Hidupku Milikmu
Ruangan Iklan
Monday, October 17, 2011
Tenang Jua Akhirnya..
Selama 9 bulan aku membawa bayi ini, keadaan ku semakin sihat dan cergas. Tidak seperti mula mengandung dahulu. Mungkin anak dalam kandungan ini tahu yang dia tidak mahu menyusahkan mamanya. Tepat pada hari aku dijadualkan bersalin, sakit pada pinggang hanya menyucuk-nyucuk datang tiba-tiba. Ketika aku sedang bersiap-siap untuk temujanji dengan doktor, air ketubanku pecah. Mujur juga hospital tidak jauh dari rumah. Selang beberapa jam, lahirlah seorang bayi lelaki yang comel, aku namakannya Adam Mukhriz, sempena nama dalam novel Adam dan Hawa, yang sangat aku minati.
'Tahniah...' senyum Datin padaku.
Aku membalas senyumannya dan memejam mata dan hanyut.
'Puan... Puan...' terasa bahuku digoncang-goncang.
'Puan!' jururawat menggoncangkan bahuku. Kelihatannya agak cemas.
Aku cuba membuka mataku. Tetapi aku dapat melihat jasadku kaku. Aku juga melihat doktor berlari anak menuju ke katilku. Dia memegang sedikit atas perutku. Sebentar kemudian mengarah-arahkan sesuatu pada jururawat yang kelihatan kelam kabut.
Seketika kemudian terasa sejuk seluruh badanku. Aku hanya dapat mendengar suara-suara doktor dan jururawat sayup. Sayup memanggil-manggil diriku. Kemudian semuanya kelam dan gelap.
Sejam kemudian, doktor keluar dari bilik kecemasan menuju ke arah Dato Shukor dan Datin dengan tenang. Masing-masing Dato serta Datin bingkas bangun dari sofa.
'Mintak maaf, anak Dato dan Datin tidak dapat diselamatkan. Dia mengalami tumpah darah yang agak kritikal, dan kami telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya. Tetapi Allah swt lebih menyayanginya.'
Datin terus terjelepuk di atas sofa yang didudukinya tadi, sambil meraung meratapi pemergianku. Mungkin itu sudah takdir Hidupku MilikMu yang Abadi. Allah swt pemilik segala-galanya di dunia ini. Tiada lagi harta yang perlu direbuti, tiada lagi jiwa yang disakiti. Semuanya akan Kembali....
SEKIAN. TAMAT.
PadaNya Aku Berserah
Di kamar, aku tidak dapat menahan hiba ku saat terpandang almari baju Fareez, aku tidak sanggup tinggal di sini, tetapi ummi menahanku. mungkin setelah habis edah, aku perlu membawa diri kembali ke daerah asalku. Kenangan-kenangan di sini terlalu memeritkan.
'Eh, termenung-termenung!..' Kak Sofea menepis bahuku. Entah bila dia masuk ke bilik pun aku tidak menyedarinya.
'Kau jangan buat-buat sedih ye!' bisik kak Sofea ke telingaku, dengan memek muka mencebek.
'Kau jangan cuba nak ambil apa-apa pun peninggalan Fareez. Semua ni milik Dato' Shukor. Nanti selepas edah, aku nak kau pastikan kau tak duduk lagi di sini tau!' cemuh Kak Sofea.
Aku sekadar terpinga-pinga. Aku sendiri tidak tahu apa milik Fareez. Selama hari ni, cuma condo yang kami tinggal sahaja yang aku tahu milik Fareez. Syarikat-syarikat yang pernah Fareez kendalikan semua memang milik Dato' Shukor.
Aku mendiamkan diri.
'Hey!... aku cakap dengan kau ni!... kau faham tak?' kak Sofea menarik ekor rambutku.
'Semua ni bakal jatuh ke tangan Abang Akim, faham?' sambung kak Sofea lagi.
Melihatkan aku yang tidak memberi sebarang respon, dia berpaling menuju ke pintu bilik.
