Ruangan Iklan

Saturday, August 28, 2010

Aku, dia dan...

Malam itu, selesai solat Isya' aku bergegas bersiap untuk ke rumah Dato' Shukor. Melihat baju di dalam almari, hampir kesemuanya membosankanku atau lebih tepat, aku yang merasa bosan?. Pertemuan aku dengan Zai petang tadi betul-betul merubah mood aku.

'Betul Intan, I dah add dia dalam Facebook. You takkan tak pernah contact dia?'

'I jarang masuk Facebook.' Aku menjawab bersahaja. Zai nampak anggun bergaya walaupun hari hampir malam. Berpakaian baju kurung berwarna jingga dan bunga tulip berwarna putih, bunga kegemaranku. Aku pula santai berseluar jogging dan t-shirt putih lengan panjang.

'You kan dulu baik dengan Luqman, apa jadi dengan dia ya? I selalu tulis mesej di facebook, tapi dia jarang balas. Ada sekali saja dia balas, tanya siapa I. Bila I browse photos dia di facebook, ada la gambar baby comel, agaknya anak dia kot?' Zai cuba mengorek cerita dari ku.

'Eh, Zai, I tak boleh lama-lama la, ada apa you nak jumpa I?' aku cuba mengalih perbualan.

'Pasal Luqman lah.. I ingat nak tanya lagi hal dia dengan you, bila I tengok you dengan keluarga you kat kedai makcik I pagi semalam, I anggap you mungkin dah tak contact Luqman lagi. Sebenarnya, dari dulu lagi I minat kat dia, tapi dia kan kawan rapat dengan you, sampai sekarang I ingat you akan kahwin dengan dia.' Panjang lebar Zai berterus-terang.

'Ohh... I dah bertunang. Sebenarnya pagi semalam tu keluarga sebelah tunang I la tu. Luqman sekarang kat Tasmania. Betullah tu anak dia. Tapi isteri dia dah meninggal. Lepas raya nanti dia balik sini dengan anak dia.' Ringkas aku menceritakan tentang diri Luqman.

'Ooo.. okay, eh boleh tak you bagi alamat ke, no telefon ke? At least boleh la I contact Luqman.' Zai tersipu-sipu. Aku tahu dia mungkin malu untuk meminta terus dari Luqman di Facebook.

'Ada, I sms sekarang' aku tersenyum. Melihat Zai sekilas, mungkin dia calon yang sesuai untuk Luqman. Cumanya aku perlu meyakinkan Luqman, atau mengingatkan semula memori lama sewaktu di alam persekolahan tentang diri Zai. Walaupun Zai agak nakal dan dialah orang yang paling selalu menarik tocang dan tudung aku, dari darjah 1 hingga aku bertudung dalam darjah 6, Zai memang tidak jemu-jemu mengusikku.

Selesai memberi nombor telefon, aku meminta diri. Jam sudah pun menunjukkan 7 petang, bebual lebih kurang pun terasa laju sahaja masa berjalan. Aku dapat tahu dari Zai, yang dia sudah lama bekerja di KDN, sejak selepas SPM, dia tidak berpelajaran tinggi, hanya sebagai kerani kerajaan gred N29 sahaja. Dia sebenarnya baru sahaja putus tunang, dan dia sengaja menolong makciknya di pasar payang pagi itu, untuk menghilangkan rasa kecewa dan sedih. Tidak pula dia menceritakan apa sebab dia putus tunang. Orang macam Zai, punya rupa dan bergaya, tidak akan susah mendapat pengganti.

Akhirnya aku memilih jubah berwarna biru, yang dihadiahkan mama. Jubah biru, bersama tudung biru gaya arab aku lilitkan di kepala. Aku menggayakannya didepan cermin. Langsung berbeza dari aku pagi tadi. Aku menyapu sedikit bedak dimuka, membetul-betulkan tudung, lalu mengerling pada jam dinding, hampir jam 9. Sepatutnya aku sudahpun berada di rumah Fareez.

Tiba di banglo Fareez, tepat 9:30. Mujur juga tiada sebarang kesesakan lalulintas, mungkin aku menongkah arus. Ramai yang bekerja di Kuala Lumpur dan menghala keluar, dan aku pula sebaliknya.

'Haa, dah sampai pun..' Datin menyambut aku di depan pintu. Aku mengangkat tangan bersalaman dan mencium tangannya. Saat aku meraih kepalaku, Fareez sudah pun berada dibelakang umminya. Tersenyum. Wajahnya sudah nampak merah, dan kelihatan berseri-seri.

'Intan... Intan nampak lain lah... Ingatkan anak arab mana sesat kat sini tadi.. hehehehehe' Fareez mengusikku. Pagi tadi dia terlantar di katil, tidak sedarkan diri, dan malam sudah boleh mengusik pula.

'Abang sudah sihat?' aku menegurnya sambil melangkah masuk ke ruang tamu.

'Sudah sihat saat melihat wajahmu sayang' Fareez berbisik di telingaku.

Aku tersipu-sipu malu. Masing-masing sudah pun menunggu di ruang tamu. Alia pula berlari anak memelukku, lalu meraih tanganku dan bersalam sambil mencium tangaku. Ah... anak yang bijak dan peramah. Alia memang buah hati semua orang.

Meja makan penuh dengan hidangan yang enak-enak. Ada telur goreng berempah, acar buah, kuah kuzi kambing, dan ayam masak merah kegemaranku.

Aku duduk bersebelahan dengan Fareez, dia tidak sudah-sudah meletakkan makanan ke dalam pingganku.

'Tak boleh banyak, nanti mengantuk nak drive balik...' aku menolak senduk nasi yang disuakan ke pingganku.

Tuesday, August 24, 2010

Iman dan Islam Hidayah Allah swt..

Luqman berjalan perlahan menuju ke kereta sewa yang disewa dari rent-a-car. Ameerah berbalut rapi. Pagi tadi, keluarga mertuanya berpesan supaya jangan didedahkan Ameerah kepada cuaca dingin. Suhu persekitaran hanya lebih kurang 16 darjah celsius. Tidak lah berapa sejuk, tetapi untuk seorang bayi memang merbahaya jika terdedah.

Selesai urusan di kedutaan Malaysia di Melbourne, dia harus pulang ke Tasmania. Mujur juga keluarga mertuanya sangat memahami, dalam keadaan sekarang keluarga mertuanya yang membesarkan Ameerah di Melbourne. Walaupun mereka berlainan agama, tetapi masing-masing sangat memahami. Semasa perkahwinan dia dengan Siti Mariam, ayah mertuanya menghadiahkan sepasang baju jubah dan sehelai sejadah. Dari mana ayah mertuanya mendapatkannya dia sendiri tidak pasti, mungkin dari rakan sekerja ayah mertuanya. Ayah mertuanya berkerja di syarikat multinasional sebagai jurutera. Hidayah itu hanya anugerah Allah swt. Dia berdoa agar Allah memberikan hidayah pada seluruh keluarga isterinya untuk memasuki Islam.

Luqman menghantar Ameerah semula kepada keluarga mertuanya. Mereka semua bersetuju yang Ameerah akan di bawa pulang ke Malaysia dan mereka juga berjanji akan melawat Ameerah bila perlu. Tiket penerbangan dari Melbourne ke Malaysia sudah pun ditempah awal dua bulan. Dia berkemas-kemas, perjalanan dari Melbourne ke Hobart, Tasmania akan mengambil masa lebih kurang 12 jam. Malam semalam dia bertolak dari pengkalan Davenport menaiki feri ke Port Melbourne. Lenguh badan nya masih belum hilang. Mujur juga Ameerah tidak tinggal bersamanya di Hobart. Tentu keletihan sikecil itu di bawa ke sana ke mari.

Pagi tadi juga setelah selesai urusan visa Ameerah, dia sengaja menghubungi Intan, sengaja walaupun dia tahu, Intan kini sudah milik orang lain. Hatinya sedikit tersentuh, tetapi dia tetap redha dengan ketentuan ilahi. Mungkin Allah swt membalas atas kesalahannya dulu yang sengaja meninggalkan Intan tanpa sebarang berita walaupun sudah bernikah dengan Siti Mariam. Dia mengeluh berat.

