Dalam perjalanan yang tidak sampai 10 minit ke putrajaya sentral, puas aku memikirkan apa kesalahan aku, hinggakan Fareez mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Mungkin esok pagi setelah dia lebih tenang aku akan bertanya. Dia hanya mengucapkan salam dan selamat malam saat aku keluar dari pintu keretapi. Ahh... susah juga untuk memahami isi hati Fareez.
Elin sudah pun menunggu di hadapan lobi Putrajaya Sentral dengan keretaku.
' Hmmm.. kak Intan, mesti cerita story kat Elin!' Elin segera keluar dan menyalamiku saat aku tiba di hadapan pintu kereta.
'Sabar.... sabar... kat rumah nanti kita cerita.' Aku tersengih-sengih. Elin meraba tangan kananku yang bersarung cincin permata.
'Wah.... Opismet kak Intan tu ke? Abang Fareez? Dia masuk meminang kak Intan?' suara Elin tinggi dengan nada teruja.
'Eh, masuk kereta dulu.. kita balik rumah dulu lah.... malu la kat sini' aku menarik tangan Elin ke tempat penumpang. Aku memandu kereta perlahan menuju ke apartmentku yang tidak berapa jauh dari situ.
Di dalam lif, Elin masih lagi tersenyum-senyum padaku. Sebaik memasuki rumah, Elin terus mengasak aku dengan soalan.
'Kak Intan, Abang Fareez eh?, Siapa datang? Kenapa tak cakap dengan Elin? Tiba-tiba aje? Eh, cepat betul lah. Habis tu nanti kenduri bila?' bertalu-talu soalan dari Elin.
Ruang rumah yang tadinya sunyi-sepi, menjadi bingit dengan soalan dari Elin. Jam loceng di dinding pun sudah berbunyi sebelas kali, menandakan sudah pun hampir tengah malam. Koridor di luar pun sunyi-sepi, mungkin jiran-jiran sudah pun nyenyak tidur, esok pagi terpaksa bergegas menghantar anak ke sekolah ataupun pergi ke tempat kerja awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
'Ni ada sikit ole-ole' aku mengeluarkan coklat Ferro-Roche dan beberapa juadah kuih-muih dari beg galasku. Sengaja aku tidak memasukkan ke dalam beg beroda, tidak mahu mencampurkan makanan dengan pakaian.
'Ala.. kak Intan, jawab la!' Elin mengambil piring dari dapur dan meletakkan makanan yang aku keluarkan tadi.
'Ya, nak jawab la ni.. Pertama, ya dengan abang Fareez. Kedua, Kak Intan pun tak tahu dia punya perancangan, its a surprise. Ketiga, mungkin raya ke 4 kendurinya. Dekat mana tu belum bincang lagi, mesti kat Terengganu, tapi tak tau lagi nak buat kat rumah atau dewan.' Panjang lebar aku menjawab sambil tersipu-sipu malu.
'Ala, kak Intan ni, tu pun nak blushing... tengok tu, pipi dah merah dah...' Elin menyucuk pinggangku, mesra.
'Akak nak mandi dulu lah, nak salin pakaian, pastu nak tidur, esok pagi akak kerja tau!, Elin tak pe lah, ada van ambil' aku cuba lari dari berbual lebih lama.
'Ye lah, ye lah, esok van datang kol 6 pagi. Elin punya flight Bangkok, 3 hari. Will be missing you tau kak Intan!' Elin sengaja membuat muka manja padaku. Wajahnya iras pelakon Elly Mazlin, tapi dia lebih tinggi lampai. Pramugari AirAsia, semuanya dipilih dan diukur dari rupa paras yang cantik dan bentuk badan yang menarik. Astaghfirullahala'zim...
Selesai mengemas baju-baju ke dalam almari, aku merehatkan diri di atas katil. Tilam yang empuk imi membuatkan aku merasa hilang penatku seharian. Pagi-pagi di pasar payang, malam sudah sampai di Putrajaya, dan esok pula terpaksa mengadap kerja-kerja ofis di Cyberjaya. Mujur juga Dato' masih bercuti. Aku meraih telefon bimbit yang sengaja kuletakkan disebelah meja sisi katil. Sedang mengecas bateri.
Jari jemariku pantas menaip, apa sahaja yang terlintas di fikiranku.
'Abang nampak moody aje, salah dan silap Intan harap abang maafkan.. Assalamualaikum dan selamat malam' aku menekan butang send pada Fareez. Ku lihat jam berbentuk love berwarna merah jambu yang tergantung di dinding, hampir jam 12 tengah malam. Aku tidak mengharapkan sms dari Fareez, tetapi hatiku meronta-ronta agar mendapat balasan darinya. Aku cuba memejamkan mata dan membaca zikir yang mama selalu pesankan. Zikir Fatimah, 30 kali SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Aku hanyut dalam zikir.
No comments:
Post a Comment