'Ingat....' dia memberi amaran.
Sungguh aku tidak menyangka kak Sofea begitu rupa. Selama hari ini, aku langsung tidak mengenali ipar-ipar Fareez. Mungkin begini sikap orang-orang kaya. Makin kaya makin tamak harta. Tapi Dato' Shukor tidak pula begitu.
Wednesday, September 21, 2011
Pergi Takkan Kembali Lagi
'Abang.. Abang....' dadaku berdegup kencang. Aku cuba mengoncangkan bahunya. Suasana sunyi sepi, tiada sebarang kenderaan yang lalu lalang. Aku cuba mengingati kembali apa yang berlaku. Oh Tidak!... Fareez sudah tidak bergerak-gerak lagi. Aku cuba memegang pergelangan tangannya. Nadinya bergerak lemah. Ya Allah.. Selamatkanlah suamiku... Aku cuba bertenang dengan menarik nafas dan menghembuskan perlahan-lahan.
Telefon.... Telefon.. handphone.. mana handphone ni... aku meraba dengan sebelah tangan. Beg tangan entah di mana. Telefon Fareez.. Dalam poket seluar Fareez. Dengan sebelah tangan aku meraba poket Fareez. Bismillah... bismillah... Allahu Akbar.. Allahu Akbar.... Aku berjaya mengeluarkan iphone Fareez dari seluarnya. Dengan sebelah tangan kiri ku yang tidak cedera, aku terus mendail 994.
'Tolong.. Tolong.. kami accident, langgar babi hutan, dekat KongKong 1 kilometer.. tolong .. suami saya tersepit, tidak sedarkan diri...'
'Ok, puan tunggu di sana, ambulan akan sampai tidak lama lagi.. jangan panik ya'
Aku berjaya dikeluarkan dengan mudah, cuma Fareez mengalami kecederaan di bahagian kaki, dan dia masih belum sedarkan diri. Doktor membenarkan aku mengikuti ambulans memandangkan aku hanya mengalami calar balar sahaja. Sepanjang perjalanan menuju ke hospital, paramedik sibuk meletakkan tiub pernafasan, memeriksa nadi Fareez, dan aku pula memegang tangannya dengan erat, mengharap agar dia cepat sedar.
Setibanya di hospital, aku tidak dibenarkan masuk ke bilik ICU. Saat itu, segala-galanya terasa sangat berat. Aku terduduk di kerusi berhampiran. Perlahan-lahan mencari tenaga, aku meraba-raba mencari handphone ku di dalam beg tangan yang sempat paramedik tersebut capai dari dalam kereta tadi. Tangan terus mendail nombor telefon Dato' Shukor.
Perlahan-lahan aku menceritakan segala yang berlaku.
Tidak sampai 3 jam kemudian, keluarga Fareez sudah pun berkumpul di ruangan menunggu di ICU. Ummi memelukku erat sambil tersedu sedan. Doktor masih berhempas pulas menyelamat kan Fareez di dalam bilik ICU. Seorang jururawat keluar, aku terus menerpanya dan bertanya tentang Fareez, tetapi jawapan cuma tunggu.
Aku perlu membersihkan diri. Aku perlu memohon pada yang Esa atas ketentuannya. Ya Allah Selamatkanlah Fareez. Ummi yang sempat membawa sepersalinan baju kurung dari almariku mengunjukkan kepadaku. Aku mencapainya dan menuju ke bilik air berhampiran. Luka-luka kecil di kepala hanya sedikit sahaja. Aku bersalin baju dan tudung baru, dan mengambil wudu'.
'Ya Allah ya Tuhanku, kau selamatkan lah suami ku, sekiranya ketentuanMu itu baik untuk ku, kau takdirkanlah padaku dengan kesudahan yang baik-baik. Sesungguhnya Kau lah yang maha mengetahui dan maha mendengar.' Rintihku dalam solat hajat. Sebaik selesai berdoa, terdengar seseorang masuk dan menghampiriku.