Email dari Zainab akhir-akhir ini kerap menganggu fikirannya. Zainab rakan sekelas semasa bersekolah rendah dahulu. Sudah lama juga dia tidak berhubungan dengan Zainab, tetapi atas kecanggihan teknologi masakini, Zainab menghubunginya melalui carian di Facebook. Walaupun dia jarang-jarang mengemaskini Facebooknya, tetapi setiapkali dia login, akan mendapat mesej dari Zainab. Walaupun dia sendiri teringin berhubungan dengan Intan melalui Facebook, tetapi sehingga sekarang dia masih tidak menemui halaman Intan di Facebook. Lain yang dicari, lain pula yang didapati.

Kali terakhir dia membuka Facebook, Zainab menghantar mesej mengatakan dia terjumpa Intan di pasar payang bersama teman lelaki dan keluarga teman lelaki Intan. Dia sengaja tidak mahu membalas mesej dari Zainab. Sengaja untuk tidak menambah lagi rasa sakit di dada.

Monday, August 23, 2010

Rindu..

Petang itu, setelah selesai kerja-kerja di pejabat, aku terus memandu pulang. Terasa letih seluruh badan. Ke hulu ke hilir, bagaimanalah agaknya Fareez berulang-alik dari rumahnya ke cyberjaya setiap hari. Kalau Dato' Shukor sudah tentu ada Pak Mat yang memandu setiap hari. Sebaik masuk ke bilik, teringat aku ingin menanyakan khabar Fareez. Sudah bangun kah belum, dan sudahkah dia makan bubur bilis tadi?. Aku melucutkan tudung pink berjalur putih dari kepala, meraih telefon di dalam beg tangan dan terus mendail nombor Fareez.

Aku tidak perlu menunggu lama, suara Fareez menjawab salam kedengaran di sebelah sana.

'Assalamualaikum, awak dah sihat?'

'Waalaikumussalam, sudah rasa segar sikit lepas makan bubur bilis tadi......Intan datang dan masak ye?'

'Iya, pagi tadi, tunggu ummi dan daddy sampai'

'Abang tak sedar langsung, abang ingat Dr Firdaus datang tadi, lepas tu abang baring, terus tak sedar apa-apa.. Tau-tau Alia bising-bising kat dapur nak makan bubur bilis lagi...'

'Alia kan dah makan sebelum Intan balik tadi...?'

'Iya la, Ummi dah bagitau tadi dia dah makan, tapi dia nak lagi...'

'Abang dapat rasa sikit je... sedap... Alia dah habiskan semuanya...'

'Tak pe lah, janji awak dah makin sihat...'

'Rindu lah.... ruginya abang tidur tadi masa Intan datang...' Fareez bersuara lembut. Aku pula merasakan darah panas naik ke muka. Pada hal, hanya bercakap di telefon sahaja.

'Mmm... esok boleh kerja ke ni?'

'Dr Firdaus tak bagi apa-apa mc, abang kerja lah esok, tak sabar nak jumpa Intan kat ofis...' Fareez mengusik lagi.

'Mmm okay lah kalau camtu, jumpa lagi esok ..?'

'Ala... tunggu la dulu, tak puas lah cakap dengan Intan... Ummi kata malam ni nak buat makan-makan sedap, Intan dijemput malam ni.'

'Err... bukan apa, malam Intan susah la nak keluar jauh-jauh.'

'Tak pa, nanti abang minta Pak Mat ambil dan hantarkan?'

'Eh, buat susah aje.. sekarang ni pun dah jam 6, Pak Mat mesti nak rehat juga, lelah perjalanan dari pagi tadi pun tak hilang lagi...' aku beralasan.

'Kalau macam tu, abang datang la jemput Intan?'

'Eh, mana boleh!, awak kena rehat dulu, nanti bentan!'

'Mmmmmm sayang juga Intan kat abang ya? Ingatkan tak peduli....' suara Fareez bagai tersenyum ditelefon menyindirku.

'Eh, mmm Intan nak call mama kat kampung. Tapi malam ni memang tak janji tau'

'Mesti Ummi terkilan nanti, masak sedap-sedap, tapi orangnya tak datang pulak. Alia pun dah tau auntie nak datang, dah seronok dah dia tadi bila ummi kata nak ajak Intan makan malam'

'Ye lah, Ye lah.... Nanti malam kita jumpa, tapi Intan drive sendiri, tak payah suruh Pak Mat tau.. kesian kat dia'

'Ok, abang tak sabar nak jumpa sayang...jam 9 ye?'

'ok, assalamualaikum' aku melepaskan lelah di dada dan memutuskan talian setelah mendengar Fareez menjawab salam. Selalunya memang aku mengelak perjalanan waktu malam, berseorangan memandu di malam hari, agak merbahaya.

Baru sahaja aku hendak melangkah ke bilik air, deringan telefon bimbit meminta aku menghentikan langkahku. Apa lagi Fareez ni agaknya?

'Assalamualaikum' suara di sebelah sana perempuan, tidak pula aku mengecam suara siapa.

'Waalaikumussalam.' Diam.

'Ni Zai lah!'

'Ohh.... ya ada apa Zai?'

'Boleh kita jumpa kejap hari ni?'

'Jumpa? Kenapa?' aku terpinga-pinga.

'You dekat mana? I datang tempat you sekarang.. I dekat Alamanda ni, I kerja kat KDN'

'Ohhh, dekat je tu, macam tu kalau nak jumpa, dekat food court presint 9 lah ya, sekarang ni pun dah jam 6, sekejap boleh lah'

'Ok camtu 10 minit lagi I sampai kat situ, I tunggu you kat situ tau. Bye' Zai meletakkan telefon sebelum aku sempat memberi persetujuan.

Ish, ada apa pula Zai nak jumpa aku ni. Tapi aku bergegas ke bilik air dan bersiap-siap.

Memang Zai sudah sedia menunggu di salah satu meja makan di food court presint 9. Suasana persekitaran tenang, hanya ada beberapa orang lelaki sedang makan, dengan berpakaian sukan, mungkin baru lepas bersenam di gym yang terletak di bangunan hadapan food court.

Aku menghulurkan tangan bersalaman dengan Zai. Di hadapannya segelas jus limau hampir separuh. Ku anggar dia mungkin sudah menunggu agak lama.

Saturday, August 21, 2010

Bubur Ikan bilis

Dr Firdaus membawaku ke bilik yang terletak berhampiran dengan ruang tamu. Seingat aku, sudah hampir dua tahun aku tidak menjejakkan kaki di rumah Dato' Shukor, kali pertama dan terakhir semasa memenuhi jemputan Datin untuk rewang di rumahnya. Aku sama sekali tidak mengingati suasana di dalam rumah.

Melihatkan Fareez terlantar berselimut, dan sedang nyenyak tidur, aku rasa terharu dengan budi baik Dr Firdaus.

'Kenapa Fareez Doc? Demam dia teruk ke?'

'Fareez kena keracunan makanan, dia demam selepas muntah den ceret-beret sejak malam tadi. Jadi, I dah berikan ubat oral, dia tidur keletihan tu..'

'Ohh... kami baru balik dari Terengganu malam tadi.'

'Mungkin ada yang dia tersilap makan kot semalam?'

'Tak tahu la pulak tu. Tapi thanks a lot sebab datang.'

'Tak apa, rumah I pun dekat-dekat sini je' Dr Firdaus tersenyum, dan mengemas-ngemas begnya.

Ku lihat beg Fareez masih belum terbuka, terletak di sudut tepi katil. Aku rasa kan bilik ini untuk tetamu, memandangkan tiada sebarang bedak atau pun sikat di atas meja solek di situ. Pakaian Fareez yang semalam masih tersangkut di atas kerusi.

'I pergi dulu ye?' Dr Firdaus meminta diri.

'Err... okay. Thanks again ye?' aku gugup. Setelah menutup pintu besar, aku kembali meninjau keadaan Fareez. Dia masih nyenyak tidur.

'Masak bubur lah kat dapur... sementara menunggu diorang semua balik' bisik hatiku. Dapur basah dan dapur kering kelihatan kemas. Ternyata bibik melakukan kerja dengan teliti, di awasi makcik Ronah. Aku menjenguk ke dalam almari di bahagian bawah sinki, agakanku tepat, di situ periuk dan beras disusun rapi. Selang beberapa minit, semua sudah berada di dalam periuk di atas dapur. Aku duduk di dapur yang hanya mempunyai meja bulat kecil dan 4 bangku, menunggu bubur ikan bilisku masak. Hanya campuran bilis, bawang dan sedikit karot sahaja menu bubur untuk Fareez. Resepi dari mama saat aku demam.

