Sebaik tiba di lapangan terbang, papa menurunkan aku di pintu masuk balai berlepas Mamapun turut sama turun menemaniku. Sengaja katanya ingin menemui Fareez. Memang sudah dijangkakan Fareez sudah lama berada di lapangan terbang, sejak maghrib lagi. Dia tersenyum simpul sebaik melihatku kelibatku. Apalagi yang harus ku balas, sudah tentu senyuman seikhlas hatiku dan hatiku berbunga-bunga.
'Fareez, dah lama tunggu?' tegur mama pada Fareez yang mengambil beg beroda dari tangan mama.
'Tak lah lama sangat, baru je tadi, tapi dah cek in untuk Intan sekali. Kejap lagi panggil lah tu.' Fareez menyengih. Sejam lagi masa untuk berlepas.
'Ni, sebelum kamu masuk ke dalam, mama nak pesan ni. Bertunang ni darah manis, jadi jaga-jaga lah adab sopan sebagai muslim. Ingatlah jika berdua sudah tentu ada yang ketiga, dan yang ketiga itu lah bisikan syaitan.' Mama menasihati kami. Aku hanya tersipu-sipu malu.
'Tidak lama dah lagi, dua bulan je, lepas raya ke 4 nanti InsyaAllah kita buat majlis akad nikah dan kenduri kahwinnya. Harap-harap Fareez dan Intan bersabar banyak-banyak. Jangan selalu sangat berjumpa, Intan dah la jauh dari mama, tak tau siapa nak jaga dia, pula tu dia pertama kali, lain lah Fareez, dah berpengalaman. Harap Fareez dapat membimbing Intan.' Panjang mama menasihati. Papa pula muncul di celah-celah orang ramai.
'Ha, disini pun kamu semua, puas papa mencari tadi' Fareez menghulurkan salam pada papa.
'Ha, Fareez, papa nak ingatkan kamu ni, jangan terpedaya dengan tipu helah syaitan. Bukannya apa, papa sengaja mengingatkan' Terus-terang sahaja papa menasihati Fareez. Dia hanya tersenyum. Tidak sangka pula papa akan menitipkan pesanan yang sebegitu pada Fareez. Secara berterus-terang.
'Mama, papa, InsyaAllah Fareez akan jaga diri ini. Fareez tahu batas-batas seorang muslim, Fareez akan cuba sedaya-upaya Fareez. Lagi pun dua bulan tu tak lama. Bulan depan dah masuk Ramadhan, tinggal dua minggu sahaja lagi pun nak mula berpuasa'.
'Ye lah, moga Fareez dan Intan sentiasa beringat-ingat ye? Katanya Raya ke 4 kan? Papa dan mama akan sentiasa menghubungi mak dan ayah Fareez untuk persiapan tu nanti. Tak perlu lah risau sangat ye?' Papa memegang lengan Fareez.
Suara dari corong pembesar suara sudah mula memanggil penerbangan kami. Aku bersalaman dengan papa dan mama dan memeluk cium keduanya. Fareez juga begitu. Cuma dengan mama sahaja dia hanya mengangkat tangan sambil tersenyum. Baru saja kami hendak melangkah, aku terpandang kelibat pelayan kedai nasi lemak di pasar payang pagi tadi. Dia tersenyum memandangku dari jauh. Kenapa dia berada di sini? Siapa kah dia? Aku tersenyum sekadarnya. Masih memikir siapakah wanita muda sebaya dengan ku ini. Fareez menarik lenganku supaya beredar segera sebelum pintu masuk ditutup. Aku bergegas mempercepatkan langkahku.
Di dalam koc kapal terbang, aku mendiamkan diri sungguhpun hatiku bergolak ingin berbual dengan Fareez. Aku menjeling pada Fareez dan ku lihat dari ekor mataku, Fareez melelapkan matanya. Sepanjang perjalanan selama 45 minit itu, aku cuba melelapkan mata, tetapi tidak berjaya. Tiba di destinasi, barulah Fareez membuka mulut.
'Alhamdulillah, dah tiba pun, nanti abang temankan Intan sampai rumah ye? Dah malam lagipun, abang ambil tiket kupon teksi ye?'
'Eh, tak perlu, Intan dah janji dengan Elin suruh dia tunggu dekat Putra Sentral.'
'Kenapa tak bagi tau, kalau macam tu abang temankan naik ERL transit lah ye? Malam-malam macam ni nak tunggu kat bawah tu seram juga.' Sengaja Fareez menakut-nakutkan aku.
'Ok' aku menjawab ringkas.
'Intan Syuhada?' tegur wanita pelayan pagi tadi.
'Eh, awak?' aku terpinga-pinga melihat pelayan wanita yang pagi tadi membantu di kedai makan pasar payang.
'Ya, kita satu flight' dia menjawab mesra sambil tersenyum. Kali ini dia berpakaian santai, dengan jeans dan kemeja pink.
Fareez pun turut terpinga-pinga.
'Tak ingat ke?, Saya kan Zai, classmate awak masa darjah 6 dulu!, awak tentu dah lupa, tapi awak tak berubah langsung, sebab tu saya boleh cam awak' Zai bercerita panjang lebar.
Perlahan-lahan imej Zai mulai datang ke dalam ruangan minda ku. Baru aku teringat, kawan sekelas yang selalu mengusik aku dan Luqman.
'Zai... Zainab Jusoh ye?.... ' Memang sungguh aku tidak cam dengannya. Dahulu dia tembam dan bulat persis anak cina, tetapi sekarang nampak tinggi lampai dan pandai bergaya pula. Pagi tadi hanya berpakaian baju kurung dengan apron, sekarang berubah dengan make-up yang tidak berapa tebal, tetapi agak menarik sesiapa sahaja yang berjalan.
'Kita dah lama tak berjumpa, sejak habis sekolah dulu kan?' Zainab menegurku sambil berganti pandang ke arah Fareez dan aku.
'Ya, memang... saya tidak duduk di rumah, lepas sekolah saya duduk di asrama, itu yang tidak dapat hubungi orang lain kecuali Luqman. Dia satu sekolah dengan saya masa menengah dulu'
'Iya?? Macam mana dengan Luqman sekarang?' Baru sahaja aku hendak menjawab, telefon bimbit ditangan Zainab berbunyi nyaring. Tanpa lengah lagi dia menjawab.
'Hello... Ya.... Tunggu? .. Luar ?... Sekarang? . ... Okay...Bye...' Zainab memendekkan perbualan.
'Eh, Zai kena pergi dulu lah, boleh Zai dapatkan no telefon Intan? Lain kali kita bual lagi nak?' Aku memberikan nombor telefon bimbitku dan Zainab terus menekannya ke dalam telefon bimbitnya.
'Okay... Zai buat missed call, nanti Intan save tau!.. Got to go now, nice to see you both.. See you later..!' Zainab bergegas berlari anak menuju ke pintu keluar. Aku sempat melihat dia memasuki sebuah kereta Suzuki Swift putih yang sedia menunggu diluar.
'Kawan lama la abang..' aku menegur Fareez setelah melihatnya diam seribu bahasa.
'Iya' Diam lagi.
'Kenapa diam je dari tadi?' aku pula menegur Fareez.
'Tak ada apa-apa. Jom pergi ke terminal. Nanti terlewat pula.'
No comments:
Post a Comment