'Doktor dah panggil kita untuk masuk' Umi bersuara sambil tersedu sedan. Aku berpaling ke arahnya. Ohhh...Tidakkk.... adakah mimpi ngeri akan jadi nyata.. Ohhh aku tidak sanggup menghadapinya... Ya Allah, tabahkan hati hambaMu yang lemah ini....
Perlahan-lahan aku bangun, berpimpinan bersama Ummi dan menuju ke pintu ICU. Dato' Shukor nampak sugul. Di dalam bilik ICU, tubuh Fareez kelihatan kaku di katil. Monitor di dinding sudah pun di hentikan. Hati ku terasa sebak yang teramat. Tanpa ku sedari, air mata mencurah laju. Wajah Fareez kelihatan tenang, walaupun penuh dengan luka-luka di dahinya. Inilah yang telah Allah takdirkan padaku. Aku harus redha pada ketentuanNya. Hati ku merintih. Perlahan aku menghampiri wajahnya, lalu mengucupnya pipinya yang sejuk. Ya Allah... Kau lebih sayangkannya. Semoga dia pergi dengan tenang.. Sungguh tidak ku sangka gurauannya tentang foto terakhir menjadi saat terakhir aku bersamanya. Pilu rasa dihati bagai dihiris-hiris sembilu.
Selesai semua urusan pengebumian, aku termenung seketika di ruang tamu. Atas permintaan Dato' Shukor, aruah Fareez selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kota Damansara. Malam ini akan diadakan tahlil, mama dan papa pula baru sampai pagi tadi dari kampung.
'Sabarlah nak, ingat Allah sayangkan dia, sebab tu Allah ambil dia.' nasihat mama padaku.
Airmataku sudah kering untuk mengalir lagi. Apalah nasib anakku yang tidak sempat melihat ayahnya.
'Beginilah, biarlah Intan duduk di sini sampai melahirkan.' Ummi
Wednesday, June 8, 2011
Pesanan terakhir seorang lelaki
'Lepas solat maghrib kejap lagi kita terus ke rumah abang Akim.' pendek Fareez memberitahu selepas memberi salam. Entah apa mood nya aku pun tak pasti.
Setibanya di rumah abang Akim, kak Sofea sudah pun bersiap, dengan baju merelip relip.
'Kita nak pergi mana ni bang?' aku kehairanan melihat kak Sofea. Seolah-olah hendak ke majlis makan malam pula. Fareez menaikkan bahunya tanda tidak tahu.
Setelah bersalaman, aku hanya memandang kak Sofea, segan pula hendak bertanya.
'Ada kenduri kahwin kat hotel kawan abang, jadi jom lah kita pergi sekali' Abang Akim menjelaskan. Kak Sofea punya tesenyum sumbing, serasa bagai tidak mahu melihat wajahku.
'Err.. tak pe lah abang Akim je lah pergi, lagipun kami tak sedia lah, mesti tetamu tu dah reserve kan tempat' Fareez pantas mejawab
'Kalau macam tu, masuk dulu lah, sekejap abang panggilkan Mak Pah'
Fareez mengangguk.
'Abang, kita dah lambat ni, jom lah pergi' Kak Sofea menarik lengan Abang Akim.
'Eh, abang pergi dulu ye?' Dia bergegas ke kereta BMW hitam. Pemandu pun sudah berada di dalam.
'Jemput masuk Tuan, Puan, biliknya dah sedia, makanan pun saya sudah siapkan' Mak Pah yang entah bila muncul dari pintu besar itu menjemput.
Aku menghulurkan salam pada Mak Pah, dia tersenyum menyambut salam.
Selesai makan, aku sengaja membawa pinggan mangkuk ke dapur dan membasuhnya. Sementara Fareez berehat di ruang tamu sambil menonton.
'Eh Puan, tak payah buat ni.. nanti majikan saya nampak majikan saya marah' Mak Pah yang aku agak dalam pertengahan 40an menutup pili air. Wajahnya kelihatan agak gusar.