Bosan menunggu, aku bergerak ke hadapan. Ruang dapur kering berada tidak jauh dari dapur basah. Mungkin disitulah keluarga Fareez makan bersama. Meja berkerusi lapan, dengan kusyen lembut, dan ukirannya ternyata dari kayu jati menjadi pilihan Datin. Di bahagian sudut tepi pula, almari hiasan kristal dipenuhi dengan barang-barang kristal pelbagai bentuk. Gambar Fareez sekeluarga tergantung di bahagian dinding. Aku cuba mencari wajah Fareez di celah-celah adik-beradiknya yang lain, tetapi aku langsung tidak mengecamnya.

'uhhhh... uhhhh....' kedengaran perlahan suara Fareez mengerang.

Aku bergegas ke biliknya. Dia masih memejamkan matanya. Mungkin terlelap semula. Raut wajahnya nampak tenang. Inilah kali pertama aku menatap wajahnya tanpa rasa bersalah. Jantungku bergetar saat menatapinya, hampir sahaja aku menyentuh dahinya, namun pesanan dari papa terngiang-ngiang di telingaku. Aku bingkas bangun dan keluar dari bilik Fareez.

'Astaghfirullahal'azim...'

Aku harus menunggu di dapur. Tidak patut aku hanya berduaan sahaja di dalam bilik Fareez. Aku mendail nombor Dato' tetapi tidak berhasil.

'Ting.. Tong.. Ting.. Tong'. Leganya terasa, sudah tentu Dato' sekeluarga sudah tiba. Aku bergegas ke pintu utama dan membukanya. Alia menerpa padaku.

'Hai auntie... papa mana? Atok kata papa tak sihat?' bijak sungguh si kecil ini. Bertuah Fareez, punyai anak yang sentiasa prihatin dengan ayahnya.

'Ada di dalam bilik tamu' Aku menjawab sambil bersalaman dengan Datin, Makcik Ronah dan bibik. Pak Mat pula sibuk membantu mengeluarkan barangan dari kereta BMW Fareez.

'Mmmm bau sedap je ni?' tegur Datin padaku sambil tersenyum.

'Intan masakkan bubur untuk abang Fareez'. Aku berjalan beriringan dengan Datin Masriah menuju ke bilik tamu.

'Macam mana Fareez?'

'Dia tidur, tadi Dr Firdaus datang, dah bagi kan ubat pada Fareez. Katanya keracunan makanan' aku berdiri disisi katil. Datin Masriah duduk di birai katil, lalu memegang dahi anaknya.

'Suam-suam panas, demam agaknya' Datin Masriah berkata perlahan

'Intan pergi tengok bubur sekejap ya Ummi...' aku meminta diri.

Di dapur, bibik Sunarti dan Nunung sibuk mengemas barang-barang yang telah Pak Mat masukkan tadi. Alia yang dari tadi mengekoriku, menarik hujung bajuku.

'Auntie, Alia nak makan yang bau sedap ni boleh?'

'Boleh..... tapi panas lagi... Alia pergi tukar baju, nanti turun balik ke dapur ya?'

'Nak auntie suapkan....' manja dan bersahaja. Alia berpaling dan berlari anak menuju ke tangga.

'Auntie, nanti auntie tunggu Alia tau!' Alia melaung dari tangga.

'Ok' aku menyahut. Tadi nampak bimbang sangat dengan papa, tup-tup sudah ceria pula. Budak kecil yang tidak tahu apa-apa tentang dunia. Aku menggelengkan kepala. Dato' Shukor memerhati sahaja gelagat aku dan Alia.

'Baguslah Intan, Alia dah serasi tu.' Dato akhirnya bersuara, sedari tadi selepas menjenguk Fareez, Dato' Shukor berehat di kerusi malas di ruang tamu sambil membaca akhbar.

Selesai menyuap Alia, jarum jam di tanganku sudah menginjak ke jam 2 petang. Aku meminta diri pada Dato' dan Datin. Fareez masih lagi nyenyak tidur.

'Terimakasih Intan sebab datang dan jenguk Fareez. Tapi dia pun belum bangun-bangun lagi. Dr Firdaus dah bagi ubat tidur agaknya. Nanti bila Fareez dah sedar, Ummi bagitau dia yang Intan datang ye?' Lembut Datin meraih bahuku.

'Ye lah Ummi, Intan kena balik ofis dulu, takut-takut kalau ada perkara urgent nanti susah pula' Hatiku merasa lega setelah memasuki kereta MyVi hitamku. Semuanya sudah balik, dan aku tidak perlu risau tentang Fareez.

Thursday, August 19, 2010

Sayang kepayang.....

Selesai bersarapan di pantri berseorangan seperti biasa, Miss Mary menjenguk. Sebentar tadi aku membawa akok dari Terengganu dan beberapa jenis kuih muih sebahagian dari hantaran dan meletakkan di atas meja.

'Wah... ada kenduri ke Intan?' Miss Mary menjamah sekeping akok di dalam pinggan.

'Eh, dah basuh tangan ke?, Nak makan basuh dulu tangan, tak takut H1    N1?' aku sengaja berseloroh dengan Miss Mary. Dia tersengih-sengih. Sekejapan itu dia menuju ke sinki.

'Ada kenduri ke?' bersahaja Miss Mary mencari angin gosip.

'Ha ah' aku seperti hendak tak hendak menjawab.

'Wah.... kenduri tak jemput pun ye?... tengok tangan?' Pandai sungguh Miss Mary menyerkap jarang. Dia meraih tangan kananku lalu membelek cincin pertunanganku.

'He he he..... I dah boleh agak dah... kan I selalu nampak you dengan Encik Fareez.... hehehehehe.. senyap-senyap je you all berdua ye? Pandai sorok!'

Dia yang bertanya, dia pula yang menjawab. Aku hanya mendiamkan diri.

'Mana Encik Fareez? Selalu kan pagi-pagi ada je nampak dia kat sini?'

'Lambat sikit kot...' perlahan aku menjawab, sms semalam masih belum berbalas. Aku senyum pada Miss Mary.

'Oooo bergayut ya malam tadi? Orang bercinta memang tak ingat siang dan malam, tup-tup aje dah malam kan? Pagi dah susah nak bangun!' Miss Mary mengusikku sambil mulutnya mengunyah akok tadi. Dia berpakaian blouse putih tuck-in dengan skirt paras lutut berwarna biru tua. Anggun sekali. Mujur juga perfumenya tidak sekuat Sally. Apa khabar Sally sekarang ya? Tentu dia terkejut dengan pertunangan aku dengan Fareez. Mujur ada Dr Firdaus yang menjaganya sekarang.

'Eh, termenung pulak dia!' Miss Mary menegurku.

'Bila majlis nya nanti? Kami nak datang satu bas rombongan ke Terengganu boleh?'

'Boleh... Dua bulan lagi, raya ke 4 InsyaAllah.'

Aku bingkas bangun, tidak mahu memperpanjangkan lagi perbualan. Aku perlu duduk di tempatku walaupun masih ada setengah jam sebelum pukul 9.

Masih melihat pada telefon bimbitku, kenapa masih tiada balasan?. Aku beranikan diri mendail nombor Fareez. Biasanya dia yang selalu menghubungi aku, tetapi kali ini biarlah aku yang mengalah. Lagipun tiada apa yang perlu aku takutkan, yang penting adalah penjelasan dari Fareez kenapa dia membisu seribu bahasa.

'Assalamualaikum, Hello?' sebaik aku mendengar nada telefon diangkat.

'Waalaikumussalam' kedengaran suara Fareez, seperti baru bangun dari tidur.

'Sorry ganggu abang tidur, tapi sekarang dah jam 8:30 pagi..'

'Ya, abang tahu' perlahan suaranya disebelah sana.

'Abang tak sihat ke?'

'Ya, abang tak boleh bangun ni.. tak de orang kat rumah, semua belum balik...' suara Fareez serak dah perlahan.

'Ok... abang tunggu situ..' aku mulai panik. Sudahlah semua orang di rumahnya masih berada di Terengganu. Sekarang Fareez berseorang di rumahnya dan terlantar sakit pula. Apa yang harus aku buat?.

