Ruangan Iklan

Wednesday, September 29, 2010

Ku di sini, kau di sana, entah bila kan bersua...

Sebaik penerbangan MH149 mencecah lapangan terbang antarabangsa Melbourne, tanpa lengah lagi, Fareez menitip sms pada Intan. Jam tangan masih dalam waktu Malaysia, menunjukkan 8 pagi. Sudah tentu Intan sudah bangun dan berehat di rumah ummi. Fareez tersenyum sendirian. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 8 jam tidak terasa hanya bimbang yang menyelubungi diri Fareez. Bimbang dengan kesihatan Intan. Tambahan pula hari yang di tunggu semakin dekat.

'Salam, harap Intan dah sihat dan balik rumah abang. Kirim salam rindu pada ummi dan papa. Abang dah selamat tiba di Melbourne. Nantikan kepulangan abang selang 6 hari lagi. Abang mungkin akan sibuk dalam dua hari ni. Rindu Intan dan menghitung hari, jaga diri baik-baik ye sayang. Bye'.

Suara pramugari MAS menyatakan dalam dua bahasa, tentang pendaratan yang berjaya berkumandang di corong sebelah kiri dan kanan tempat duduk. Fareez meluruskan kakinya. Walaupun duduk di bahagian kelas pertama, namun perjalan yang berterusan selama 8 jam memang memenatkan. Sahur tadi dikejutkan oleh pramugari, dengan sajian nasi berlauk. Seperti biasa, Fareez hanya menjamah sedikit sahaja. Makanan di dalam penerbangan selalunya tidak dapat memenuhi seleranya. Tambahan pula waktu tidur. Subuh tadi dia sempat membuat solat perjalanan dengan hanya duduk di atas kerusinya. Dia sempat belajar solat di dalam pesawat semasa di Beijing dahulu sewaktu bergaul dengan pelajar-pelajar di sana.

Di pintu ketibaan, beberapa lelaki berpakaian kot hitam mundar-mandir sambil membawa papan kecil tertulis nama penumpang dan hotel. Fareez mencari-cari dicelah-celah orang ramai yang sedang berpusu-pusu keluar dari arah yang sama. Seingat dia memang ada seorang yang akan menjemputnya ke hotel. Sessi pertama akan bermula jam 9 pagi esok waktu Melbourne. Dia mengerling pada jam di papan kenyataan ketibaan dan pelepasan. Baru jam 10 pagi. Perbezaan masa di antara Kuala Lumpur dan Melbourne hanya 2 jam kehadapan. Dia membetulkan jam Rolex di pergelangan tangannya. Terasa badannya mula tidak selesa. Fareez memerhati sekeliling. Kali terakhir dia menjejakkan kaki di bumi kangaroo ini adalah sewaktu berumur 9 tahun. Ketika mengikuti Datin melancong ke Sydney. Hampir-hampir 25 tahun yang lalu. Segala-galanya sudah berubah. Sekarang semuanya dalam bentuk digital.

Selang beberapa minit selepas dia membetulkan jam tangannya, telefon bimbitnya berbunyi.

'Hello'

'Hello Assalamualaikum' kedengaran suara ummi di sebelah sana.

'Waalaikumussalam. Ummi. Tengah buat apa tu? Iz baru tiba ni. Macam mana orang di sana? Dah sihat ke ummi?'

'Orang di sini tu siapa? Nak tanya ummi ke si dia? Hmmmm? dia yang bagitau ummi tadi, Iz hantar sms. Ada dia tengah berehat. Doktor kata tak boleh puasa untuk dua tiga hari ni, ada bibik dah jerang bubur tadi sahur.'

'Terimakasih ummi, tolong tengokkan Intan.. Mama dan ayah dia kan jauh.'

'InsyaAllah.. Iz balik minggu depan kan? Tinggal seminggu je lagi nak raya. Baju raya tahun ni ummi dah sediakan satin rona biru cair. Butik Myra call tadi, katanya dah siap. Baju pengantin pun dah siap sekali. Barang-barang hantaran pun ummi dah simpan kat dalam almari baju Iz. Ummi suruh Intan tidur di bilik Iz semalam, dia angguk je, masih letih semalam. Pagi ni dah nampak segar sikit' panjang Datin Masriah memberi laporan pada Fareez.

'Thanks Ummi. Kirim salam peluk cium saya untuk Intan ye Ummi. Have to go now. Iz dah jumpa budak pemegang nama Iz. Dari tadi dah cari tak nampak' Tangan Fareez melambai-lambai pada lelaki yang memegang tanda namanya. Dia melangkah tergesa-gesa ke arahnya.

'Bye now.'

'Okay, jaga diri baik-baik Iz. Assalamualaikum'

'Waalaikumussalam' talian diputuskan.

Perjalanan dari lapangan terbang ke Crowne Plaza Hotel, Melbourne Cuma mengambil masa 20 minit. Pemandangan indah di kiri dan kanan teksi memang tidak dapat menarik perhatian Fareez. Dia terlalu mengantuk untuk menikmati keindahan sungai di sebelah hotel. Walaupun hanya 20 minit perjalanan, dia merasakan tidurnya terlalu lama.

Tiba di lobi, Fareez disambut mesra oleh pihak hotel. Fareez mengunjukkan sampul dari dalam sampul besar yang dikemaskan oleh Intan. Konvensyen yang akan berlangsung esok akan diadakan di hotel yang sama tempat dia menginap. Di sinilah dia akan berada untuk 6 hari yang berikutnya.

Fareez terus melabuhkan punggungnya di atas katil, sebaik memasuki bilik hotelnya. Dia berbaring, dan terus terlelap. Pemandangan dari jendela tingkap sangat memukau perasaan. Kelihatan air sungai Yarra mengalir lembut menuju ke arah laut.


 


 


 


 

No comments:

Post a Comment