Ruangan Iklan

Tuesday, June 22, 2010

Episod 4: Merah jambu yang lembut, selembut wajahmu di sana

‘Desir pasir di padang tandus..... Segersang pemikiran hati.. Terkisah ku di antara cinta yang rumit...’ sayup mendayu-dayu deringan telefon bimbit yang sengaja ku letakkan di dalam laci.

‘Assalamualaikum ma..’ aku menjawab telefon sejurus selepas menyentuh skrin iPhone pemberian Luqman, terpapar Mama diskrin. iPhone baru sempena harijadiku yang ke 30. Besar sungguh angka 30 itu, kalau dulu aku mungkin sudah berpangkat andartu, tetapi di zaman teknologi serba canggih ini, umur 30 baru permulaan hidup. Selepas SPM, masuk ke Universiti, di situ sahaja sudah habis hampir 10 tahun, hanya belajar sahaja.

‘Waalaikumussalam’ terdengar sayup suara Puan Salbiah di hujung sana.

‘Minggu depan ni Sue balik tak?, mama ada banyak kenduri ni, kan minggu depan dah mula cuti sekolah, Sue tak ambil cuti ke?, dah lama Sue tak balik rumah mama..’ Puan Salbiah tidak sabar-sabar lagi meneruskan bicara. Nampak bersungguh benar Puan Salbiah memujuk Intan Suraya supaya pulang ke Kg. Tanjung Batu 1, terletak tidak jauh dari Bandar Kuala Terengganu.

‘Mmmm, mama, Sue cuba mohon cuti dulu ye, Dato’ kadang-kadang bercuti keluar negara, boleh lah Sue mohon masa tu.. tapi Sue takut nak janji apa-apa. Takut tak jadi, nanti Mama yang frust..’ aku menjawab perlahan. Aku ada membuat tempahan penerbangan untuk Dato’ Shukor sekeluarga ke Dubai untuk minggu hadapan. Sambil bercuti sambil memantau syarikat cawangannya yang terletak di Dubai.

‘Kalau macam tu, bila Sue dah dapat cuti, terus telefon Mama ya, jangan lupa’ gesa Puan Salbiah bersungguh-sungguh.

‘Ya la, InsyaAllah’

‘Jaga diri baik-baik Sue, Assalamualaikum’

‘Waalaikumussalam’. Sejurus aku menyetuh butang tamat perbualan, satu SMS terpapar di skrin, dari Luqman.

‘Salam, seronok guna iPhone kan? Sue kena subscribe 3G baru lebih seronok, facebook boleh, ym boleh, skype, email dll’

Aku membalas, ‘InsyaAllah, terimakasih’

Luqman memang sahabatku sejak di bangku sekolah. Jauh perjalanannya, kisah hidupnya penuh dengan liku-liku. Aku hanya menjadi pendengar setia setiap kali dia meluahkan perasaan. Tetapi, mengapakah sejak akhir-akhir ini hatiku bagaikan tersentuh setiap kali mendapat panggilan atau SMS darinya?. Adakah ini di namakan cinta?.

‘Sue, masuk’ terdengar suara Dato’ Shukor dari intercom diatas mejaku. Sebentar tadi, tepat jam 10, Pak Mat tiba bersama beg Dato’ Shukor. Aku sudah sedia maklum, dalam masa 5 minit lagi, tentu Dato’ Shukor pula yang muncul. Sejak aku bekerja dengan syarikatnya 5 tahun lalu, amalan Dato’ Shukor dengan solat Dhuhanya tidak pernah tinggal. Aku betul-betul mengagumi sifatnya yang tawadu’ dan sangat rendah hati, walaupun sudah bergelar Dato’ dan mempunyai harta berbillion dollar US, namun dia masih mengekalkan rutin hariannya tanpa culas.

Aku bergegas bangun, sambil menjeling cermin muka, aku membetul-betulkan muncung tudung sekilas lalu. Tudung merah jambu lembut beserta baju kurung kain kapas, bercorak bunga-bunga kecil, bertanah putih, berbunga merah jambu terang.
Sejurus menolak daun pintu, semerbak aroma dari perfume Fareez. Ish... gangguan persekitaran betul la..