'Tak pe, saya dah biasa dah kat rumah saya'
'Tak boleh Puan. Itu di rumah puan, di sini tidak boleh. Semua tetamu yang datang tak dibenarkan ke dapur Puan..' dia kelihatan takut-takut.
'Hmmm.... Mak Pah dah lama ke kerja kat sini?' aku sengaja berbasa-basi.
'Sudah 12 tahun. Sejak saya muda lagi'
'Oooo lamanya...'
'Iyya... majikan saya dari mula saya datang sampai sekarang di sini sahaja..'
'Bagusnya Mak Pah ni..'
'Puan, pergi lah kedepan, nanti saya hantarkan tehnya..'
Aku berlalu perlahan-lahan, mengintai Fareez yang terlentok di sofa ruang tamu.
'Amboi.. lepas makan mengantuk pulak dia!' aku mencubit lengan Fareez. Dia tersentak.
'Ish... terkejut abang.. '
'Intan tak faham la, abang Akim kata nak ajak kita ronda Pasir Gudang, tup tup dia pergi kenduri pulak..?'
'Dia terlupa kot kenduri tu.. Tadi kat ofis dia sibuk sangat. Tu yang terlupa tu'
'Eiii pelik lah.... Eh jom kita ronda sendiri kat Pasir Gudang tu nak? Intan tak pernah sampai area ni'
'Ala... abang mengantuk la sayang...'
'Sebab tu la Intan ajak keluar, ni lepas makan terus tidur.. tak elok tau, nanti bukan Intan yang makin bulat perut, orang lain yang bulat'
'Jangan lah doakan abang macam tu...' tangan nya ligat menggeletek pinggang ku.
'Abang, cantiknya pemandangan kat tepi sungai ni.. tengok ni batu tanda KongKong 0 km. heheheheh' aku tersengih sambil menunjukkan ke arah batu tanda km yang bermula dari situ, 0 kilometer.
'Terimakasih kat GPS ni, kalo tak, tak jumpa la km 0 ni' Fareez pun tersengih sama, sambil keluar dari kereta dan mengambil gambar dirinya dan batu tersebut.
'Tapi ... Intan rasa seram la pulak, tak ramai orang kat sini.. jom lah kita balik' aku menyahut dari dalam kereta.
'Laa... kata nak jalan-jalan, jom la keluar amek angin malam dan ambil gambar ni...'
'Tak mahu lah, jom la balik..' aku menggesanya.
'Ye lah..' Fareez masuk semula ke dalam kereta.
Kiri-kanan jalan gelap gelita tanpa sebarang lampu jalan. Fareez memandu dengan berhati-hati. Tiba di satu selekoh, tiba-tiba muncul sekumpulan babi hutan, dengan kelajuan BMW X5, nya aku tidak sempat memgang apa-apa. Bunyi brek kereta mencerit. Kemudian segalanya gelap.
Tuesday, December 14, 2010
Naza Taliyya JB
Aku tersentak dari lamunan bila pintu bilik hotel Naza Taliyya diketuk. Sejak dari pagi selepas bersarapan aku merenung jauh ke luar jendela. Memerhatikan pergerakan kereta yang mengensut-ensut perlahan menuju ke pintu keluar masuk Imigresen. Tentu masing-masing bekerja di Singapura. Aku bingkas bangun dari kerusi empuk hijau tua, lantas mencapai remote televisyen dan mematikannya. Entah cerita apa yang ditayangkan di HBO aku sendiri tidak pasti.
Aku mengintai lubang dibelakang pintu, Fareez sedang menunggu diluar. Bergegas aku memulas tombol, Fareez meluru masuk ke dalam tanpa sebarang salam, terus masuk ke bilik air.
'Kenapa bang?'
'Sakit perut.. tak tahan..' sahut Fareez dari dalam.