'Mmmm.... Intan panggil Dr Firdaus ye?, kalau dia tak kerja hari ni, rumah dia pun dekat-dekat dengan rumah abang rasanya, Kota Damansara.'

'Ok..' keluh Fareez di sebelah sana. Baru semalam sahaja dia sihat-sihat. Pagi ni Fareez demam pula, padanlah hanya diam sahaja semalam. Aku memutuskan talian, lalu mendail Dr Firdaus. Mujur juga Dr Firdaus baru pulang dari shift malam. Dia dalam perjalanan pulang ke rumah nya di Kota Damansara. Aku memetakan jalan pada Dr Firdaus banglo Dato' Shukor. Rupa-rupanya banglo Dato' Shukor terletak tidak jauh dari rumah Dr Firdaus. Katanya dalam 15 minit lagi dia akan tiba di sana.

Tanganku menggeletar saat memutuskan talian selepas bercakap dengan Dr. Firdaus. Aku menelan ubat seperti biasa. Jam di dinding menunjukkan tepat 9 pagi. Aku menekan nombor Dato' Shukor.

'Assalamualaikum Dato''

'Wa'alaikumussalam, ha Intan, kenapa? Ada orang cari saya ke di pejabat?'

'Tak Dato', err... Fareez dia tak boleh bangun, tadi saya telefon, dia kata dia demam, saya dah panggilkan Dr. Firdaus untuk datang menjenguknya di banglo Dato''

'Eh, Intan, tak payah la panggil Dato', ni bukan hal pejabat, panggil aje daddy. Fareez demam?. Tak pe, kami semua dalam perjalanan ni, dah sampai di Karak dah ni, tadi pagi kami bertolak awal, selepas suboh. Ummi kamu tu rasa tak sedap hati pula. Nak cepat-cepat balik. Mmmm macam ni lah, dalam sejam lagi sampailah InsyaAllah'

'Mmm Okay lah macam tu. Tapi saya akan ke sana sekarang. Mana lah tahu kalo Dr Firdaus perlukan apa-apa bantuan.' Lega rasa hatiku mendengar jawapan dari Dato' Shukor.

'Ye lah. Nanti Intan tunggu saja hingga kami sampai di rumah ya?'

'Iyya daddy, Assalamualaikum' Dengan tangan yang terketar-ketar aku mengambil kunci kereta dari dalam laci, dan tas tangan ku selempangkan ke dadaku. Aku mendail nombor Miss Mary dari telefon meja.

'Mary, I keluar dulu sekejap ya. Ada hal sekejap'

'Okay. Nak tinggalkan apa-apa pesanan?' kedengaran suara Miss Mary dari loud speaker.

'Tak apa, nanti saya balik. Thanks'

Selesai perbualan, aku bingkas bangun dan berlari anak menuju ke kereta. Perjalanan dari Cyberjaya ke Kota Damansara lebih kurang dalam 50km. Mungkin dalam 45 minit perjalanan paling lewat. Aku harap tiada apa-apa yang serius pada Fareez.

Saat aku tiba di hadapan banglo Dato' Shukor yang tersergam indah, kereta Dr. Firdaus sudah pun terparkir di bahagian luar rumah. Aku menekan loceng di tepi tembok pagar rumah. Sebentar kemudian pagar automatik terbuka perlahan. Aku bergegas meloloskan diri dan berlari anak ke pintu rumah. Dr. Firdaus membuka pintu kaca berwarna coklat kehitaman dan bercorak kaca bunga tulip dari dalam.

Tuesday, August 17, 2010

Zikir Fatimah

Dalam perjalanan yang tidak sampai 10 minit ke putrajaya sentral, puas aku memikirkan apa kesalahan aku, hinggakan Fareez mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Mungkin esok pagi setelah dia lebih tenang aku akan bertanya. Dia hanya mengucapkan salam dan selamat malam saat aku keluar dari pintu keretapi. Ahh... susah juga untuk memahami isi hati Fareez.

Elin sudah pun menunggu di hadapan lobi Putrajaya Sentral dengan keretaku.

' Hmmm.. kak Intan, mesti cerita story kat Elin!' Elin segera keluar dan menyalamiku saat aku tiba di hadapan pintu kereta.

'Sabar.... sabar... kat rumah nanti kita cerita.' Aku tersengih-sengih. Elin meraba tangan kananku yang bersarung cincin permata.

'Wah.... Opismet kak Intan tu ke? Abang Fareez? Dia masuk meminang kak Intan?' suara Elin tinggi dengan nada teruja.

'Eh, masuk kereta dulu.. kita balik rumah dulu lah.... malu la kat sini' aku menarik tangan Elin ke tempat penumpang. Aku memandu kereta perlahan menuju ke apartmentku yang tidak berapa jauh dari situ.

Di dalam lif, Elin masih lagi tersenyum-senyum padaku. Sebaik memasuki rumah, Elin terus mengasak aku dengan soalan.

'Kak Intan, Abang Fareez eh?, Siapa datang? Kenapa tak cakap dengan Elin? Tiba-tiba aje? Eh, cepat betul lah. Habis tu nanti kenduri bila?' bertalu-talu soalan dari Elin.

Ruang rumah yang tadinya sunyi-sepi, menjadi bingit dengan soalan dari Elin. Jam loceng di dinding pun sudah berbunyi sebelas kali, menandakan sudah pun hampir tengah malam. Koridor di luar pun sunyi-sepi, mungkin jiran-jiran sudah pun nyenyak tidur, esok pagi terpaksa bergegas menghantar anak ke sekolah ataupun pergi ke tempat kerja awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

'Ni ada sikit ole-ole' aku mengeluarkan coklat Ferro-Roche dan beberapa juadah kuih-muih dari beg galasku. Sengaja aku tidak memasukkan ke dalam beg beroda, tidak mahu mencampurkan makanan dengan pakaian.

'Ala.. kak Intan, jawab la!' Elin mengambil piring dari dapur dan meletakkan makanan yang aku keluarkan tadi.

'Ya, nak jawab la ni.. Pertama, ya dengan abang Fareez. Kedua, Kak Intan pun tak tahu dia punya perancangan, its a surprise. Ketiga, mungkin raya ke 4 kendurinya. Dekat mana tu belum bincang lagi, mesti kat Terengganu, tapi tak tau lagi nak buat kat rumah atau dewan.' Panjang lebar aku menjawab sambil tersipu-sipu malu.

'Ala, kak Intan ni, tu pun nak blushing... tengok tu, pipi dah merah dah...' Elin menyucuk pinggangku, mesra.

'Akak nak mandi dulu lah, nak salin pakaian, pastu nak tidur, esok pagi akak kerja tau!, Elin tak pe lah, ada van ambil' aku cuba lari dari berbual lebih lama.

'Ye lah, ye lah, esok van datang kol 6 pagi. Elin punya flight Bangkok, 3 hari. Will be missing you tau kak Intan!' Elin sengaja membuat muka manja padaku. Wajahnya iras pelakon Elly Mazlin, tapi dia lebih tinggi lampai. Pramugari AirAsia, semuanya dipilih dan diukur dari rupa paras yang cantik dan bentuk badan yang menarik. Astaghfirullahala'zim...

Selesai mengemas baju-baju ke dalam almari, aku merehatkan diri di atas katil. Tilam yang empuk imi membuatkan aku merasa hilang penatku seharian. Pagi-pagi di pasar payang, malam sudah sampai di Putrajaya, dan esok pula terpaksa mengadap kerja-kerja ofis di Cyberjaya. Mujur juga Dato' masih bercuti. Aku meraih telefon bimbit yang sengaja kuletakkan disebelah meja sisi katil. Sedang mengecas bateri.

Jari jemariku pantas menaip, apa sahaja yang terlintas di fikiranku.

'Abang nampak moody aje, salah dan silap Intan harap abang maafkan.. Assalamualaikum dan selamat malam' aku menekan butang send pada Fareez. Ku lihat jam berbentuk love berwarna merah jambu yang tergantung di dinding, hampir jam 12 tengah malam. Aku tidak mengharapkan sms dari Fareez, tetapi hatiku meronta-ronta agar mendapat balasan darinya. Aku cuba memejamkan mata dan membaca zikir yang mama selalu pesankan. Zikir Fatimah, 30 kali SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Aku hanyut dalam zikir.

