Ruangan Iklan

Wednesday, September 1, 2010

Bulan suci.

Diam tak diam, dah sampai ke penghujung sya'ban. Aku berjaya melunaskan hutang puasa tertunggak tahun lepas lebih awal lagi, jadi aku berpeluang untuk mengerjakan sunat puasa sya'ban isnin dan khamis. Fareez agak menjarakkan diri dariku. Entah aku pun tidak tahu mengapa. Mungkin teringat dengan pesanan dari mama dan papaku. Dato' Shukor pula makin sering tidak masuk ke pejabat. Alasannya, hendak berehat. Jadi semua kerja-kerja pejabat, mula dilepaskan perlahan-lahan kepada Fareez. Walaupun begitu, sepatutnya aku menjadi semakin rapat, tetapi sebaliknya pula. Cuma email sahaja yang sering menyapaku saban pagi. Hanya itu pun sudah cukup membuatkan hatiku berbunga-bunga kembali.

'Esok 1 Ramadhan, selamat berpuasa sayang dan semoga hubungan kita diberkati Allah ta'ala. Jangan lupa doakan perhubungan kita waktu nak buka puasa ya? Waktu paling mustajab doa, waktu depan makanan semasa menunggu azan maghrib untuk berbuka. Salam sayang penuh kerinduan. Yang benar, dekat tapi jauh.. abang' Pagi yang tenang itu, dicerahi pula dengan email dari Fareez. Betapa hatiku berbunga saat membacanya. Aku tersenyum sendirian.

'Senyum itu sedekah!' suara yang ku dambakan itu tiba-tiba mengejutkan aku dari lamunan.

'Assalamualaikum... Kalau ye pun, jangan la senyum sorang-sorang dan berangan, Banyak mata kat ofis ni tau...' usik Fareez, belum sempat aku menjawab salam, dia memotong lagi.

'Sekejap lagi masuk kedalam' pendek tetapi tegas, lalu dia berlalu memasuki bilik Dato' Shukor. Aku bingkas bangun dan mencapai pen dan kertas nota. Tentu ada sesuatu yang urgent.

Fareez duduk bagai Dato' Shukor lagaknya di kerusi empuk ayahnya.

'Ada apa encik Fareez?'

'Booking tiket ke Melbourne 2 minggu lagi untuk saya seorang. Dato' Shukor minta saya hadiri persidangan peniaga Asean 3 hari 2 malam. Dan booking hotel sekali. Itu saja.'

'Baik encik Fareez' aku mencatit ringkas di buku nota. Aku berpusing menuju ke pintu keluar.

'Malam nanti ummi ajak berbuka puasa. Petang abang hantar ke rumah, Tidur sana sekali ye?. Terawih kat rumah?' Aku berpaling dan melihat Fareez tersenyum-senyum. Aduhai hatiku berdegup kencang saat dua mata bertemu. Aku menganggukkan kepala lalu membuka pintu keluar. Debaran hatiku makin kuat. Apatah lagi di bulan-bulan Ramadhan yang berkat ini. Aku juga perlu menjauhi Fareez untuk seketika. Aku rasa aku sudah tidak mampu lagi menahat godaan ini. Sesungguhnya aku berpuasa. Aku cuba mengingati diri sendiri.

Seperti yang dijanjikan, malam itu, buat pertama kalinya aku memberanikan diri tidur di rumah Dato' Shukor. Bimbang juga, tetapi mujur juga bilik bibik luas, dan boleh masuk satu lagi tilam. Datin memang meletakkan aku di bilik tetamunya sendirian, tetapi diam-diam aku berpakat dengan bibik untuk tidur di bilik mereka. Mujur ada tilam Alia yang ringan, zaman Alia masih kecil masih elok disimpan di bawah katil bibik. Selesai solat terawih 20 rakaat, lebih kurang 10:30 malam, kami beransur pulang dari surau yang terletak tidak jauh dari banglo Dato'. Datin mengajak aku minum dahulu sebelum beransur masuk ke bilik tidur. Selesai segelas susu, aku meminta diri dengan alasan terlalu mengantuk. Tidak nampak kelibat Fareez sejak balik dari surau tadi. Cuma aku terdengar dia bercakap-cakap dengan Alia, mungkin membacakan buku untuk Alia sebelum tidur.

Tepat jam 11:30 malam, aku menyelinap keluar dari bilik, dan mengetuk pintu bilik bibik. Bibik nunung masih berada di dapur, sedang membasuh gelas susu tadi. Bibik sunarti membuka pintu, dan memang seperti yang dijanjikan tilam Alia sudah sedia menantiku. Cecah sahaja kepala ku di bantal, aku terus tertidur lena. Sedar-sedar bibik nunung mengoyang-goyangkan bahuku, masa untuk bangun sahur. Aku mesti bangun dahulu dari Datin seperti yang dirancangkan bersama bibik, untuk aku menyelinap kembali ke bilik tamu. Lebih kurang 10 minit kemudian terdengar ketukan lembut di pintu. Aku terus membukanya, dan Fareez yang muncul di depan pintu. Dengan bersongkok, air mukanya nampak tenang, dan kelihatan basah. Mungkin baru selesai solat tahajjud dan hajat.

'Mmmm dah basuh muka ke belum sayang wangi abang?... cepat je buka pintu ni?' pagi-pagi buta begini pun dia boleh berjenaka lagi.

'Sudah.......'

'Jom... makan, indahnya jika tahun depan kita bertiga berpuasa bersama-sama.... Sekarang ni pun abang dah rasa sebahagian dari nikmatnya..'

'Mmmm errr.... jom, bibik dah siapkan makanan tadi...' aku mengalihkan perbualan.

Itu lah pertama dan mungkin tidak akan aku penuhi lagi undangan ummi untuk berbuka puasa dirumah itu lagi. Aku tidak mahu diperkatakan orang. Andainya mama tahu perbuatanku ini, mungkin dia tidak akan maafkan aku. Pendekata, aku yang tidak tahan dengan godaan, bukannya Fareez. Dia lebih matang, dia lebih mengetahui dari aku yang tidak berpengalaman ini.

Hampir setiap hari, ada sahaja jemputan berbuka puasa dari syarikat=syarikat penaja syarikat Dato' Shukor. Tetapi aku langsung tiada keinginan untuk memenuhi jemputan mereka.

No comments:

Post a Comment