Petang semalam kami tiba di Bandar Baru Uda tepat jam 3. Fareez terus memandu ke pejabat cawangannya yang terletak di Plaza Angsana. Aku membawa diri ber'window shopping' bersendirian. Dalam hati seronok juga kalau bawa Aleeya bersama, tapi Datin pula tak benarkan Aleeya dibawa jauh-jauh, katanya dia bimbang aku tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada Aleeya, dengan keadaan aku yang sedang berbadan dua.
'Mmm ni mesti makan pedas malam tadi, Intan ada bawa pil chi kit, kejap ye..' aku mengambil beg tangan, mencurah segala isi di dalam, dan bertaburlah segala isi perut beg, liptstik, bedak kompak, nota kecil, pen, beberapa resit, minyak wangi, tisu dan beberapa keping duit syiling berserakan diatas katil.
Kedengaran Fareez keluar dari bilik air sambil mengeluh.
'Aduh....' Fareez menuju ke katil dan terus berbaring.
'Ni, makan terus..' aku mengunjukkan pil chi kit tadi dan segelas air suam. Mujur juga aku telah panaskan air sebelum turun bersarapan tadi. Dia bangun perlahan, menuangkan segala biji-biji pil kedalam mulut dan terus menelan air suam tadi.
Aku mengambil balm panas yang bertabur di atas katil tadi. Menyapu di perut Fareez sambil berselawat. Dia terlantar memejamkan mata. Berkerut-kerut keningnya. Bunyi lagu Wali Band-Adinda berkumandang di udara. Iphone Fareez di atas meja sisi bergetar-getar. Fareez tidak bergerak-gerak mungkin keletihan. Malam tadi memang dia makan agak banyak, ketam masak pedas. Aku pula mengelak dari makan pedas, sejak akhir-akhir ini memang aku langsung tidak boleh menelan pedas, akan terkeluar semula.
Aku mengambil iphone, tertera nama Abang Akim di paparan iphone. Abang Akim abang yang kedua dia atas Fareez. Dia yang bertanggung jawab di cawangan Johor Bahru.
'Ni Intan, Fareez tak sihat, dia sakit perut...' aku menjawab selepas menjawab salam dari sebelah sana.
'Nanti dah sihat minta dia call balik ya, malam ni tidur rumah abang Akim tau, abang dengan kakak sekeluarga nak bawa kamu berdua ronda sekitar Pasir Gudang..'
'Okaylah, InsyaAllah Intan akan sampaikan' aku mengerling ke arah Fareez yang sudah nyenyak dengan dengkuran kecil. Kesiannya dia, sudahlah semalam tidak rehat langsung. Dari Kuala Lumpur terus ke pejabat di JB dan terus mesyuarat dan kemudian terpaksa turun padang melihat server yang sedang dalam masalah. Cuma malam sahaja yang dia sempat berehat, itu pun sudah lewat, hingga Plaza Angsana hampir tutup.
Setelah menunggu hampir setengah jam, Fareez pun tersedar dari tidur. Aku yang setia menunggu disebelahnya hanya mampu tersenyum.
'Dah lega?'
'Alhamdulillah ok sikit... tadi tu memang abang patah balik ke hotel, tak sempat sampai pun kat ofis..' Fareez memegang perutnya.
'Intan tolong drive abang pergi Plaza Angsana ye?' dia menyambung.
'Boleh ke? Tadi abang Akim ada call, dia kata malam nanti dia suruh tidur rumah dia. Dia nak bawa ronda Pasir Gudang. Tapi kalau abang masih belum ok, tak payah la kita pergi ye?'
'Tak pe, dah ok sikit ni, jom check out, abang ada tugasan belum selesai lagi kat ofis sana'
Tanpa berlengah, memang tak banyak baju pun yang dibawa, aku mengemas serba sedikit beg pakaian. Tidak sampai sepuluh minit, semua nya sudah siap sedia untuk check-out walaupun jam baru menunjukkan 10 pagi.