Dulu lain, sekarang lain...

Sebaik tiba di lapangan terbang, papa menurunkan aku di pintu masuk balai berlepas Mamapun turut sama turun menemaniku. Sengaja katanya ingin menemui Fareez. Memang sudah dijangkakan Fareez sudah lama berada di lapangan terbang, sejak maghrib lagi. Dia tersenyum simpul sebaik melihatku kelibatku. Apalagi yang harus ku balas, sudah tentu senyuman seikhlas hatiku dan hatiku berbunga-bunga.

'Fareez, dah lama tunggu?' tegur mama pada Fareez yang mengambil beg beroda dari tangan mama.

'Tak lah lama sangat, baru je tadi, tapi dah cek in untuk Intan sekali. Kejap lagi panggil lah tu.' Fareez menyengih. Sejam lagi masa untuk berlepas.

'Ni, sebelum kamu masuk ke dalam, mama nak pesan ni. Bertunang ni darah manis, jadi jaga-jaga lah adab sopan sebagai muslim. Ingatlah jika berdua sudah tentu ada yang ketiga, dan yang ketiga itu lah bisikan syaitan.' Mama menasihati kami. Aku hanya tersipu-sipu malu.

'Tidak lama dah lagi, dua bulan je, lepas raya ke 4 nanti InsyaAllah kita buat majlis akad nikah dan kenduri kahwinnya. Harap-harap Fareez dan Intan bersabar banyak-banyak. Jangan selalu sangat berjumpa, Intan dah la jauh dari mama, tak tau siapa nak jaga dia, pula tu dia pertama kali, lain lah Fareez, dah berpengalaman. Harap Fareez dapat membimbing Intan.' Panjang mama menasihati. Papa pula muncul di celah-celah orang ramai.

'Ha, disini pun kamu semua, puas papa mencari tadi' Fareez menghulurkan salam pada papa.

'Ha, Fareez, papa nak ingatkan kamu ni, jangan terpedaya dengan tipu helah syaitan. Bukannya apa, papa sengaja mengingatkan' Terus-terang sahaja papa menasihati Fareez. Dia hanya tersenyum. Tidak sangka pula papa akan menitipkan pesanan yang sebegitu pada Fareez. Secara berterus-terang.

'Mama, papa, InsyaAllah Fareez akan jaga diri ini. Fareez tahu batas-batas seorang muslim, Fareez akan cuba sedaya-upaya Fareez. Lagi pun dua bulan tu tak lama. Bulan depan dah masuk Ramadhan, tinggal dua minggu sahaja lagi pun nak mula berpuasa'.

'Ye lah, moga Fareez dan Intan sentiasa beringat-ingat ye? Katanya Raya ke 4 kan? Papa dan mama akan sentiasa menghubungi mak dan ayah Fareez untuk persiapan tu nanti. Tak perlu lah risau sangat ye?' Papa memegang lengan Fareez.

Suara dari corong pembesar suara sudah mula memanggil penerbangan kami. Aku bersalaman dengan papa dan mama dan memeluk cium keduanya. Fareez juga begitu. Cuma dengan mama sahaja dia hanya mengangkat tangan sambil tersenyum. Baru saja kami hendak melangkah, aku terpandang kelibat pelayan kedai nasi lemak di pasar payang pagi tadi. Dia tersenyum memandangku dari jauh. Kenapa dia berada di sini? Siapa kah dia? Aku tersenyum sekadarnya. Masih memikir siapakah wanita muda sebaya dengan ku ini. Fareez menarik lenganku supaya beredar segera sebelum pintu masuk ditutup. Aku bergegas mempercepatkan langkahku.

Di dalam koc kapal terbang, aku mendiamkan diri sungguhpun hatiku bergolak ingin berbual dengan Fareez. Aku menjeling pada Fareez dan ku lihat dari ekor mataku, Fareez melelapkan matanya. Sepanjang perjalanan selama 45 minit itu, aku cuba melelapkan mata, tetapi tidak berjaya. Tiba di destinasi, barulah Fareez membuka mulut.

'Alhamdulillah, dah tiba pun, nanti abang temankan Intan sampai rumah ye? Dah malam lagipun, abang ambil tiket kupon teksi ye?'

'Eh, tak perlu, Intan dah janji dengan Elin suruh dia tunggu dekat Putra Sentral.'

'Kenapa tak bagi tau, kalau macam tu abang temankan naik ERL transit lah ye? Malam-malam macam ni nak tunggu kat bawah tu seram juga.' Sengaja Fareez menakut-nakutkan aku.

'Ok' aku menjawab ringkas.

'Intan Syuhada?' tegur wanita pelayan pagi tadi.

'Eh, awak?' aku terpinga-pinga melihat pelayan wanita yang pagi tadi membantu di kedai makan pasar payang.

'Ya, kita satu flight' dia menjawab mesra sambil tersenyum. Kali ini dia berpakaian santai, dengan jeans dan kemeja pink.

Fareez pun turut terpinga-pinga.

'Tak ingat ke?, Saya kan Zai, classmate awak masa darjah 6 dulu!, awak tentu dah lupa, tapi awak tak berubah langsung, sebab tu saya boleh cam awak' Zai bercerita panjang lebar.

Perlahan-lahan imej Zai mulai datang ke dalam ruangan minda ku. Baru aku teringat, kawan sekelas yang selalu mengusik aku dan Luqman.

'Zai... Zainab Jusoh ye?.... ' Memang sungguh aku tidak cam dengannya. Dahulu dia tembam dan bulat persis anak cina, tetapi sekarang nampak tinggi lampai dan pandai bergaya pula. Pagi tadi hanya berpakaian baju kurung dengan apron, sekarang berubah dengan make-up yang tidak berapa tebal, tetapi agak menarik sesiapa sahaja yang berjalan.

'Kita dah lama tak berjumpa, sejak habis sekolah dulu kan?' Zainab menegurku sambil berganti pandang ke arah Fareez dan aku.

'Ya, memang... saya tidak duduk di rumah, lepas sekolah saya duduk di asrama, itu yang tidak dapat hubungi orang lain kecuali Luqman. Dia satu sekolah dengan saya masa menengah dulu'

'Iya?? Macam mana dengan Luqman sekarang?' Baru sahaja aku hendak menjawab, telefon bimbit ditangan Zainab berbunyi nyaring. Tanpa lengah lagi dia menjawab.

'Hello... Ya.... Tunggu? .. Luar ?... Sekarang? . ... Okay...Bye...' Zainab memendekkan perbualan.

'Eh, Zai kena pergi dulu lah, boleh Zai dapatkan no telefon Intan? Lain kali kita bual lagi nak?' Aku memberikan nombor telefon bimbitku dan Zainab terus menekannya ke dalam telefon bimbitnya.

'Okay... Zai buat missed call, nanti Intan save tau!.. Got to go now, nice to see you both.. See you later..!' Zainab bergegas berlari anak menuju ke pintu keluar. Aku sempat melihat dia memasuki sebuah kereta Suzuki Swift putih yang sedia menunggu diluar.

'Kawan lama la abang..' aku menegur Fareez setelah melihatnya diam seribu bahasa.

'Iya' Diam lagi.

'Kenapa diam je dari tadi?' aku pula menegur Fareez.

'Tak ada apa-apa. Jom pergi ke terminal. Nanti terlewat pula.'

Saturday, August 14, 2010

Aku pun begitu?

Tiba di rumah tepat jam 3. Aku terus pulang selepas menurunkan Fareez di lobi hotel. Kalau boleh Fareez ingin mengajakku berbual lagi di tepi pantai belakang hotel Grand Continental, tapi aku sengaja mengingatkan dia tentang barang yang perlu dikemaskan untuk flight malam nanti. Dia akur. Aku tersenyum sendirian apabila mengingatkan diri Fareez.

'Sudah makan Intan?' mama menegurku sebaik aku menekan kunci lock pada myVi papa.

'Belum lagi. Sibuk temankan Datin memilih kain sutera batik dekat kedai biasa kita beli tu..' aku mengeluh pada mama.

'Ada lauk semalam tu, ayam masak merah ada lagi. Favourite Intan kan? Saja mama simpankan untuk Intan.'

'Ye lah ma. Intan nak solat dzohor dulu la.. Lenguh betul kaki ni..' aku mengadu.

