Ruangan Iklan

Tuesday, December 14, 2010

Naza Taliyya JB

Aku tersentak dari lamunan bila pintu bilik hotel Naza Taliyya diketuk. Sejak dari pagi selepas bersarapan aku merenung jauh ke luar jendela. Memerhatikan pergerakan kereta yang mengensut-ensut perlahan menuju ke pintu keluar masuk Imigresen. Tentu masing-masing bekerja di Singapura. Aku bingkas bangun dari kerusi empuk hijau tua, lantas mencapai remote televisyen dan mematikannya. Entah cerita apa yang ditayangkan di HBO aku sendiri tidak pasti.

Aku mengintai lubang dibelakang pintu, Fareez sedang menunggu diluar. Bergegas aku memulas tombol, Fareez meluru masuk ke dalam tanpa sebarang salam, terus masuk ke bilik air.

'Kenapa bang?'

'Sakit perut.. tak tahan..' sahut Fareez dari dalam.

Petang semalam kami tiba di Bandar Baru Uda tepat jam 3. Fareez terus memandu ke pejabat cawangannya yang terletak di Plaza Angsana. Aku membawa diri ber'window shopping' bersendirian. Dalam hati seronok juga kalau bawa Aleeya bersama, tapi Datin pula tak benarkan Aleeya dibawa jauh-jauh, katanya dia bimbang aku tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada Aleeya, dengan keadaan aku yang sedang berbadan dua.

'Mmm ni mesti makan pedas malam tadi, Intan ada bawa pil chi kit, kejap ye..' aku mengambil beg tangan, mencurah segala isi di dalam, dan bertaburlah segala isi perut beg, liptstik, bedak kompak, nota kecil, pen, beberapa resit, minyak wangi, tisu dan beberapa keping duit syiling berserakan diatas katil.

Kedengaran Fareez keluar dari bilik air sambil mengeluh.

'Aduh....' Fareez menuju ke katil dan terus berbaring.

'Ni, makan terus..' aku mengunjukkan pil chi kit tadi dan segelas air suam. Mujur juga aku telah panaskan air sebelum turun bersarapan tadi. Dia bangun perlahan, menuangkan segala biji-biji pil kedalam mulut dan terus menelan air suam tadi.

Aku mengambil balm panas yang bertabur di atas katil tadi. Menyapu di perut Fareez sambil berselawat. Dia terlantar memejamkan mata. Berkerut-kerut keningnya. Bunyi lagu Wali Band-Adinda berkumandang di udara. Iphone Fareez di atas meja sisi bergetar-getar. Fareez tidak bergerak-gerak mungkin keletihan. Malam tadi memang dia makan agak banyak, ketam masak pedas. Aku pula mengelak dari makan pedas, sejak akhir-akhir ini memang aku langsung tidak boleh menelan pedas, akan terkeluar semula.

Aku mengambil iphone, tertera nama Abang Akim di paparan iphone. Abang Akim abang yang kedua dia atas Fareez. Dia yang bertanggung jawab di cawangan Johor Bahru.

'Ni Intan, Fareez tak sihat, dia sakit perut...' aku menjawab selepas menjawab salam dari sebelah sana.

'Nanti dah sihat minta dia call balik ya, malam ni tidur rumah abang Akim tau, abang dengan kakak sekeluarga nak bawa kamu berdua ronda sekitar Pasir Gudang..'

'Okaylah, InsyaAllah Intan akan sampaikan' aku mengerling ke arah Fareez yang sudah nyenyak dengan dengkuran kecil. Kesiannya dia, sudahlah semalam tidak rehat langsung. Dari Kuala Lumpur terus ke pejabat di JB dan terus mesyuarat dan kemudian terpaksa turun padang melihat server yang sedang dalam masalah. Cuma malam sahaja yang dia sempat berehat, itu pun sudah lewat, hingga Plaza Angsana hampir tutup.

Setelah menunggu hampir setengah jam, Fareez pun tersedar dari tidur. Aku yang setia menunggu disebelahnya hanya mampu tersenyum.

'Dah lega?'

'Alhamdulillah ok sikit... tadi tu memang abang patah balik ke hotel, tak sempat sampai pun kat ofis..' Fareez memegang perutnya.

'Intan tolong drive abang pergi Plaza Angsana ye?' dia menyambung.

'Boleh ke? Tadi abang Akim ada call, dia kata malam nanti dia suruh tidur rumah dia. Dia nak bawa ronda Pasir Gudang. Tapi kalau abang masih belum ok, tak payah la kita pergi ye?'

