Ruangan Iklan

Saturday, August 21, 2010

Bubur Ikan bilis

Dr Firdaus membawaku ke bilik yang terletak berhampiran dengan ruang tamu. Seingat aku, sudah hampir dua tahun aku tidak menjejakkan kaki di rumah Dato' Shukor, kali pertama dan terakhir semasa memenuhi jemputan Datin untuk rewang di rumahnya. Aku sama sekali tidak mengingati suasana di dalam rumah.

Melihatkan Fareez terlantar berselimut, dan sedang nyenyak tidur, aku rasa terharu dengan budi baik Dr Firdaus.

'Kenapa Fareez Doc? Demam dia teruk ke?'

'Fareez kena keracunan makanan, dia demam selepas muntah den ceret-beret sejak malam tadi. Jadi, I dah berikan ubat oral, dia tidur keletihan tu..'

'Ohh... kami baru balik dari Terengganu malam tadi.'

'Mungkin ada yang dia tersilap makan kot semalam?'

'Tak tahu la pulak tu. Tapi thanks a lot sebab datang.'

'Tak apa, rumah I pun dekat-dekat sini je' Dr Firdaus tersenyum, dan mengemas-ngemas begnya.

Ku lihat beg Fareez masih belum terbuka, terletak di sudut tepi katil. Aku rasa kan bilik ini untuk tetamu, memandangkan tiada sebarang bedak atau pun sikat di atas meja solek di situ. Pakaian Fareez yang semalam masih tersangkut di atas kerusi.

'I pergi dulu ye?' Dr Firdaus meminta diri.

'Err... okay. Thanks again ye?' aku gugup. Setelah menutup pintu besar, aku kembali meninjau keadaan Fareez. Dia masih nyenyak tidur.

'Masak bubur lah kat dapur... sementara menunggu diorang semua balik' bisik hatiku. Dapur basah dan dapur kering kelihatan kemas. Ternyata bibik melakukan kerja dengan teliti, di awasi makcik Ronah. Aku menjenguk ke dalam almari di bahagian bawah sinki, agakanku tepat, di situ periuk dan beras disusun rapi. Selang beberapa minit, semua sudah berada di dalam periuk di atas dapur. Aku duduk di dapur yang hanya mempunyai meja bulat kecil dan 4 bangku, menunggu bubur ikan bilisku masak. Hanya campuran bilis, bawang dan sedikit karot sahaja menu bubur untuk Fareez. Resepi dari mama saat aku demam.

Bosan menunggu, aku bergerak ke hadapan. Ruang dapur kering berada tidak jauh dari dapur basah. Mungkin disitulah keluarga Fareez makan bersama. Meja berkerusi lapan, dengan kusyen lembut, dan ukirannya ternyata dari kayu jati menjadi pilihan Datin. Di bahagian sudut tepi pula, almari hiasan kristal dipenuhi dengan barang-barang kristal pelbagai bentuk. Gambar Fareez sekeluarga tergantung di bahagian dinding. Aku cuba mencari wajah Fareez di celah-celah adik-beradiknya yang lain, tetapi aku langsung tidak mengecamnya.

'uhhhh... uhhhh....' kedengaran perlahan suara Fareez mengerang.

Aku bergegas ke biliknya. Dia masih memejamkan matanya. Mungkin terlelap semula. Raut wajahnya nampak tenang. Inilah kali pertama aku menatap wajahnya tanpa rasa bersalah. Jantungku bergetar saat menatapinya, hampir sahaja aku menyentuh dahinya, namun pesanan dari papa terngiang-ngiang di telingaku. Aku bingkas bangun dan keluar dari bilik Fareez.

'Astaghfirullahal'azim...'

Aku harus menunggu di dapur. Tidak patut aku hanya berduaan sahaja di dalam bilik Fareez. Aku mendail nombor Dato' tetapi tidak berhasil.

'Ting.. Tong.. Ting.. Tong'. Leganya terasa, sudah tentu Dato' sekeluarga sudah tiba. Aku bergegas ke pintu utama dan membukanya. Alia menerpa padaku.

'Hai auntie... papa mana? Atok kata papa tak sihat?' bijak sungguh si kecil ini. Bertuah Fareez, punyai anak yang sentiasa prihatin dengan ayahnya.

'Ada di dalam bilik tamu' Aku menjawab sambil bersalaman dengan Datin, Makcik Ronah dan bibik. Pak Mat pula sibuk membantu mengeluarkan barangan dari kereta BMW Fareez.

'Mmmm bau sedap je ni?' tegur Datin padaku sambil tersenyum.

'Intan masakkan bubur untuk abang Fareez'. Aku berjalan beriringan dengan Datin Masriah menuju ke bilik tamu.

'Macam mana Fareez?'

'Dia tidur, tadi Dr Firdaus datang, dah bagi kan ubat pada Fareez. Katanya keracunan makanan' aku berdiri disisi katil. Datin Masriah duduk di birai katil, lalu memegang dahi anaknya.

'Suam-suam panas, demam agaknya' Datin Masriah berkata perlahan

'Intan pergi tengok bubur sekejap ya Ummi...' aku meminta diri.

Di dapur, bibik Sunarti dan Nunung sibuk mengemas barang-barang yang telah Pak Mat masukkan tadi. Alia yang dari tadi mengekoriku, menarik hujung bajuku.

'Auntie, Alia nak makan yang bau sedap ni boleh?'

'Boleh..... tapi panas lagi... Alia pergi tukar baju, nanti turun balik ke dapur ya?'

'Nak auntie suapkan....' manja dan bersahaja. Alia berpaling dan berlari anak menuju ke tangga.

'Auntie, nanti auntie tunggu Alia tau!' Alia melaung dari tangga.

'Ok' aku menyahut. Tadi nampak bimbang sangat dengan papa, tup-tup sudah ceria pula. Budak kecil yang tidak tahu apa-apa tentang dunia. Aku menggelengkan kepala. Dato' Shukor memerhati sahaja gelagat aku dan Alia.

'Baguslah Intan, Alia dah serasi tu.' Dato akhirnya bersuara, sedari tadi selepas menjenguk Fareez, Dato' Shukor berehat di kerusi malas di ruang tamu sambil membaca akhbar.

Selesai menyuap Alia, jarum jam di tanganku sudah menginjak ke jam 2 petang. Aku meminta diri pada Dato' dan Datin. Fareez masih lagi nyenyak tidur.

'Terimakasih Intan sebab datang dan jenguk Fareez. Tapi dia pun belum bangun-bangun lagi. Dr Firdaus dah bagi ubat tidur agaknya. Nanti bila Fareez dah sedar, Ummi bagitau dia yang Intan datang ye?' Lembut Datin meraih bahuku.

'Ye lah Ummi, Intan kena balik ofis dulu, takut-takut kalau ada perkara urgent nanti susah pula' Hatiku merasa lega setelah memasuki kereta MyVi hitamku. Semuanya sudah balik, dan aku tidak perlu risau tentang Fareez.

1 comment:

  1. thanks armouris, actually sy penah kena masa umur 18 tahun, bulan puasa pulak tu, kuar lendir kuning atas bawah/muntah n buang air besar... sakitnya tu macam nak putus nyawa rasanya...

    ReplyDelete