'Balik rumah je rasa penat. Tadi masa dengan buah hati tak terasa kan?' mama menyindirku sambil senyum-senyum. Seronok mama mengusik aku.

'Papa mana ma?' aku menjenguk-jenguk keliling.

'Biasa la. Afternoon nap.' Ringkas mama menjawab.

Aku mengangguk lalu terus naik ke atas, membersihkan diri di bilik air dan menunaikan solat. Sedang aku enak memicit-micit pergelangan kakiku, mama menjengukkan kepala.

'Intan, ada call'

'Ye mama.. sekejap' aku bergegas turun ke bawah.

Telefon ku lekapkan ke telinga.

'Assalamualaikum Intan' suara Luqman di sebelah sana.

'Waalaikumussalam'

'Abang dah berjaya mohon visa keluar untuk Ameerah. InsyaAllah dalam dua bulan lagi abang akan bawa Ameerah jejakkan kakinya ke bumi Malaysia'

'Mmmm alhamdulillah, syukur, dapat juga bawa Ameerah ke bumi Malaysia ni' tiada apa lagi yang aku dapat komen melainkan kesyukuran kehadrat ilahi. Teringin juga dihatiku ingin melihat anak Luqman.

'Tapi tak apa lah, saja abang nak kongsi kegembiraan abang. Itu saja. Sampai sini saja hubungan kita. Harap kita dapat berkawan lagi.'

'Boleh'

'Terimakasih. Assalamualaikum'

'Waalaikumussalam' Luqman memutuskan talian.

'Hmmmm Luqman, Luqman....' terdetik rasa kasihan pada Luqman.

Aku kembali kebilikku lalu mengemas-ngemaskan barang-barangan yang aku kira perlu di bawa pulang.

Cincin Luqman ku tinggalkan di atas meja solek, berganti pula dengan cincin Fareez. Aku membelek-belek kilauan dari batu permata di jari manisku. Arghhhh... pilu tetapi terasa gembira menyelinap didalam hatiku.

Aku menghantarkan sms pada Elin teman serumahku tentang kepulangan aku malam ini. Elin membalas ringkas, dan dia akan mengambil aku dari terminal Putrajaya. Mujur juga shift nya esok pagi. Boleh lah dia menjemput aku malam ini. Tentu dia akan terkejut mendengar tentang pertunangan aku dengan Fareez. Sebelum ini dia hanya mengetahui Luqman sahaja yang paling baik denganku, dan baru-baru ini sahaja aku berkawan dengan Fareez.

'Hai, sayang, tak sabar rasanya nak naik flight malam ni...' mesej dari Fareez muncul saat aku baru hendak mereply pada Elin.

'Ish, Fareez ni memang sudah angau lah..' bisik hatiku, namun begitu aku tersenyum membacanya.

'Ya, abang kena sabar lagi dua bulan je lagi' Aku membalas.

'Dua bulan apa kak Intan?' tiba-tiba sms dari Elin muncul. Ish, aku tersilap balas sms pada Elin!. Memang aku pun sudah sah angau juga! Dua kali lima sahaja dengan Fareez. Ohhh Tidak... Malunya mujur juga aku di atas katil di dalam bilik. Kalau di luar, tentu mama mengusikku lagi.

'Tak ada apa-apa, Elin, malam nanti kita story ya' aku membalas.

'Ok, tak sabar nak dengar, mesti big story!' Elin membalas padaku.

Aku mencari mesej yang baru ku balas pada Elin dan menghantarnya semula pada Fareez. Aku tersenyum-senyum memikirkan keadaan aku sekarang. Tak ubah seperti manusia yang tidak betul lagaknya.

Wednesday, August 11, 2010

Aduhai hatiku...

Hampir jam 2 petang barulah selesai membeli-belah di pasar payang. Jenuh aku melayan kerenah Alia, yang sekejap hendak itu, dan sekejap hendak ini. Fareez menurut sahaja kehendak anak tunggalnya itu. Aku pula sengaja melayan Alia, sambil tu Datin memilih batik sutera di kedai yang paling hujung berdekatan dengan restoran. Aku memang biasa membeli batik chanting dan batik basahan di situ, jadi senang sedikit untuk menawar. Bukannya Datin tidak berduit, tapi sengaja adat membeli, hendaklah menawar. Begitulah hendaknya.

'Ummi, esok Iz dah kena kerja, jadi Iz rasa Iz nak berkemas dulu kat hotel. Flight jam 9:10 malam ni, ummi, daddy ngan Alia join sekali ke atau naik dengan Pak Mat?'

'Ummi rasa, elok daddy ngan Alia balik esok aje. Tapi terpulang lah pada daddy. Kot-kot ada temu janji lain esok ke?' Ummi memandang padaku.

'Err... Dato' esok tak de apa-apa meeting. Appointments Selasa baru mula' aku tergugup-gugup menjawab soalan ummi yang bagaikan cepumas sahaja memerangkapku.

Dato' Shukor sedang asyik membelek-belek teko tembaga di kedai tembaga bersebelahan dengan kedai batik dan permainan. Alia pula menarik tangan Fareez ke arah mainan belon berair.

'Daddynya.... kita balik esok saja lah ye? Biar Fareez balik dulu dengan Intan ni? Tiket kita cancelled?' Datin Masriah menghampiri Dato' Shukor. Dato' menangguk sambil tersenyum padaku.

'Terpulanglah. Lagi pun esok saya tak ada apa-apa rancangan'

Fareez mengangkat salam lalu mencium tangan Datin Masriah, dan aku juga menurutnya dari belakang. Cuma Dato' Shukor sahaja aku menganggukan kepala.

'Alia.... papa nak balik dulu, nak kemas-kemas barang. Esok papa nak kerja. Alia ikut atok dan nenek ya?' Fareez merendahkan dirinya paras Alia sambil memegang bahu Alia. Alia tersenyum sambil mengoyang-goyangkan tocang yang diikat kemas. Rambut yang sedikit blond itu terbuai-buai.

'Jom Intan?'

'Pergi dulu Alia.. Bye-bye.. Jangan nakal-nakal tau!. Lepas makan gula-gula gosok gigi ya?' aku memegang tangan Alia, dan mencium pipi yang putih kemerah-merahan. Alia hanya tersenyum. Puas barangkali dapat apa yang dihajatinya, permainan belon, kuih akok beserta kuih tat terengganu. Tiada Ferro Roche di pasar payang. Mujur juga Alia mudah menerima alasan. Jika tidak jenuh juga hendak menapak ke kedai Mydin untuk membeli Ferro Rocher.

Setiba di kereta MyVi hitam papa, Fareez menegurku.

'Tadi pagi kan, abang rasa pelayan tu kenal Intan lah. Cuba Intan ingat-ingat balik. Entah-entah sedara sepupu Intan kot? Dah lama kan Intan tak balik kampung jumpa diorang?'

'Tak mungkin lah, hari raya kan Intan dah jumpa semua sepupu-sepupu belah mak dan ayah Intan.... Orang lain kot?... tapi dia tau nama Intan kan?' aku berpaling pada Fareez dan menyoalnya semula.

'Itu lah, yang hairannya, dia boleh tau nama penuh Intan lah...' Fareez menyambung lagi.

'Tapi tak pe lah... maybe kawan lama sekolah dulu kot? Intan tak ingat, tapi dia ingat...' Fareez bertanya, dan dia sendiri menjawabnya. Aku terdiam sejenak berfikir.

'Hmmmm... mungkin juga. Sekolah rendah dulu agaknya.. mesti dia dah banyak berubah menyebabkan Intan lupa langsung..' aku menjawab perlahan.

'Mmm Hmmm.... bila Intan nak mula panggil abang dengan panggilan Abang ye sayang?, teringin nak dengar lah....' Fareez sengaja tersenyum simpul. Aku memulakan enjin kereta. Sengaja buat-buat tidak dengar. Menumpukan perhatian pada pemanduan, dan mencari tiket untuk bayaran keluar dari parking. Sengaja menghilangkan kegugupanku.

'Err.... apa dia tadi?' aku sengaja menyuruh Fareez mengulangi soalan tadi setelah kereta meluncur turun ke tempat pembayaran.

'Tak ada apa-apa lah' Fareez mengalihkan mukanya memandang ke luar disebelah tingkap.