‘Ya Dato’’

‘Ini Fareez Fahmi, Project Manager kita yang baru, dia akan ganti En Zainal yang akan kita hantar ke Dubai mulai minggu depan.’ Dato’ Shukor memperkenalkan Fareez padaku. Aku mengangguk-anggukkan kepala tanda memahami.

‘Awak bawa dia berjumpa dengan Encik Zainal ye, ada apa-apa masalah terus sahaja bagitau dengan saya’ ujar Dato Shukor.

‘Baik Dato’’ aku menggamit Fareez untuk mengikutku.

‘Fareez, ada apa-apa masalah you bagitau sahaja dengan Intan Syuhada ni, semua nanti InsyaAllah boleh dibantu’ sambung Dato’ Shukor lagi.
Fareez tersenyum meleret, sengaja mengusik aku.

‘Hai Fareez, lunch nanti I bawa you pergi tinjau kawasan sekitar ni nak?’ Suraya tersenyum simpul cuba menggoda Fareez. Dia sengaja menarik tangan Fareez menjauhi aku. Sebentar tadi, aku melalui bilik Suraya untuk ke tingkat bawah, ke bilik Pengurus Projek bagi sistem integrasi di Malaysia.

‘I ok saja, jom Intan?’ Fareez sengaja mengajak aku mengikutinya.

‘I dah kenyang lah, lagi pun nasi lemak pagi tadi masih belum habis lagi’ aku sengaja mengelak.

‘Err.. Dato’ minta I tunjukkan bilik En Zainal, Fareez akan ganti En Zainal.’

Sengaja aku lontarkan kata-kataku pada Suraya, dan aku tahu, sudah tentu Suraya yang akan mengganti aku menunjukkan bilik Encik Zainal.
Aku kembali ke tempatku. Sejak 5 tahun yang lalu, Dato’ Shukor memang suka memanggilku dengan nama panggilan Sue, padahal Suraya juga boleh dipanggil Sue, tapi Dato’ Shukor, sengaja memanggil nama Suraya dengan Sally, selayaknya dengan peribadinya. Aku pula jenis tidak kisah, tiada cik, tiada miss, panggilan mesra, Sue sahaja.

Dato’ Shukor selayaknya sudah berpencen. Usianya yang menjangkau 65 tahun, memang dia wajar duduk sahaja di rumah banglo yang indah bersama Datin Masriah. Namun dia tidak betah tinggal diam tanpa sebarang aktiviti. Anak-anaknya semua tinggal di luar negara. Boleh dikatakan kelima-lima anaknya menerajui anak syarikatnya di seluruh dunia. Along di Jordan, Timur Tengah, Angah di Jeddah, Arab Saudi, Uda di Sulawesi, Indonesia, Acik di Sri Lanka dan yang bongsu di Beijing, China. Masing-masing sudah bekeluarga, yang bujang hanyalah si bongsu di Beijing, China.

Aku mengenali anak-anak Dato’ Shukor pun melalui Miss Mary, pegawai HR di jabatan HR. Aku sendiri tidak pernah bertemu muka dengan anak-anak Dato’ Shukor. Sekretari sebelum aku dulu, Puan Zaimah ada juga memberitahu tentang anak-anak Dato’ dan cucu-cucunya. Kadangkala aku ada juga menghubungi Puan Zaimah. Orang sudah berpencen, memang ulang-alik ke masjid sahaja. Puan Zaimah hanya berada di rumah jam 1 tengahari dan 5 petang membawa ke malam, kalau tidak memang tidak dapat dihubungi, mengaji di masjid atau beraktiviti di balairaya. Sejak aku mengambil-alih kerja-kerja Puan Zaimah, hidupku sentiasa sibuk.

Dua tahun sebelum itu aku hanya menjadi penolong Puan Zaimah, hanya dengan kelulusan Diploma Sekretari sahaja aku memohon kerja dan kebetulan pula Puan Zaimah memerlukan penolong. Memang rezeki aku di sini. Dari budak kampung terus menjadi budak cyber. Sudah tujuh tahun aku menjadi pekerja Dato’ Shukor.

No comments:

Post a Comment