Ruangan Iklan

Thursday, October 7, 2010

Satu demi satu

Intan mengerling jam di dinding. 12 tengahari. Selesai khatam satu novel dari HES. Puas hatinya. Dia memang peminat fanatik HES. Cuma baru-baru ni sahaja dia tidak sempat menyinggah MPH Alamanda. Tapi untung juga dapat membaca tanpa gangguan di bilik Fareez. Kedengaran bunyi kereta memasuki kawasan banglo. Dia berjalan menuju ke jendela, kelihatan Pak Mat membawa beg Aleeya, seketika kemudian kelihatan Aleeya berlari keluar dari kereta, menuju ke dalam rumah.

'Auntie!.. Auntie!... Aleeya dah balik ni...' suara Aleeya menjerit dari bawah.

Intan bergegas keluar dari bilik Fareez.

'Ya.. ya... auntie turun ni...'

Aleeya bergegas mendaki tangga, menerpa tubuh Intan. Hampir sahaja Intan terjatuh kebelakang.

'Aleeya.... tukar baju dulu, auntie tu kan tak sihat lagi... nanti jatuh..' sahut Datin Masriah dari bawah. Baru nampak kelibat Datin Masriah keluar dari ruang tamu. Mungkin berehat sambil membaca di situ. Tidak perasan pula bila masa Datin pulang dari pasar.

'Okay... jom auntie masuk bilik Aleeya...' Aleeya menarik tangan Intan. Intan sengaja membiarkan si kecil menariknya ke dalam bilik. Bilik yang dihias serba merah jambu, menarik seperti dalam majalah Anjung Seri pula.

'Aleeya... selalunya kena mandi dulu tak baru tukar baju?' tegur Intan sebaik melihat Aleeya mula menyalin baju nya ke baju baru di dalam almari kecilnya.

'Kena... tapi hari ni Aleeya tak nak la mandi, Aleeya nak main dengan auntie. Kalau Aleeya mandi nanti auntie tak nak tunggu...'

'Tak pe, auntie tunggu kat bilik. Lagi pun auntie kan tak de nak kemana-mana hari ni. Esok baru auntie balik'

'Yeay yeay.... auntie tunggu tau, kejap je ...' Aleeya menarik muka masam, sambil tangan nya mencapai tuala yang sudah sedia di hujung pintu bilik.

'Hmmmm... macam tu la perangai dia kalau ada orang datang tidur kat sini.. mesti nak ajak main sampai malam.' Datin Masriah muncul dari pintu bilik.

Intan mengangguk-anggukkan kepalanya, dia bangun dari birai katil Aleeya lalu menuju ke pintu.

'Macam mana rasa?, dah makan ubat pagi tadi?'

'Sudah ummi. Rasa segar sedikit.' Pendek Intan menjawab.

'Jangan di layan sangat dengan karenah Aleeya tu. Kalau dah rasa penat, masuk ke bilik dan berehat. Tidur. Doktor kan dah pesan, kena banyakkan berehat. Lagipun hari langsung pun dah dekat.' Nasihat Datin Masriah panjang lebar.

Makanan tengahari disediakan bibik Nunung, hanya bubur nasi dan ikan bilis goreng. Aleeya pula menyuap dengan penuh berselera. Puasa sekerat jalan sahaja, dah berbuka, mana kan tidak, mulut tak berhenti-henti bercakap. Jadi cepat sahaja dia penat.

'Aleeya, makan perlahan-lahan.. Nanti tersedak.' Tegur Intan pada Aleeya.

'Sedap la bubur ni auntie.. mmmm' dia menyuapkan lagi bubur nasi kedalam mulutnya.

'Auntie kena makan tau. Biar sihat betul-betul. Lepas raya nanti auntie ganti la puasa. Macam Aleeya. Kita puasa sama-sama nanti yeh?' bercakap sambil makanan penuh di dalam mulut.