'Baiklah Abang...' aku tertawa kecil saat perkataan itu keluar dari mulutku. Terasa geli hatiku ketika berbuat demikian.

'Ha.. macam tu la..' Aku menjeling padanya. Hai... mata, oh mata, Fareez, tolong lah jangan pandang aku sebegitu, aku kan sedang memandu.

Nasi Lemak, buah bidara, sayang selasih kami lurutkan...

Aku meraih telefon bimbit ku dan memilih butang recent call, dan menekannya. Suara Fareez di sebelah sana kedengaran.

'Assalamualaikum.' Aku tersenyum

'Waalaikumussalam... Sudah kembali ceria kah buah hatiku ini?' Fareez cuba mengusik lagi.

'Alhamdulillah.. Sekejap lagi Sue sampai dengan MyVi papa. Eh muat ke semua nak naik kereta Sue?, takkan Dato' nak naik kereta papa?'

'Tak apa, diorang nanti naik kereta abang, kan Pak Mat ada, cumanya diorang nak bawak Intan supaya Intan tunjukkan tempat yang paling best batik kat Pasar Payang, lepas tu Alia kata nak makan keropok leko dengan kuih akok. Semalam dia sorang 4 keping makan kuih akok Intan tu.. Mana boleh, orang lain pun nak rasa juga...' panjang Fareez bercerita keletah anaknya yang seorang itu.

'Cakap ngan Alia, kuih akok tak boleh makan banyak-banyak.. Manis.. Nanti kena kencing manis tau!' aku berseloroh dalam telefon. Bahagia.

'Sekejap lagi Intan sampai depan lobi, dalam 5 minit lagi.?'

Setiba di lobi, hanya Fareez dan Alia sahaja yang sedang menunggu. Jam baru sahaja menginjak ke pukul 10. Memang sesuai sangatlah pasar payang waktu begini masih belum penuh dengan orang ramai. Ahad pula tu, memang hari bekerja di Terengganu.

'Hai auntie... Jom kita pergi pasar? Alia nak beli kuih akak banyak-banyak.. Mmmm yummy.. sedap nya... tak ada kat KL tau auntie!' bijak mulut kecil itu berkata-kata.

'Ye, jom kita pergi, tapikan Alia, kuih lain pun ada juga, bukan akok je tau, akok tu manis. Kalau makan banyak-banyak nanti Alia kena kencing manis. Kena potong kaki tau!' aku sengaja menakut-nakutkan Alia. Muka Alia berubah.

'Itu la, Alia, kan papa dah kata, kuih tu manis. Nanti kita cari kuih lain yang tak manis sangat ye? Kat sini ada banyak kuih yang tak pernah kita rasa tau.'. Wajah Alia masam mencuka. Mulutnya mencebek duduk terperosok di tempat duduk belakang.

'Ala... jangan la merajuk Alia.. Nanti kita beli apa saja yang Alia nak kat pasar tu ye? Kecuali Akok, boleh?' Fareez cuba memujuk sikecil yang sedang mencuka.

'Aduh... masam nya muka yang comel ni.... Tadi anak siapa yang comel tadi ya? Sekarang ni mendung macam hari nak ujan je....' usik Fareez lagi sambil berpaling ke belakang. Aku memandu terus ke Pasar Payang yang hanya lima minit perjalanan dengan kereta.

Aduhai, Fareez, baiknya papa Alia ni.

'Alia nak coklat Ferro tau!' Alia menjawab tegas.

'Okay, kita beli coklat Ferro ye?' Fareez tersenyum.

Aroma perfumenya tersebar seluruh pelusuk kereta myVi papa. Harap-harap petang nanti aroma perfume ni akan hilang. Kalau tidak malunya aku pada papa.

'Macam mana dengan Dato' dan Datin? Kita nak jumpa mereka di mana?'

'Daddy kata jumpa dekat kedai makan kat situ. Dia teringin nak makan nasi lemak bungkus, sambal ikan tongkol katanya.'

'Oooh... okay. Macam mana boleh Dato' tau nasi lemak situ sedap?'

'Pak Mat dah breifing kat dia. Pak Mat kan ramai kenalan driver.. Errr... nak tanya, dah settle dengan Luqman?'

'Sudah. Settle. Full stop. Please don't ask anymore questions'

Fareez tersenyum mendengar jawapanku. Fareez, kasihan juga aku padanya. Dia yang sabar sahaja dengan kerenah aku. Mungkin juga pengalaman lalu banyak mengajarnya erti seorang lelaki yang mencintai perempuan. Lembut, penyabar dan gentleman.

Tiba di kedai yang mempunyai nasi lemak bungkus ikan tongkol, aku terpandang Dato' dan Datin. Sedang enak menikmati nasi lemak terengganu. Dato' terpandang kelibat kami lalu menggamit kami makan. Fareez terus menarik tangan Alia ke arah Dato' Shukor.

'Jom Fareez, sedap ni. Memang daddy khaskan perut yang kosong untuk menikmati nasi ni lah. Sengaja daddy tak makan kat hotel tadi. Intan, makan lah sekali ye?' Belum sempat aku menjawab, Alia merengek meminta milo ais.

Pelayan muncul dari celah pintu kedai tersebut. Seperti aku kenali sahaja pelayan tersebut. Pelayan sebaya denganku, bertudung ringkas dan berpakaian baju kurung. Dia tersenyum-senyum menuju padaku.

'Intan Syuhada?' tegurnya.

Masing-masing memandang pada pelayan tersebut. Kemudian memandang padaku. Aku terpinga-pinga. Memang aku langsung tidak mengingati siapa pelayan ini.

'Mmmm tak pe lah, Order ya?' pelayan tersebut masih tersenyum-senyum, tapi mungkin memandang pada aku yang terpinga-pinga, dia mengalihkan ke tujuan sebenar.

'Milo Ais 2, Kopi Panas 1, makan nasi bungkus ni sahaja.' Jawab Fareez ringkas sambil tangannya mengambil dua bungkus nasi lemak. Satu diletakkan dihadapan Alia, satu lagi dihadapanku.

Aku perlahan menolak bungkusan kecil tersebut padanya sambil tersenyum.

'Itu saja?' pelayan tersebut masih berdiri dihadapanku sambil tersenyum lagi. Di mana aku pernah melihat dirinya ya?. Masih aku tidak dapat mengingatinya.


 

Tuesday, August 10, 2010

Diluah jua

Baru sahaja aku memutuskan talian, telefon bimbitku berbunyi lagi. Terpapar nama Fareez di skrin telefon. Aku cuba tersenyum, dalam keadaan begini aku rasa bersalah, tetapi sebahagian dari diriku pula terasa ingin melompat-lompat kegembiraan.

'Salam, Intan ku sayang....' suara Fareez kedengaran seperti berbisik.

'Alaikumussalam' aku seperti tiada mood.

'Eh kenapa ni? Suara macam sedih aje?' tegur Fareez.

'Baru selesai dengan Luqman tadi.'

'Uh.. sorry.. ' Diam seketika.

'Apa yang abang boleh bantu di sini?'

'Tak ada apa-apa. Hidup perlu diteruskan...' mendatar dan bersahaja aku menjawab.

'I'll call you back later ye? Maybe this is not the right time... Ok. ? '

'Ok, Later, Intan call balik bila dah ready...' aku menjawab.

'Rite...' Fareez memutuskan talian. Dia mungkin baru sahaja nak bergurau senda dengan sms yang dihantarnya pagi tadi, tapi aku yang memotong moodnya. Aku bingkas bangun. Aku mesti meneruskan kehidupan ini. Mesti melawan perasaan kasihan aku pada Luqman. Memang salah Luqman kerana tidak berterus terang denganku sejak awal-awal lagi. Tentang perkahwinannya dengan Siti Mariam Abdullah. Ah... aku harus melupakan Luqman dari diari hatiku. Titik. Noktah. Aku menarik nafas dalam-dalam. Keluar dari bilik menuju ke dapur. Menyambung semula makanan sarapan roti bakar bersama air kopi yang sudah sejuk.

'Kenapanya Sue?' Mama menegurku dari belakang. Dia mengunci pintu dapur. Selesai menjemur pakaian selalunya begitulah tabiatnya. Terus mengunci pintu dapur dan mula hendak mengemas bahagian hadapan rumah yang sudah sedia ada kemas.