'Tak pe, dah ok sikit ni, jom check out, abang ada tugasan belum selesai lagi kat ofis sana'

Tanpa berlengah, memang tak banyak baju pun yang dibawa, aku mengemas serba sedikit beg pakaian. Tidak sampai sepuluh minit, semua nya sudah siap sedia untuk check-out walaupun jam baru menunjukkan 10 pagi.

Sunyinya bila terpaksa berjalan berseorangan di dalam kompleks membeli-belah yang sentiasa sibuk. Aku sengaja menghabiskan masa duduk di kerusi Rest N Go yang berfungsi untuk mengurut badan dan kaki. Selesai berurut terasa lega sedikit badan dan kaki. Memerhati gelagat manusia yang keluar masuk dari satu kedai ke satu kedai. Memasuki kedai Gulatis yang penuh dengan kain renda-renda EuroModa yang sesuai untuk pengantin, teringat pula dengan baju pengantin yang mama reka tempohari. Mungkin di beli di Gulatis, aku sendiri pun tidak ambil tahu, kasihan Mama.

Abang Akim dan kak Sofea, hanya sempat aku kenali semasa kenduri kahwin kami di rumah banglo Dato' Shukor. Di situlah kami berkumpul makan malam beramai-ramai, dan aku diperkenalkan dengan setiap ahli keluarga Dato' Shukor dalam satu malam. Semua kaum kerabat Dato' Shukor hadir, termasuk adik-beradik sebelah Dato' dan Datin. Boleh dikatakan kesemuanya mempunyai lingkaran perniagaan masing-masing. Adik beradik Datin pula kebanyakkannya pensyarah, kesemuanya 10 orang, dan Datin pula anak yang sulong. Jadi, ibu Datin masih sihat, berusia 80 tahun, dan warak pula orangnya. Hanya mahu dipanggil Nek Yah sahaja.

Dato' pula memang tidak punya sesiapa, memang dibesarkan di rumah anak yatim Yayasan Al-Hikmah Kajang. Itu pun Dato' ceritakan lewat tengah malam, bila hanya tinggal kami berdua disisi kolam menikmati keindahan malam di banglo.

Wednesday, December 8, 2010

Cincin Emas Bertatahkan Permata

Selesai solat sunat nikah, acara menyarungkan cincin ke jari jemari Intan yang merah menyala dek inai malam tadi. Mak Andam pula sibuk mengemas-ngemas tudung Intan. Jurufoto yang ditempah Mak Long Timah sibuk menghalakan lensa kamera nya dari pelbagai sudut. Intan masih duduk diam diatas bantal empuk di ruang tamu yang dipenuhi hadirin dan keluarga Fareez. Tidak ketinggalan si kecil Aleeya, yang sibuk mengusik bunga pohor di atas pentas pelamin. Bibik Sunarti kelihatan mengacah-acah Aleeya supaya duduk diam. Datin dan Dato' Shukor duduk bersimpuh di belakang bantal pengantin lelaki. Seketika kemudian Fareez muncul di ruang tamu. Masing-masing memandang kearah jejaka tampan raja sehari yang bercahaya-cahaya wajahnya bersampin songket emas dan berbaju melayu putih berseri-seri.

'Inilah yang ditunggu-tunggu...' bisik mak andam ditelinga Intan.
Intan hanya mampu tersenyum. Sebentar tadi mak andam menyolek ringkas membetulkan make-up yang tercacat dek air mata keharuan Intan.

'Fareez, duduk sini, acara menyarung cincin..' Mak Andam mengarah Fareez yang tersenyum-senyum kepada hadirin yang senyum padanya.

Menggeletar jari jemari Intan saat disarung cincin emas bertatah permata yang berkemilauan. Masing-masing Intan dan Fareez cuba sedaya upaya mengikut lensa yang mengarah supaya senyum dan terus tersenyum. Hilang debaran di dada Intan akibat terlalu diarahkan supaya fokus ke lensa kamera. Tetapi saat paling manis yang tidak dapat dilupakan, saat Aleeya dipangku Intan dan mereka bertiga bergambar bersama juga diapit kedua-dua Datin dan Dato' Shukor.

********************

Thursday, December 2, 2010

Alhamdulillah...

Sejak tiba dirumah, hati Intan berdebar-debar. Petang tadi lagi, keluarga Fareez telah tiba dan menginap di hotel Grand Continental. Paling dekat sekali dengan rumahnya. Fareez sudah beberapa kali menghantar sms padanya bertanyakan apa yang sedang dia lakukan. Intan cuba sedaya upaya untuk tidak menyinggung perasaan Fareez. Sengaja membalas ringkas tetapi tetap mesra, pada hakikatnya Intan terlalu berdebar-debar menunggu hari esok tiba.

