Tepat jam 4 pagi, aku tersedar dari tidurku. Badanku berpeluh-peluh. Tidur ku tadi memang tidak lena. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Aku bingkas bangun lalu mengambil wudu'. Aku harus berserah pada Allah swt. Mengharap dan berdoa agar diberi petunjuk untuk keluar dari permasalahan ini. Benang yang kusut jangan dikusutkan lagi. Aku harus menyelesaikan perkara ini satu persatu.
Selepas bersolat tahajjud dan solat hajat, aku membuat solat istikharah. Memohon biarlah keputusan yang datang itu yang terbaik buatku, samada Luqman atau pun Fareez, siapa sahaja di antara mereka, ku harap Allah memberikan petunjuk ke arah keredhaanNya. Aku merintih dan berdoa sehingga terlelap diatas sejadah.
'Sue, Sue, Intan, Intan...' sayup-sayup telingaku menangkap suara mama. Terasa bahuku disentuh lembut.
'Dah masuk subuh ni.... mama dan papa kamu nak ke masjid, kamu nak ikut sekali ke? Pagi ni ada kuliah subuh dekat Masjid' mama mengejutku dari tidur. Aku mengangguk-anggukkan kepala, masih mamai-mamai lagi. Nyenyak sungguh tidurku yang sekejapan tadi.
'Ma, tunggu sekejap ya, Sue nak ikut sekali.'
Suasana hening pagi subuh, aku menarik nafas dalam-dalam sewaktu menjejakkan kaki di perkarangan masjid. Bau aroma rumput dibasahi embun pagi ku hirup sepuas-puasnya. Baru sahaja aku menanggalkan kasut, ada suara dari belakang memberi salam.
'Assalamualaikum.' Suara yang menggetarkan hati nuraniku. Fareez?. Di subuh yang hening, di hadapan masjid, aku bertemu bakal suamiku. Ini lah ketentuan Ilahi. Hatiku berdegup kencang.
'Betul ni abang, Intan tak percaya ke?' Fareez menegurku. Mungkin melihat wajahku yang kehairanan.
'Er... Mmmmm Wa'alaikumussalam.' Aku memberikan senyuman lalu berjalan pantas mengekori mama yang sudah lama mendaki tangga menuju ke ruangan solat wanita. Gugup. Itulah sifatku dari dulu hingga sekarang. Selesai solat subuh, aku mendengar satu persatu kuliah subuh yang diberikan. Penyampaian santai dalam loghat terengganu. Terpandang kelibat Fareez yang duduk di barisan paling hadapan, dengan berpakaian baju melayu biru tua, dan berkupiah putih, nampak seperti lagak ayah-ayah sahaja. Langsung tidak mempamerkan kedudukannya sebagai anak Dato' Shukor atau sebagai eksekutif berjawatan tinggi.
Bunyi ayam berkokok bersahut-sahutan di luar masjid. Aku dan mama menunggu papa di kerusi simen yang terletak diluar masjid. Langit perlahan-lahan bertukar menjadi biru muda. Sebentar kemudian papa muncul bersama Fareez. Berbual-bual.
'Fareez dan keluarganya dah nak balik malam ni katanya' Papa tersenyum-senyum pada aku dan memandang Fareez.
'Jadi hari ni, Intan bawalah keluarga Fareez pergi pasar payang. Lagipun Fareez pun tak pernah pergi katanya' sambung papa lagi.
Aku tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala.
'Saya pergi dulu ya' Fareez bersalaman dengan papa. Memandang padaku sambil tersenyum dan berlalu menuju ke BMW nya. Papa mengundurkan MyVi hitamnya, aku di belakang sengaja memandang kereta Fareez sekilas. Ku lihat di juga sedang memerhatikan kereta kami. Dia mengangkat tangan tanda telefon ke telinganya. Aku mengangguk lagi. Pagi-pagi lagi aku sudah menjadi seperti burung belatuk. Asyik menangguk dari tadi.
Tiba di perkarangan rumah, langit sudah pun cerah. Aku bersalin ke pakaian jogging lalu mencapai telefon bimbit lama ku yang di caj sejak semalaman. Memandang sekilas pada telefon, ada 1 sms dan 1 missed call. SMS dari Fareez. 'Alhamdulillah, bertemu bakal isteriku, kekasihku, di hadapan masjid. Semoga Masjid yang kita akan dirikan seteguh Masjid ini. Amin' waktu menerima mesej, 5:45am. Tepat waktu tiba di masjid pagi tadi. Aku tersenyum. 1 missed call, jam 7:30am. Masih dari Fareez.
Tidak boleh tidak, aku harus berterus-terang dengan Luqman hari ini juga. Aku mendail nombor di Tasmania. Masih lagi di dalam rumah, menunggu mama menyediakan sarapan roti bakar bersama kopi panas. Selang beberapa saat, suara Luqman di sebelah sana kedengaran di corong telefon.
'Assalamualaikum' aku memulakan perbualan, sebelum dia mengucap salam.
'Alaikumussalam, Intan, abang baru sahaja selesai solat subuh di sini. Baru jam 6 pagi ni.' Suara Luqman lembut kedengaran, mungkin baru selesai berdoa.
'Intan nak cakap sesuatu, Mmmm Intan tak boleh menerima abang lagi. Intan sudah bertunang....' diam seketika. Luqman di sebelah sana juga terdiam. Tenang beberapa saat.
'Abang sebetulnya sekejap lagi hendak membuat visa keluar untuk Ameerah. Dia lahir di sini, jadi perlukan beberapa proses di kedutaan Malaysia. Perancangan abang nak bawa Ameerah ke Malaysia, berjumpa Intan, bakal ibunya... Tapi... ah... mungkin kita tiada jodoh.' Suara Luqman mendatar. Tidak membantah.
'Bila pula nikahnya?' sambung Luqman lagi.
'Lebih kurang dua bulan lagi.' Pendek aku menjawab.
'Ooo... tak sempat lah abang nak tengok Intan naik pelamin. Tapi tak apa lah, kalau itu sudah takdir dari Illahi, abang mendoakan kebahagiaan Intan'. Rasa terkilan dalam suaranya tidak dapat dikawal lagi.
'InsyaAllah. Terimakasih kerana dapat menerima keadaan ini. Assalamualaikum.' Aku memutuskan talian sebelum Luqman. Tidak sanggup lagi mendengar suaranya dan tiba-tiba terasa satu bebanan yang berat yang aku tanggung selama ini terbebas. Lega nya dalam hatiku hanya tuhan sahaja yang mengetahui.
hhooho
ReplyDeletesukA2
alala, sedey lak..
ReplyDelete