'Tak ada apa-apa la mama..' Aku bangun lalu memeluk mama. Sebak terasa. Tiba-tiba sahaja airmata ku mengalir dan aku teresak-esak didalam pelukan mama. Perhubungan baik antara aku dan Luqman yang sejak kecil terjalin, tiba-tiba sehaja terputus dengan cara yang sangat menyakitkan.

'Sabar la Sue, hidup ini memang sentiasa ada keputusan yang harus diambil. Walaupun diluah mati emak, dibuang mati ayah... tapi Sue mesti buat keputusan. Mama yakin keputusan Sue ni yang terbaik buat Sue..' Lembut suara mama memujukku, sambil menggosok-gosok belakang ku.

'Tak tahu kenapa mama... Rasa sedih sangat...' aku mengesat airmataku yang laju mengalir dipipi. Sambil tersengguk-sengguk aku kembali duduk. Mengambil tisu dikotak merah berlorek awan larat.

'Mesti lah sedih Sue, kan Sue yang kata Luqman tu kawan sejak masa di sekolah rendah dulu. Tapi mama sendiri tidak pernah berjumpa Luqman. Siapa yang gentleman di sini?..' perlahan mama menuangkan baki kopi didalam teko ke cawan yang bergambar English Rose.

'Baiklah mama...' Aku cuba tersenyum.

'Harini kan Sue kena bawa keluarga Fareez pergi pasar kan? Diorang semua dah nak balik petang ni.. ' Mama mengangkat cawan kopi dan menghirupnya.

'Mmm.. ye juga.. ' Akhirnya aku mampu tersenyum yang lahir dari hati ini. Sebentar tadi hatiku gundah gulana, mama memang pandai memujuk anaknya yang seorang ini.

'Terimakasih mama..' aku memeluknya erat.

Monday, August 9, 2010

Luahkan lah hatimu

Tepat jam 4 pagi, aku tersedar dari tidurku. Badanku berpeluh-peluh. Tidur ku tadi memang tidak lena. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Aku bingkas bangun lalu mengambil wudu'. Aku harus berserah pada Allah swt. Mengharap dan berdoa agar diberi petunjuk untuk keluar dari permasalahan ini. Benang yang kusut jangan dikusutkan lagi. Aku harus menyelesaikan perkara ini satu persatu.

Selepas bersolat tahajjud dan solat hajat, aku membuat solat istikharah. Memohon biarlah keputusan yang datang itu yang terbaik buatku, samada Luqman atau pun Fareez, siapa sahaja di antara mereka, ku harap Allah memberikan petunjuk ke arah keredhaanNya. Aku merintih dan berdoa sehingga terlelap diatas sejadah.

'Sue, Sue, Intan, Intan...' sayup-sayup telingaku menangkap suara mama. Terasa bahuku disentuh lembut.

'Dah masuk subuh ni.... mama dan papa kamu nak ke masjid, kamu nak ikut sekali ke? Pagi ni ada kuliah subuh dekat Masjid' mama mengejutku dari tidur. Aku mengangguk-anggukkan kepala, masih mamai-mamai lagi. Nyenyak sungguh tidurku yang sekejapan tadi.

'Ma, tunggu sekejap ya, Sue nak ikut sekali.'

Suasana hening pagi subuh, aku menarik nafas dalam-dalam sewaktu menjejakkan kaki di perkarangan masjid. Bau aroma rumput dibasahi embun pagi ku hirup sepuas-puasnya. Baru sahaja aku menanggalkan kasut, ada suara dari belakang memberi salam.

'Assalamualaikum.' Suara yang menggetarkan hati nuraniku. Fareez?. Di subuh yang hening, di hadapan masjid, aku bertemu bakal suamiku. Ini lah ketentuan Ilahi. Hatiku berdegup kencang.

'Betul ni abang, Intan tak percaya ke?' Fareez menegurku. Mungkin melihat wajahku yang kehairanan.

'Er... Mmmmm Wa'alaikumussalam.' Aku memberikan senyuman lalu berjalan pantas mengekori mama yang sudah lama mendaki tangga menuju ke ruangan solat wanita. Gugup. Itulah sifatku dari dulu hingga sekarang. Selesai solat subuh, aku mendengar satu persatu kuliah subuh yang diberikan. Penyampaian santai dalam loghat terengganu. Terpandang kelibat Fareez yang duduk di barisan paling hadapan, dengan berpakaian baju melayu biru tua, dan berkupiah putih, nampak seperti lagak ayah-ayah sahaja. Langsung tidak mempamerkan kedudukannya sebagai anak Dato' Shukor atau sebagai eksekutif berjawatan tinggi.

Bunyi ayam berkokok bersahut-sahutan di luar masjid. Aku dan mama menunggu papa di kerusi simen yang terletak diluar masjid. Langit perlahan-lahan bertukar menjadi biru muda. Sebentar kemudian papa muncul bersama Fareez. Berbual-bual.

'Fareez dan keluarganya dah nak balik malam ni katanya' Papa tersenyum-senyum pada aku dan memandang Fareez.

'Jadi hari ni, Intan bawalah keluarga Fareez pergi pasar payang. Lagipun Fareez pun tak pernah pergi katanya' sambung papa lagi.

Aku tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala.

'Saya pergi dulu ya' Fareez bersalaman dengan papa. Memandang padaku sambil tersenyum dan berlalu menuju ke BMW nya. Papa mengundurkan MyVi hitamnya, aku di belakang sengaja memandang kereta Fareez sekilas. Ku lihat di juga sedang memerhatikan kereta kami. Dia mengangkat tangan tanda telefon ke telinganya. Aku mengangguk lagi. Pagi-pagi lagi aku sudah menjadi seperti burung belatuk. Asyik menangguk dari tadi.

Tiba di perkarangan rumah, langit sudah pun cerah. Aku bersalin ke pakaian jogging lalu mencapai telefon bimbit lama ku yang di caj sejak semalaman. Memandang sekilas pada telefon, ada 1 sms dan 1 missed call. SMS dari Fareez. 'Alhamdulillah, bertemu bakal isteriku, kekasihku, di hadapan masjid. Semoga Masjid yang kita akan dirikan seteguh Masjid ini. Amin' waktu menerima mesej, 5:45am. Tepat waktu tiba di masjid pagi tadi. Aku tersenyum. 1 missed call, jam 7:30am. Masih dari Fareez.

Tidak boleh tidak, aku harus berterus-terang dengan Luqman hari ini juga. Aku mendail nombor di Tasmania. Masih lagi di dalam rumah, menunggu mama menyediakan sarapan roti bakar bersama kopi panas. Selang beberapa saat, suara Luqman di sebelah sana kedengaran di corong telefon.

'Assalamualaikum' aku memulakan perbualan, sebelum dia mengucap salam.

'Alaikumussalam, Intan, abang baru sahaja selesai solat subuh di sini. Baru jam 6 pagi ni.' Suara Luqman lembut kedengaran, mungkin baru selesai berdoa.

'Intan nak cakap sesuatu, Mmmm Intan tak boleh menerima abang lagi. Intan sudah bertunang....' diam seketika. Luqman di sebelah sana juga terdiam. Tenang beberapa saat.

'Abang sebetulnya sekejap lagi hendak membuat visa keluar untuk Ameerah. Dia lahir di sini, jadi perlukan beberapa proses di kedutaan Malaysia. Perancangan abang nak bawa Ameerah ke Malaysia, berjumpa Intan, bakal ibunya... Tapi... ah... mungkin kita tiada jodoh.' Suara Luqman mendatar. Tidak membantah.

'Bila pula nikahnya?' sambung Luqman lagi.

'Lebih kurang dua bulan lagi.' Pendek aku menjawab.

'Ooo... tak sempat lah abang nak tengok Intan naik pelamin. Tapi tak apa lah, kalau itu sudah takdir dari Illahi, abang mendoakan kebahagiaan Intan'. Rasa terkilan dalam suaranya tidak dapat dikawal lagi.

'InsyaAllah. Terimakasih kerana dapat menerima keadaan ini. Assalamualaikum.' Aku memutuskan talian sebelum Luqman. Tidak sanggup lagi mendengar suaranya dan tiba-tiba terasa satu bebanan yang berat yang aku tanggung selama ini terbebas. Lega nya dalam hatiku hanya tuhan sahaja yang mengetahui.