Aku tersedar, bila tangan hangat ummi mengusap-usap dahiku. Mengejutkan aku untuk solat subuh. Kain solat dan sejadah juga sudah siap dibentangkan untukku.
Aku ingat-ingat lupa peristiwa malam tadi, bagaimana Miss Mary menghantarku masuk ke dalam kereta yang dipandu Pak Mat. Penangan dos ubat yang diberikan pada ku menyebabkan aku antara sedar dan tidak sedar. Aku terlalu letih untuk berfikir, hanya menurut sahaja kehendak ummi memintaku untuk tidur di bilik Fareez. Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di dalam bilik tidur seorang yang bernama lelaki. Berkali-kali aku memujuk diriku bahawa lelaki pemilik katil ini tiada di sini. Tiada. Noktah. Dan aku pun terlelap sekali lagi sebaik mencecahkan kepala ku di atas bantal Fareez!.
Bunyi telefon bimbit di dalam beg tanganku yang terletak di meja sisi katil mengejutkan aku dari tidur. Sms dari Fareez. Jam 8 pagi. Aku bangun, menggosok gigi dengan jari dan mencuci muka lalu keluar dari bilik turun menuju ke dapur. Suasana sekeliling sunyi sepi. Kedengaran suara bibik Nunung sedang bercakap-cakap dengan bibik Sunarti. Di selang seli dengan suara anak kecil. Sudah tentu Aleeya yang sedang bersarapan sebelum ke tadika.
'Intan, bibik ada masakkan bubur untuk Intan. Intan makanlah ya. Doktor kata Intan tak boleh puasa untuk dua hari ni.' Suara Ummi muncul dari belakangku. Aku yang mengenakan tudung semalam dan baju semalam tertunduk malu. Oh... betapa aku terhutang budi pada keluarga Fareez.
'Terimakasih Ummi..'
'Nanti lepas makan, mandi, salin baju yang dah ummi letakkan atas katil tadi. Baju-baju lama yang ada dalam almari. Harap Intan tak kisah pakai baju lama kakak Fareez.' Ummi meraih bahuku menuju ke meja makan ke arah Aleeya. Aku tersenyum sambil menganggukkan kepala.
'Auntie... auntie.. Aleeya kejap lagi nak gi sekolah. Nanti Aleeya balik, kita main sama-sama ye? Malam tadi Aleeya tunggu auntie kat bilik papa, tapi auntie tak bangun-bangun. Ummi kata auntie tak sihat. Auntie demam ye?'
'Aleeya.... makan elok-elok.. tak baik mulut penuh roti nak bercakap' Ummi menegur Aleeya.
'Ye. Nanti balik kita main okay?' aku menyambut untuk memuaskan hati Aleeya. Selagi tidak di jawab, Aleeya nanti takkan berhenti bersoal jawab.
Aleeya bangun lalu memelukku.
'Aleeya pergi dulu ya auntie' Dia meraih tanganku dan menciumnya. Aku memeluknya erat. Terharu. Kemudian dia meraih tangan ummi dan berbuat yang sama. Sungguh aku terharu melihat anak kecil ini.
'Ummi, ada sms dari abang Iz tadi. Dia kata dah tiba di Melbourne dengan selamat' aku bersuara sebaik melihat ummi bangun untuk menghantar Aleeya ke kereta yang sudah sedia menunggu.
'Oh, ye? Nanti ummi call dia. Intan makan lah ye? Ummi nak hantar Aleeya sekejap. Pak Mat dah tunggu tu, Papa pun katanya nak singgap ofis.'
'Oh.. okay.' Bibik Nunung mencedok sesenduk bubur lalu menyuakan padaku.
'Cik Puan kena makan ya. Ummi kata tadi, cik puan kena makan ubat selepas makan bubur ini. Saya buat bubur ni khas untuk cik puan' ramah bibik Nunung berbicara sebaik ummi keluar dari dapur. Seberkas ubat-ubatan juga disuakan bersama mangkuk bubur tadi.
Selesai makan ubat, aku kembali ke bilik. Baru kali ini aku berpeluang melihat keadaan sebenar bilik Fareez dan menatap gambar-gambar yang tergantung di bilik. Fareez dengan segulung ijazah. Fareez dengan Aleeya. Aleeya semasa bayi. Fareez memakai jersi bola. Gambar Fareez berlatarbelakang Masjidilharam. Tentu waktu dia mengerjakan umrah. Gambar-gambar kecil pula tersusun di atas meja solek. Aku duduk dan memerhati satu persatu gambar-gambar Aleeya yang comel dari bayi hingga sekarang. Rambut perangnya memang menarik sesiapa sahaja yang melihatnya. Akhir sekali aku terpandang satu foto yang diletakkan di dalam frame berbentuk love berwarna merah jambu. Gambar diriku berpakaian kurung kapas berona merah jambu, berdiri disebelah kereta MyVi hitamku, memegang payung kecil sambil menekan remote. Ini tentu kerja Fareez mengambil gambar curi. Sama ada ketika aku hendak pulang atau baru sampai. Aku tersenyum bercampur geram. Geram pada Fareez kerana mengambil gambar tanpa kebenaran aku, tapi tersenyum bila hatiku tiba-tiba tersentuh.
Bilik air yang terletak didalam bilik tidur memudahkan aku untuk bersalin pakaian. Baju dan seluar yang baggy menyebabkan aku selesa sahaja untuk tidur semula. Aku menjenguk ke luar. Sunyi sepi. Mungkin Ummi pun masih belum pulang, dan bibik pula sedang berehat. Aku pun bergerak ke arah jendela tidak jauh dari birai katil. Di luar juga suasana tenang. Mataku sudah keras, tidak boleh dipaksa untuk tidur lagi. Ada meja kerja yang terletak di bahagian sudut bersebelahan bilik air. Buku-buku tersusun kemas di atas rak. Semuanya buku berkaitan dengan kejuruteraan. Di hujung meja tertindih dengan kertas kerja, aku lihat ada sebuah buku kecil. Aku menyelak kertas tersebut, terpandang novel bertajuk Bumi Cinta karangan Habiburrahman El-Shirazy.
'Wah.. tak sangka ada masa pula Fareez baca buku HES yang terbaru ni.' Aku berbisik seorang diri sambil menyelak-nyelak helaian novel. Tanda buku sudah sampai di bahagian tengah buku. Agak lama juga aku tidak membaca novel. Hampir 3 bulan aku tidak menyinggah kedai buku. Entah kenapa, aku pun tidak pasti.
'Tentu best ni..' bisik hatiku. Aku berjalan ke katil lalu berbaring sambil membaca. Sehelai demi sehelai.
No comments:
Post a Comment