Ruangan Iklan

Thursday, December 2, 2010

Alhamdulillah...

Sejak tiba dirumah, hati Intan berdebar-debar. Petang tadi lagi, keluarga Fareez telah tiba dan menginap di hotel Grand Continental. Paling dekat sekali dengan rumahnya. Fareez sudah beberapa kali menghantar sms padanya bertanyakan apa yang sedang dia lakukan. Intan cuba sedaya upaya untuk tidak menyinggung perasaan Fareez. Sengaja membalas ringkas tetapi tetap mesra, pada hakikatnya Intan terlalu berdebar-debar menunggu hari esok tiba.

Malam berinai, suasana di dalam rumah terang benderang. Mama sengaja menjemput jiran-jiran sekitar memeriahkan malam berinai. Kelam kelibut masing-masing di dapur, ada yang mengisi cenderahati kedalam bekas, ada yang sedang menghias pohor, ada juga yang mengambil gambar. Boleh dikatakan hampir kesemua sepupu sebelah mama ada ketika ini. Suasana hingar bingar di dapur, menyebabkan Intan tidak berani menjejakkan kaki ke dapur. Bimbang diusik-usik oleh ibu-ibu saudaranya. Mak Andam yang ditempah mama dari Butik Amani mengeluarkan barang-barang dari kotak andamannya.

'Malam berinai ni, nanti tidur kena diam-diam, tak boleh pusing-pusing. Esok inai nya tak jadi nanti' bisik Mak Andam di telinga Intan. Intan mengangguk-anggukkan kepala. Perlahan-lahan jari-jemari mak andam mengukir di tangan Intan. Selang sejam kemudian inai yang diukir pun terserlah. Hati Intan semakin berdebar-debar. Dia mengerling jam di dinding. Baru jam 11 malam. Esok tepat jam 10 pagi, Intan akan bertukar status, menjadi isteri Fareez. Terasa pilu terhiris dipintu hatinya.

Diam tak diam, dalam pada tidur-tidur ayamnya, jam berdenting 6 pagi. Entah bila masa pula orang-orang di dapur pulang kerumah. Tahu-tahu sahaja bau tumisan bawang. Semerbak membuatkan perut Intan berkeroncong. Inai dijari telah pun kering. Intan bangun, mandi dan menunaikan solat subuh. Selesai bersolat, dia bingkas ke dapur, mencari sesuatu untuk dibuat alas perut.

'Ha Intan, makan la dulu, ada mee goreng udang, mak uda masak tadi. Sekejap lagi ramai yang bangun, tak sempat anak mama makan nanti...'

'Mmmm sedapnya bau... mak uda masak ni mesti sedap..'

'Alahai Intan, orang nak nikah mesti la kena masak sedap-sedap.. nanti apa pula kata orang yang makan kalau tak sedap kan? Tapi kan mak uda rasa, Intan mesti tak rasa apa-apa walau sedap macam mana pun mee ni kan? Hati yang berdebar-debar tu boleh menyebabkan lidah kita tawar tau...?' Mak Uda sengaja mengusik Intan sambil ketawa-ketawa.

Intan tertunduk malu.

Mak Andam tiba tepat jam 9 pagi. Waktu itu Intan sudah pun bersiap-siap dengan gaun pengantin berona putih dan tudung sulaman bermanik-manik berwarna putih. Tinggal tunggu mak Andam mencalitkan make-up sahaja ke wajahnya. Di dada Intan, sudah tidak terkira lagi berapa pantasnya debaran yang terasa. Jari-jemarinya menggigil walaupun ada sejam lagi sebelum jurunikah sampai. Keluarga Fareez pun sudah pun tiba, dan mama sengaja menjemput mereka minum dahulu bagi mengalas perut.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran bising-bising di ruang tamu. 'Dah sampai dah tu..' mak saudara sebelah papanya bersuara di pintu bilik. Terasa bagai nak luruh jantung Intan. Mak Andam pun hampir selesai menyolek wajahnya. Kelihatan di cermin bagai artis pula, langsung hilang wajah Intan yang asli.

'Dah.. Intan dah boleh turun ni...' sahut mak andam pada mak saudara nya tadi.

Perlahan-lahan Intan menuruni anak tangga, di ruang tamu yang telah dikosongkan, hanya ada pelamin merah dan dibahagian tengah ruang tamu kelihatan bantal besar untuk pengantin lelaki dan juru nikah, di suatu sudut bahagian hujung ruangan pula ada satu bantal merah untuk pengantin perempuan. Mak Andam meraih tangan Intan dan membawanya duduk di tempat perempuan.

Intan mengerling pada pintu masuk. Kelihatan kelibat Fareez yang sedang melangkah ke ruang tamu. Aduhai, Fareez dengan baju melayu tanpak menawan hati semua yang memandang. Saat mata bertentang mata, Intan tidak tahu betapa lajunya debaran di dadanya. Selesai semua duduk di tempat masing-masing, semua hadirin diminta diam bagi memberi peluang jurunikah membacakan sesuatu kepada Fareez.

'Aku terima nikahnya Intan Syuhada.....'

'Alhamdulillah... sah? Sah? Sah?' masing-masing saksi menganggukkan kepala sambil berkata sah.

Fareez meminta izin untuk menunaikan solat sunat nikah dan air mata Intan mengalir laju di pipinya.


 


 

No comments:

Post a Comment