Malam berinai, suasana di dalam rumah terang benderang. Mama sengaja menjemput jiran-jiran sekitar memeriahkan malam berinai. Kelam kelibut masing-masing di dapur, ada yang mengisi cenderahati kedalam bekas, ada yang sedang menghias pohor, ada juga yang mengambil gambar. Boleh dikatakan hampir kesemua sepupu sebelah mama ada ketika ini. Suasana hingar bingar di dapur, menyebabkan Intan tidak berani menjejakkan kaki ke dapur. Bimbang diusik-usik oleh ibu-ibu saudaranya. Mak Andam yang ditempah mama dari Butik Amani mengeluarkan barang-barang dari kotak andamannya.

'Malam berinai ni, nanti tidur kena diam-diam, tak boleh pusing-pusing. Esok inai nya tak jadi nanti' bisik Mak Andam di telinga Intan. Intan mengangguk-anggukkan kepala. Perlahan-lahan jari-jemari mak andam mengukir di tangan Intan. Selang sejam kemudian inai yang diukir pun terserlah. Hati Intan semakin berdebar-debar. Dia mengerling jam di dinding. Baru jam 11 malam. Esok tepat jam 10 pagi, Intan akan bertukar status, menjadi isteri Fareez. Terasa pilu terhiris dipintu hatinya.

Diam tak diam, dalam pada tidur-tidur ayamnya, jam berdenting 6 pagi. Entah bila masa pula orang-orang di dapur pulang kerumah. Tahu-tahu sahaja bau tumisan bawang. Semerbak membuatkan perut Intan berkeroncong. Inai dijari telah pun kering. Intan bangun, mandi dan menunaikan solat subuh. Selesai bersolat, dia bingkas ke dapur, mencari sesuatu untuk dibuat alas perut.

'Ha Intan, makan la dulu, ada mee goreng udang, mak uda masak tadi. Sekejap lagi ramai yang bangun, tak sempat anak mama makan nanti...'

'Mmmm sedapnya bau... mak uda masak ni mesti sedap..'

'Alahai Intan, orang nak nikah mesti la kena masak sedap-sedap.. nanti apa pula kata orang yang makan kalau tak sedap kan? Tapi kan mak uda rasa, Intan mesti tak rasa apa-apa walau sedap macam mana pun mee ni kan? Hati yang berdebar-debar tu boleh menyebabkan lidah kita tawar tau...?' Mak Uda sengaja mengusik Intan sambil ketawa-ketawa.

Intan tertunduk malu.

Mak Andam tiba tepat jam 9 pagi. Waktu itu Intan sudah pun bersiap-siap dengan gaun pengantin berona putih dan tudung sulaman bermanik-manik berwarna putih. Tinggal tunggu mak Andam mencalitkan make-up sahaja ke wajahnya. Di dada Intan, sudah tidak terkira lagi berapa pantasnya debaran yang terasa. Jari-jemarinya menggigil walaupun ada sejam lagi sebelum jurunikah sampai. Keluarga Fareez pun sudah pun tiba, dan mama sengaja menjemput mereka minum dahulu bagi mengalas perut.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran bising-bising di ruang tamu. 'Dah sampai dah tu..' mak saudara sebelah papanya bersuara di pintu bilik. Terasa bagai nak luruh jantung Intan. Mak Andam pun hampir selesai menyolek wajahnya. Kelihatan di cermin bagai artis pula, langsung hilang wajah Intan yang asli.

'Dah.. Intan dah boleh turun ni...' sahut mak andam pada mak saudara nya tadi.

Perlahan-lahan Intan menuruni anak tangga, di ruang tamu yang telah dikosongkan, hanya ada pelamin merah dan dibahagian tengah ruang tamu kelihatan bantal besar untuk pengantin lelaki dan juru nikah, di suatu sudut bahagian hujung ruangan pula ada satu bantal merah untuk pengantin perempuan. Mak Andam meraih tangan Intan dan membawanya duduk di tempat perempuan.

Intan mengerling pada pintu masuk. Kelihatan kelibat Fareez yang sedang melangkah ke ruang tamu. Aduhai, Fareez dengan baju melayu tanpak menawan hati semua yang memandang. Saat mata bertentang mata, Intan tidak tahu betapa lajunya debaran di dadanya. Selesai semua duduk di tempat masing-masing, semua hadirin diminta diam bagi memberi peluang jurunikah membacakan sesuatu kepada Fareez.

'Aku terima nikahnya Intan Syuhada.....'

'Alhamdulillah... sah? Sah? Sah?' masing-masing saksi menganggukkan kepala sambil berkata sah.

Fareez meminta izin untuk menunaikan solat sunat nikah dan air mata Intan mengalir laju di pipinya.