'Makan, tak payah cakap, nanti tersembur pula' perlahan-lahan Intan menyuapkan bubur. Dia perlu mengisi perutnya yang mula berkeroncong. Perlu makan sebelum makan ubat.

'Datin kata, lepas makan cik puan kena masuk bilik dan berehat. Tinggal sahaja Aleeya di sini. Sekejap lagi ada guru tuisyen datang. Jam 2 petang.' Bibik Nunung yang sedang menyusun pinggan kering ke dalam almari bersuara.

'Ala bibik niiiiii....' Aleeya menjerit kecil.

'Dengar tu Aleeya. Kejap lagi tuisyen tau.. nanti petang baru kita main lagi' Intan cuba memberi alasan. Memang seronok bermain dengan Aleeya. Sesekali terasa kasihan pula padanya. Lima tahun tanpa belaian seorang ibu, membuatkan dia menjadi tersangat manja kepada sesiapa sahaja teman wanita Fareez. Itu yang diberitahu Datin Masriah saat dia berbual di bilik Aleeya sebentar tadi. Lepas seorang, seorang, semuanya tidak berkenan di hati Aleeya. Ada juga yang tidak berkenan dengan Aleeya. Tidak tahu melayan kerenah anak kecil. Tidak sabar dengan Aleeya. Ada juga beberapa anak-anak kawan Datin Masriah yang cuba di perkenalkan pada Fareez, tapi semuanya tidak berjaya menarik perhatian Fareez, mahu pun Aleeya.
Sesudah selesai makan dan menelan ubat, dia kembali ke bilik Fareez. Mengambil wudhu’ dan bersolat Zohor. Memohon Allah menyihatkan tubuh badannya. Selesai berdoa, bunyi telefon kedengaran sayup-sayup dari beg tangannya yang terletak diatas meja solek.
Intan bangun, meraih beg tangan dan mengeluarkan telefon. Panggilan dari mama. Alamak.. macam mana ni..
‘Assalamualaikum Intan, mama call rumah malam tadi tak de orang angkat. Pergi ke mana?’ terus sahaja Puan Salbiah menegurnya.
‘Waalaikumussalam.. err... tak de kemana-mana. Tertidur kot, tak dengar.’
‘Owh... Ni, nak bagi tau, persiapan semua dah selesai, auntie kamu yang bersusah payah sediakan 7 dulang hantaran, macam yang mama setuju dengan Datin Masriah hari tu, warna merah rose, dan warna putih berselang seli. Kad pun dah diedarkan. Cuma untuk kawan-kawan Intan, mama dah poskan pos laju ke ofis Intan semalam. Hari ni sampai lah kot. Ada dalam 50 keping untuk kawan-kawan Intan.’
‘Terimakasih mama... mmm sayang mama... kesian kat mak ngah dan mak su, terpaksa bersusah payah untuk Intan... Intan tak tau nak cakap macam mana. Cuti Intan start 2 hari sebelum raya, Intan ambil 2 minggu. Dah lulus dah.’ Terasa jantungnya berdebar-debar bila menyebut tentang hal perkahwinan dirinya.
‘Arghh.... aku nak bernikah? Dengan Fareez...? Serasa seakan-akan bermimpi di siang hari..’ bisik hati kecilnya.
‘Ha, kalau macam tu, nanti nak balik drive elok-elok ya, tak payah suruh Fareez hantarkan, susahkan keluarga dia pula ulang-alik ke sini. Lagipun bertunang ni darah panas. Merbahaya selalu berdekatan berdua-duaan.’ Nasihat Puan Salbiah.
‘Ye lah mama’
‘Ok lah macam tu, Nanti telefon balik mama bila dah terima bungkusan pos laju tu ya?’
‘Ya mama. Kirim salam pada papa ya ma. Assalamualaikum.’
‘Waalaikumussalam’ Lega. Mama tidak mengetahui keadaan sebenar aku di sini. Bimbang juga mama mungkin runsing yang bukan-bukan.


No comments:

Post a Comment