Sunyinya bila terpaksa berjalan berseorangan di dalam kompleks membeli-belah yang sentiasa sibuk. Aku sengaja menghabiskan masa duduk di kerusi Rest N Go yang berfungsi untuk mengurut badan dan kaki. Selesai berurut terasa lega sedikit badan dan kaki. Memerhati gelagat manusia yang keluar masuk dari satu kedai ke satu kedai. Memasuki kedai Gulatis yang penuh dengan kain renda-renda EuroModa yang sesuai untuk pengantin, teringat pula dengan baju pengantin yang mama reka tempohari. Mungkin di beli di Gulatis, aku sendiri pun tidak ambil tahu, kasihan Mama.
Abang Akim dan kak Sofea, hanya sempat aku kenali semasa kenduri kahwin kami di rumah banglo Dato' Shukor. Di situlah kami berkumpul makan malam beramai-ramai, dan aku diperkenalkan dengan setiap ahli keluarga Dato' Shukor dalam satu malam. Semua kaum kerabat Dato' Shukor hadir, termasuk adik-beradik sebelah Dato' dan Datin. Boleh dikatakan kesemuanya mempunyai lingkaran perniagaan masing-masing. Adik beradik Datin pula kebanyakkannya pensyarah, kesemuanya 10 orang, dan Datin pula anak yang sulong. Jadi, ibu Datin masih sihat, berusia 80 tahun, dan warak pula orangnya. Hanya mahu dipanggil Nek Yah sahaja.
Dato' pula memang tidak punya sesiapa, memang dibesarkan di rumah anak yatim Yayasan Al-Hikmah Kajang. Itu pun Dato' ceritakan lewat tengah malam, bila hanya tinggal kami berdua disisi kolam menikmati keindahan malam di banglo.
Wednesday, December 8, 2010
Cincin Emas Bertatahkan Permata
'Inilah yang ditunggu-tunggu...' bisik mak andam ditelinga Intan.
Intan hanya mampu tersenyum. Sebentar tadi mak andam menyolek ringkas membetulkan make-up yang tercacat dek air mata keharuan Intan.
'Fareez, duduk sini, acara menyarung cincin..' Mak Andam mengarah Fareez yang tersenyum-senyum kepada hadirin yang senyum padanya.
Menggeletar jari jemari Intan saat disarung cincin emas bertatah permata yang berkemilauan. Masing-masing Intan dan Fareez cuba sedaya upaya mengikut lensa yang mengarah supaya senyum dan terus tersenyum. Hilang debaran di dada Intan akibat terlalu diarahkan supaya fokus ke lensa kamera. Tetapi saat paling manis yang tidak dapat dilupakan, saat Aleeya dipangku Intan dan mereka bertiga bergambar bersama juga diapit kedua-dua Datin dan Dato' Shukor.
********************
Thursday, December 2, 2010
Alhamdulillah...
Sejak tiba dirumah, hati Intan berdebar-debar. Petang tadi lagi, keluarga Fareez telah tiba dan menginap di hotel Grand Continental. Paling dekat sekali dengan rumahnya. Fareez sudah beberapa kali menghantar sms padanya bertanyakan apa yang sedang dia lakukan. Intan cuba sedaya upaya untuk tidak menyinggung perasaan Fareez. Sengaja membalas ringkas tetapi tetap mesra, pada hakikatnya Intan terlalu berdebar-debar menunggu hari esok tiba.
Malam berinai, suasana di dalam rumah terang benderang. Mama sengaja menjemput jiran-jiran sekitar memeriahkan malam berinai. Kelam kelibut masing-masing di dapur, ada yang mengisi cenderahati kedalam bekas, ada yang sedang menghias pohor, ada juga yang mengambil gambar. Boleh dikatakan hampir kesemua sepupu sebelah mama ada ketika ini. Suasana hingar bingar di dapur, menyebabkan Intan tidak berani menjejakkan kaki ke dapur. Bimbang diusik-usik oleh ibu-ibu saudaranya. Mak Andam yang ditempah mama dari Butik Amani mengeluarkan barang-barang dari kotak andamannya.
