Ruangan Iklan

Tuesday, December 14, 2010

Naza Taliyya JB

Aku tersentak dari lamunan bila pintu bilik hotel Naza Taliyya diketuk. Sejak dari pagi selepas bersarapan aku merenung jauh ke luar jendela. Memerhatikan pergerakan kereta yang mengensut-ensut perlahan menuju ke pintu keluar masuk Imigresen. Tentu masing-masing bekerja di Singapura. Aku bingkas bangun dari kerusi empuk hijau tua, lantas mencapai remote televisyen dan mematikannya. Entah cerita apa yang ditayangkan di HBO aku sendiri tidak pasti.

Aku mengintai lubang dibelakang pintu, Fareez sedang menunggu diluar. Bergegas aku memulas tombol, Fareez meluru masuk ke dalam tanpa sebarang salam, terus masuk ke bilik air.

'Kenapa bang?'

'Sakit perut.. tak tahan..' sahut Fareez dari dalam.

Petang semalam kami tiba di Bandar Baru Uda tepat jam 3. Fareez terus memandu ke pejabat cawangannya yang terletak di Plaza Angsana. Aku membawa diri ber'window shopping' bersendirian. Dalam hati seronok juga kalau bawa Aleeya bersama, tapi Datin pula tak benarkan Aleeya dibawa jauh-jauh, katanya dia bimbang aku tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada Aleeya, dengan keadaan aku yang sedang berbadan dua.

'Mmm ni mesti makan pedas malam tadi, Intan ada bawa pil chi kit, kejap ye..' aku mengambil beg tangan, mencurah segala isi di dalam, dan bertaburlah segala isi perut beg, liptstik, bedak kompak, nota kecil, pen, beberapa resit, minyak wangi, tisu dan beberapa keping duit syiling berserakan diatas katil.

Kedengaran Fareez keluar dari bilik air sambil mengeluh.

'Aduh....' Fareez menuju ke katil dan terus berbaring.

'Ni, makan terus..' aku mengunjukkan pil chi kit tadi dan segelas air suam. Mujur juga aku telah panaskan air sebelum turun bersarapan tadi. Dia bangun perlahan, menuangkan segala biji-biji pil kedalam mulut dan terus menelan air suam tadi.

Aku mengambil balm panas yang bertabur di atas katil tadi. Menyapu di perut Fareez sambil berselawat. Dia terlantar memejamkan mata. Berkerut-kerut keningnya. Bunyi lagu Wali Band-Adinda berkumandang di udara. Iphone Fareez di atas meja sisi bergetar-getar. Fareez tidak bergerak-gerak mungkin keletihan. Malam tadi memang dia makan agak banyak, ketam masak pedas. Aku pula mengelak dari makan pedas, sejak akhir-akhir ini memang aku langsung tidak boleh menelan pedas, akan terkeluar semula.

Aku mengambil iphone, tertera nama Abang Akim di paparan iphone. Abang Akim abang yang kedua dia atas Fareez. Dia yang bertanggung jawab di cawangan Johor Bahru.

'Ni Intan, Fareez tak sihat, dia sakit perut...' aku menjawab selepas menjawab salam dari sebelah sana.

'Nanti dah sihat minta dia call balik ya, malam ni tidur rumah abang Akim tau, abang dengan kakak sekeluarga nak bawa kamu berdua ronda sekitar Pasir Gudang..'

'Okaylah, InsyaAllah Intan akan sampaikan' aku mengerling ke arah Fareez yang sudah nyenyak dengan dengkuran kecil. Kesiannya dia, sudahlah semalam tidak rehat langsung. Dari Kuala Lumpur terus ke pejabat di JB dan terus mesyuarat dan kemudian terpaksa turun padang melihat server yang sedang dalam masalah. Cuma malam sahaja yang dia sempat berehat, itu pun sudah lewat, hingga Plaza Angsana hampir tutup.

Setelah menunggu hampir setengah jam, Fareez pun tersedar dari tidur. Aku yang setia menunggu disebelahnya hanya mampu tersenyum.

'Dah lega?'

'Alhamdulillah ok sikit... tadi tu memang abang patah balik ke hotel, tak sempat sampai pun kat ofis..' Fareez memegang perutnya.

'Intan tolong drive abang pergi Plaza Angsana ye?' dia menyambung.

'Boleh ke? Tadi abang Akim ada call, dia kata malam nanti dia suruh tidur rumah dia. Dia nak bawa ronda Pasir Gudang. Tapi kalau abang masih belum ok, tak payah la kita pergi ye?'

'Tak pe, dah ok sikit ni, jom check out, abang ada tugasan belum selesai lagi kat ofis sana'

Tanpa berlengah, memang tak banyak baju pun yang dibawa, aku mengemas serba sedikit beg pakaian. Tidak sampai sepuluh minit, semua nya sudah siap sedia untuk check-out walaupun jam baru menunjukkan 10 pagi.

Sunyinya bila terpaksa berjalan berseorangan di dalam kompleks membeli-belah yang sentiasa sibuk. Aku sengaja menghabiskan masa duduk di kerusi Rest N Go yang berfungsi untuk mengurut badan dan kaki. Selesai berurut terasa lega sedikit badan dan kaki. Memerhati gelagat manusia yang keluar masuk dari satu kedai ke satu kedai. Memasuki kedai Gulatis yang penuh dengan kain renda-renda EuroModa yang sesuai untuk pengantin, teringat pula dengan baju pengantin yang mama reka tempohari. Mungkin di beli di Gulatis, aku sendiri pun tidak ambil tahu, kasihan Mama.

Abang Akim dan kak Sofea, hanya sempat aku kenali semasa kenduri kahwin kami di rumah banglo Dato' Shukor. Di situlah kami berkumpul makan malam beramai-ramai, dan aku diperkenalkan dengan setiap ahli keluarga Dato' Shukor dalam satu malam. Semua kaum kerabat Dato' Shukor hadir, termasuk adik-beradik sebelah Dato' dan Datin. Boleh dikatakan kesemuanya mempunyai lingkaran perniagaan masing-masing. Adik beradik Datin pula kebanyakkannya pensyarah, kesemuanya 10 orang, dan Datin pula anak yang sulong. Jadi, ibu Datin masih sihat, berusia 80 tahun, dan warak pula orangnya. Hanya mahu dipanggil Nek Yah sahaja.

Dato' pula memang tidak punya sesiapa, memang dibesarkan di rumah anak yatim Yayasan Al-Hikmah Kajang. Itu pun Dato' ceritakan lewat tengah malam, bila hanya tinggal kami berdua disisi kolam menikmati keindahan malam di banglo.

No comments:

Post a Comment