Ruangan Iklan

Wednesday, October 6, 2010

Aku, Kau dan Dia.

12 tengahari waktu Melbourne. Keadaan diluar jendela hotel Crowne Plaza kelihatan tenang. Cuacanya sekejap sejuk dan sekejap panas. Fareez terjaga dari tidur, setelah 3 jam terlelap. Dia berpuasa hari ini. Jadi dia tidak bercadang untuk berjalan-jalan. Hanya nanti bila sudah agak petang dan waktu berbuka baru lah dia akan meninjau sekitar kawasan hotel.

Melihat dari jendela, pemandangan indah bumi ciptaan Allah swt cukup mengagumkannya. Dari tingkat 21, dia dapat melihat bumi Melbourne dengan sungai Yarra yang indah. Kelihatan cruise pelancong perlahan-lahan membelah Sungai Yarra.

'Alangkah indahnya kalau dapat bersama Intan, berdua menaiki cruise sambil menikmati keindahaan ini...' bisik hati Fareez.

Air sungai kelihatan tenang dan jalan raya juga tidak kelihatan sesak seperti di Kuala Lumpur. Mungkin dia patut singgah di Malaysian Hall untuk berbuka puasa di sana malam ini. Program akan bermula esok, 5 hari yang agak ketat. Tetapi program akan bermula jam 9 dan habis jam 5 petang. Boleh lah dia berbuka setiap hari di Malaysian Hall. Kalau berseorangan seperti ini, setiap kali dia berada di luar negara, dia pasti akan menuju ke Malaysian Hall, mencari orang Malaysia atau pelajar Malaysia untuk diajak berbual. Sekurang-kurangnya lepas lah rindu dengan keluarga yang jauh di mata.

Jarak dari Malaysian Hall dengan tempat dia menginap, lebih kurang dalam 5 kilometer. Dia perlu mengambil teksi untuk ke sana. Suasana di sana mungkin lebih meriah saat ini, terutama tinggal sepertiga bulan ramadhan. Tentu padat dengan aktiviti iftar, terawih dan qiamullail. Belum lagi dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Dia mengambil wudhu, dan bersolat zohor. Tidak jamak kerana dia tahu, dia akan menetap di situ melebihi dari waktu yang dibenarkan. Sebelum berangkat semalam, dia sempat memuat turun waktu solat fardhu di Melbourne. Dan kompass mekah yang dihadiahkan ayahnya tidak pernah dikeluarkan dari bagasi perjalanannya. Dengan mengikut panduan di kertas bersama kompas tersebut, mudah sahaja dia mencari arah kiblat. Boleh dikatakan setiap kali perjalanan jauh, kompas tersebut pasti menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi. Besar pahala Dato' Shukor.

Selesai solat Asar, Fareez bersiap-siap. Mati kutu dibuatnya berdiam diri hampir 12 jam di bilik. Dia turun ke lobi lalu meraih teksi untuk ke Malaysian Hall. Angin sejuk menderu menerpa ke wajahnya sebaik Fareez menolak pintu lobi. Mujur juga dia bersedia dengan jaket disebalik baju melayu yang dipakai di dalam.

'Malaysian Hall please' Fareez mengarah pemandu teksi.

'Okay' sambut pemandu teksi tersebut.

Leka Fareez melihat pemandangan di kiri kanan jalan, tiba-tiba teksi terhenti. Rasa-rasanya baru 20 minit dia duduk di dalam kereta. Mungkin kusyen pun masih belum panas lagi.

'Here is Malaysian Hall, AUD25 Sir'

Fareez mengeluarkan wang AUD30. 'Keep the change. Thank you'

Fareez menghulurkan sambil tersenyum pada pemandu teksi tersebut. Dia mengangguk-anggukan kepalanya.