'Malam berinai ni, nanti tidur kena diam-diam, tak boleh pusing-pusing. Esok inai nya tak jadi nanti' bisik Mak Andam di telinga Intan. Intan mengangguk-anggukkan kepala. Perlahan-lahan jari-jemari mak andam mengukir di tangan Intan. Selang sejam kemudian inai yang diukir pun terserlah. Hati Intan semakin berdebar-debar. Dia mengerling jam di dinding. Baru jam 11 malam. Esok tepat jam 10 pagi, Intan akan bertukar status, menjadi isteri Fareez. Terasa pilu terhiris dipintu hatinya.
Diam tak diam, dalam pada tidur-tidur ayamnya, jam berdenting 6 pagi. Entah bila masa pula orang-orang di dapur pulang kerumah. Tahu-tahu sahaja bau tumisan bawang. Semerbak membuatkan perut Intan berkeroncong. Inai dijari telah pun kering. Intan bangun, mandi dan menunaikan solat subuh. Selesai bersolat, dia bingkas ke dapur, mencari sesuatu untuk dibuat alas perut.
'Ha Intan, makan la dulu, ada mee goreng udang, mak uda masak tadi. Sekejap lagi ramai yang bangun, tak sempat anak mama makan nanti...'
'Mmmm sedapnya bau... mak uda masak ni mesti sedap..'
'Alahai Intan, orang nak nikah mesti la kena masak sedap-sedap.. nanti apa pula kata orang yang makan kalau tak sedap kan? Tapi kan mak uda rasa, Intan mesti tak rasa apa-apa walau sedap macam mana pun mee ni kan? Hati yang berdebar-debar tu boleh menyebabkan lidah kita tawar tau...?' Mak Uda sengaja mengusik Intan sambil ketawa-ketawa.
Intan tertunduk malu.
Mak Andam tiba tepat jam 9 pagi. Waktu itu Intan sudah pun bersiap-siap dengan gaun pengantin berona putih dan tudung sulaman bermanik-manik berwarna putih. Tinggal tunggu mak Andam mencalitkan make-up sahaja ke wajahnya. Di dada Intan, sudah tidak terkira lagi berapa pantasnya debaran yang terasa. Jari-jemarinya menggigil walaupun ada sejam lagi sebelum jurunikah sampai. Keluarga Fareez pun sudah pun tiba, dan mama sengaja menjemput mereka minum dahulu bagi mengalas perut.
Tidak berapa lama kemudian kedengaran bising-bising di ruang tamu. 'Dah sampai dah tu..' mak saudara sebelah papanya bersuara di pintu bilik. Terasa bagai nak luruh jantung Intan. Mak Andam pun hampir selesai menyolek wajahnya. Kelihatan di cermin bagai artis pula, langsung hilang wajah Intan yang asli.
'Dah.. Intan dah boleh turun ni...' sahut mak andam pada mak saudara nya tadi.
Perlahan-lahan Intan menuruni anak tangga, di ruang tamu yang telah dikosongkan, hanya ada pelamin merah dan dibahagian tengah ruang tamu kelihatan bantal besar untuk pengantin lelaki dan juru nikah, di suatu sudut bahagian hujung ruangan pula ada satu bantal merah untuk pengantin perempuan. Mak Andam meraih tangan Intan dan membawanya duduk di tempat perempuan.
Intan mengerling pada pintu masuk. Kelihatan kelibat Fareez yang sedang melangkah ke ruang tamu. Aduhai, Fareez dengan baju melayu tanpak menawan hati semua yang memandang. Saat mata bertentang mata, Intan tidak tahu betapa lajunya debaran di dadanya. Selesai semua duduk di tempat masing-masing, semua hadirin diminta diam bagi memberi peluang jurunikah membacakan sesuatu kepada Fareez.
'Aku terima nikahnya Intan Syuhada.....'
'Alhamdulillah... sah? Sah? Sah?' masing-masing saksi menganggukkan kepala sambil berkata sah.
Fareez meminta izin untuk menunaikan solat sunat nikah dan air mata Intan mengalir laju di pipinya.