Ruangan Iklan

Thursday, October 14, 2010

Hari-hari berlalu...

Tiga hari sudah pun berlalu tanpa sebarang berita dari Fareez. Ummi pula sudah mulai bimbang. Beberapa kali aku terdengar Ummi bercakap di dalam telefon, bertanyakan rakan-rakan ummi yang berada di Melbourne, namun hampa. Dato' Shukor pula sibuk menghubungi kedutaan Malaysia di Melbourne, dan jawapannya sama. Kali terakhir mereka melihat Fareez adalah dua hari yang lalu. Itu pun selepas terawih, Fareez terus ke hotel.

'Kenapalah Fareez langsung tak call sini bang? Hari langsung dah makin dekat. Intan pun ada kat rumah ni dah tiga hari, dia langsung tak ada hubungi Intan. Kali terakhir dia hubungi itu pun hari pertama dia sampai di Melbourne.. Macam mana ni bang?' gesa Datin Masriah pada Dato' Shukor.

'Sabar Yah.. awak ni panik tak tentu pasal. Baru tiga hari dia tak call. Kan kursus tu penuh dengan aktiviti, mana sempat dia nak call kita. Dulu pun dia kursus di Beijing, seminggu dia tak boleh call kita. Jangan bimbang.. tentu esok atau malam nanti dia call.' Dato' Shukor cuba menenangkan Datin Masriah.

'Intan janganlah bimbang ya, mungkin sim kad dia dah tukar ke sim kad sana. Itu yang dia tak dapat nak baca sms mahu pun terima call dari kita' Dato' Shukor cuba memberikan alasan yang munasabah.

'Mmmm... saya tak apa-apa Dato'. Tapi dah tiga hari saya tinggal di sini. Saya ingat nak kerja esok. Lagi pun dah hampir seminggu saya tak naik pejabat. Tentu banyak kerja tertangguh.' Intan yang sedang duduk di sofa bersebelahan Datin Masriah bersuara. Kedengaran bibik Nunung menatang cawan berisi air kopi. Selesai bersolat terawih sekeluarga di surau tadi, kesemua ahli banglo Dato' Shukor berehat di ruang tamu. Seperti biasa, bibik Nunung akan membawa secawan kopi untuk mereka bagi menyegarkan badan. Aleeya pula sudah nyenyak tidur di biliknya.

'Betul juga tu, kalau macam tu, esok daddy suruh Pak Mat hantarkan awak ke Cyberjaya. Lagipun esok daddy ada meeting dengan manager HP Cyberjaya jam 10 pagi.'

'Okay' Intan menyahut. Dia tahu kereta MyVi hitamnya masih terparkir di kompaun pejabat. Hampir seminggu juga dia menitipkan pada Miss Mary untuk memanaskan enjin kereta.

'Kringg... Kringg...' bunyi telefon lama, memecah ruang tamu yang sunyi sejenak tadi.

'Ha, kan daddy dah cakap, itu tentu Fareez'

Bibik Nunung yang kebetulan menuju ke dapur, mengangkat telefon yang terletak berhampiran ruang tengah antara dapur dan ruang tamu.

'Hello... Waalaikumussalam... Sihat aja.. Iyya... Ada....' bibik Nunung berpaling pada Dato' Shukor.

'Dato' ada panggilan...' bibik Nunung menyuakan telefon pada Dato' yang bingkas bangun dari sofa empuk berwarna coklat tua, berbunga rose merah.

'Assalamualaikum daddy...'

'Waalaikumussalam'

No comments:

Post a Comment