Tanpa berlengah lagi dia berlari anak menuju ke pintu masuk utama Malaysian Hall yang berwarna biru lembut itu. Fareez berjalan menuju ke papan kenyataan yang terpampang di dinding dewan. Pelbagai jenis nota tersusun rapi. Dia membaca dari atas ke bawah. Terpandang satu kertas hetam bercorak-corak.

Jemputan Iftar

Tempat: Dewan Malaysia.

Masa: 5 petang ke atas.

Agenda: 5:30 Persiapan berbuka puasa.

7:00 Berbuka puasa dan Solat Maghrib.

8:00 Solat Isya. Solat Sunat Terawih.

10:00 Taddarus.

11:00 Moreh.

'Wah.. menarik ni..' bisik hati Fareez. Suasana yang lengang tadi beransur-ansur ramai. Kelihatan beberapa lelaki, barangkali pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di Dewan Malaysia mula sibuk ke hulu dan ke hilir, membawa beberapa peralatan memasak.

'Assalamualaikum saudara' terasa bahu Fareez disentuh.

'Waalaikumussalam' Fareez berpaling ke arah si pemberi salam tadi. Berusia dalam lingkungan sebaya dengan Fareez. Tetapi dia berkaca-mata. Wajah nya jernih dan bersongkok hitam.

'Saudara baru tiba?, saya Luqman Hakim, saudara?' lelaki tadi menghulurkan tangannya pada Fareez.

'Er... Ya, saya baru sampai pagi tadi, dari Kuala Lumpur. Saya Fareez.' Dia tersenyum.

'Alhamdulillah.. saya pun baru tiba. Maksud saya baru tiba di Malaysia Hall ni. Sebenarnya dah nak balik Malaysia lusa. Fareez?' Luqman menraih bahu Fareez mengajaknya duduk di sofa yang berdekatan.

'Saya ada urusuan perniagaan, ada conference di Crowne Plaza, tak jauh dari sini. Jadi dari saya duduk berseorangan di hotel, teringin pula nak berbuka puasa bersama-sama dengan muslim kat sini'

'O... hmmm... Sempatlah untuk beraya di KL ye?'

'Ha a.. Raya 2 minggu lagi, saya kat sini seminggu je. Eh, nanti jemput lah datang ke rumah saya beraya. Err.... dan InsyaAllah raya ke empat, walimah saya.'

'Wah... pengantin baru rupanya..' Luqman tersengih-sengih.

'Tahniah!' sekali lagi Luqman menghulurkan tangan kepada Fareez. Fareez Cuma tersenyum membalas.

'Siapalah yang bertuah, dapat bisnesman yang handsome ni. Saat-saat akhir pun masih bekerja keras datang ke Melbourne ni.' Luqman cuba berlawak.

'Eh... mana ada kerja keras.. macam melancong je ni.. Tak ada la majlis besar-besaran, Cuma akad nikah aje, raya ke empat. Sebenarnya saya sudah pernah berkahwin. Ada anak perempuan sorang, dah besar dah umur 5 tahun'. Panjang Fareez menerangkan. Kalau di ajak berbual, memang panjang lah cerita masing-masing.

'Mmmm... tak sangka, ada orang yang sama nasib dengan saya.' Luqman menjawab.

'Apa maksud Luqman?' Fareez pula mula mencungkil.

'Saya pun senasib dengan Encik Fareez, saya ke sini pun bersama anak perempuan saya, baru berusia 6 bulan. Saya tinggalkan sekejap pada pelajar perempuan yang tinggal di sini, sementara saya turun ke dewan'.

'Iyya?. Wow... tak sangka.. habis tu lusa nanti baby tu nak di bawa balik Malaysia?. Mana ibunya?'

'Ibunya dah meninggal sewaktu melahirkannya.' Luqman tertunduk sedih.

'Mmm tak apa lah, Luqman, redhalah dengan takdir Allah subhanahuwata'ala. Tentu ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian itu.' Fareez menepuk-nepuk bahu Luqman.


 

    


 


 

No comments:

Post a Comment