aku bertanya lagak seperti orang yang mamai-mamai.
‘I ternampak kereta you tadi, masa I nak pergi tengok layang-layang kat sebelah ni, I ingatkan salah orang, tapi betul pula...’ Fareez cuba berselindung.
‘Bukan macam tu.. maksud saya, macam mana Encik Fareez boleh berada di Kuala Terengganu?, bukan kah Encik Fareez sepatutnya memantau syarikat di Port Dickson?’

Aku teringat agenda minggu lepas yang Dato’ Shukor tunjukkan padaku, tentang syarikat yang berada di Port Dickson yang perlu pemantauan serius. Bekerjasama dengan tentera memang perlukan keseriusan yang tinggi. Tentera terlalu berdisiplin walaupun dengan vendor mereka. Lewat sedikit mungkin akan dikenakan penalti.

‘Oooo itu kan minggu lepas, I dah pantau lebih 4 hari kat sana. Semua laporan I dah serahkan pada Dato’ Shukor. Apa salahnya I ambil cuti dua tiga hari untuk lepaskan lelah ke pantai timur ?’ Fareez menjawab dengan jawapan yang aku sendiri hampir tidak percaya. Adakah Fareez mengekoriku?. Tapi aku memang selalu melihat cermin pandang belakang, tidak pernah aku lihat kelibat EX5nya di mana-mana. Tiba-tiba sahaja muncul.

Aku menelan airliur. Hampir kering tekakku, kehausan. Selepas makan keropok lekor tadi, mungkin aku terlelap, sebelum bermimpi membeli air kelapa muda. Macam mana lah aku boleh cuai sangat.
‘Jom, I belanja you minum air kelapa muda kat situ?’ Fareez menunjukkan pada gerai kakak tadi. Macam tahu-tahu sahaja Fareez yang aku tadi masih belum minum lagi.

1 comment: